SEJAK Presiden Indonesia, Joko Widodo yang lebih dikenali dengan panggilan Jokowi memegang jawatan kepala negara republik itu pada Julai 2014, negara yang mempunyai ramai penduduk di Asia Tenggara tersebut telah mencatatkan rekod inflasi... Klik di sini untuk terus membaca

SEJAK Presiden Indonesia, Joko Widodo yang lebih dikenali dengan panggilan Jokowi memegang jawatan kepala negara republik itu pada Julai 2014, negara yang mempunyai ramai penduduk di Asia Tenggara tersebut telah mencatatkan rekod inflasi tertinggi sebanyak dua kali.

Terbaru, negara tersebut mencatatkan peningkatan kadar inflasi kedua tertinggi iaitu sebanyak 4.94 peratus tahun ke tahun untuk bulan Julai selepas Oktober 2015 yang merekodkan kadar setinggi 6.25 peratus.

Pada bulan Januari lepas, kadar inflasi Indonesia ialah 2.18 peratus, menjelang April lalu, ia mencapai 3.47 peratus dan pada Mei pula, ia meningkat sedikit kepada 3.55 peratus sebelum meningkat kepada 4.35 peratus pada Jun 2022.

Angka pada bulan Jun dan Julai berada melebihi sasaran kadar inflasi yang diramalkan oleh Bank Pusat Indonesia iaitu antara dua peratus dan empat peratus sahaja tetapi jika dibandingkan dengan negara-negara Group 20 (G20) kadarnya masih lagi rendah.

Negara-negara dalam kumpulan itu seperti Australia mencatatkan inflasi sebanyak 5.1 peratus, Korea Selatan ialah 6 peratus, India pula setinggi 7.01 peratus, Jerman 7.6 peratus, Amerika Syarikat (AS) mencecah 7.6 peratus, Britain (9.1 peratus), Turkiye (78.6 peratus) dan Brazil (11.89 peratus).

HARGA BARANG DAPUR

Menurut data yang dikumpulkan oleh Kementerian Investasi, rata-rata inflasi pada era pemerintahan Presiden Indonesia yang ketiga, B.J. Habibie adalah dua peratus, Presiden Indonesia keempat, Abdurrahman Wahid ialah 10.96 peratus, Presiden Indonesia kelima, Megawati Soekarnoputri pula setinggi 7.18 peratus dan Presiden Indonesia keenam, Susilo Bambang Yudhoyono mencecah 7.52 peratus.

Harga barangan meningkat di Indonesia pada bulan Julai lalu. - Foto AFP

Apakah yang menyebabkan kadar inflasi itu meningkat di negara yang mempunyai lebih 200 juta penduduk ketika nilai mata wang tempatnnya iaitu rupiah juga menurun berbanding dengan dolar AS untuk bulan Julai itu?

Menurut Ketua Badan Pusat Statistik (BPS), Margo Yuwono baru-baru ini inflasi itu disumbangkan oleh kenaikan harga cabai merah, bawang merah dan cili kering serta peningkatan harga tarif pengangkutan udara.

Beliau juga tidak menafikan inflasi tersebut meningkat disebabkan oleh kenaikan harga bahan bakar untuk memasak di dapur, kenaikan harga rokok kretek dan tarif elekrik.

Kenaikan harga barangan itu juga dirasai oleh para peniaga yang menjual barang makanan di Pasar Slipi, Jakarta Barat yang mengeluh dengan kenaikan harga sehingga dua kali ganda walaupun Hari Raya Aidiladha sudah berakhir baru-baru ini.

Berikutan itu, seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Sri mengaku sukar untuk menjual barangan makanan dan berharap pihak pemerintah melakukan kebijaksanaan supaya dapat menurunkan harga bagi membolehkan orang ramai kembali membeli barangan.

"Kami juga susah jualnya tetapi tidak ada yang mahu membeli. Biasanya suka beli sekilo, ini hanya beli satu auns," jelasnya seperti dilaporkan oleh portal berita Validnews baru-baru ini.

Seorang lagi peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Syawal turut mengeluh perkara yang sama kerana dia mengatakan beberapa harga bahan makanan naik seperti telur yang berharga 28,000 ribu rupiah (RM8.40) setiap kilogram menjadi 30,000 ribu rupiah (RM9) setiap kilogram.

RUPIAH LEMAH

Pengarah eksekutif badan pemikir Pusat Pembaharuan Ekonomi (CORE) Indonesia, Mohammad Faisal memberitahu CNA bahawa kadar inflasi yang lebih tinggi dicetuskan oleh bekalan komoditi yang rendah secara keseluruhan dalam keadaan permintaan yang tinggi.

Jelasnya, rantaian bekalan pelbagai komoditi telah terganggu berikutan situasi global.

Di dalam negeri, terdapat gangguan dalam pengeluaran seperti kegagalan tanaman cili dan bawang merah yang bermusim.

Pada masa yang sama, terdapat permintaan keseluruhan yang tinggi sejak sekatan Covid-19 telah dilonggarkan tahun ini, menyebabkan mobiliti yang lebih tinggi.

"Jika mobiliti (rakyat) tinggi, permintaan terhadap pelbagai barangan dan perkhidmatan juga tinggi. Akhirnya ini juga akan menaikkan harga barang,” kata Faisal kepada CNA.

Pakar ekonomi yang berpangkalan di Jakarta, Bhima Yudhistira berkata, dengan harga produk import yang lebih tinggi, pengeluar tempatan tidak mempunyai pilihan selain menaikkan harga mereka juga.

Pengarah eksekutif badan pemikir Pusat Kajian Ekonomi dan Undang-undang (CELIOS) itu menambah bahawa inflasi yang diimport juga berpunca daripada pertukaran mata wang yang lemah.

Apabila rupiah semakin lemah, import akan menjadi semakin mahal. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca