SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof melahirkan kebimbangan dengan sikap segelintir rakyat negara ini yang mengangkat 'wira songsang' sebagai hero baharu.
Menurutnya, adalah tidak masuk akal apabila melihat pemimpin yang mempunyai masalah nilai dan terlibat dengan rasuah terus mendapat sokongan, khususnya dalam kalangan orang Melayu.
"Wira songsang ini maksudnya seolah-olah kita melihat demi nak bela orang Melayu, kalau pemimpin itu rasuah sekalipun, dia boleh bertoleransi kerana akhirnya orang Melayu yang akan mendapat habuan itu.
"Bagi saya, wira songsang ini kita kena ‘perang’ kerana akhirnya ia menjejaskan nilai dan maruah. Di mana orang Melayu nak letak muka kalau dia mengusung pemimpin yang terbukti rasuah, bahkan memberi nama jolokan.
"Masya-ALLAH, bagi saya ia sangat membimbangkan,” katanya pada program Bersama Johan Jaaffar yang dikendalikan Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Rabu.
Jelas Mujahid, orang Melayu amat terpegun apabila melihat pemimpin tulen yang betul menentang penjajah dengan semangat nasionalisme yang tinggi apabila menonton filem Mat Kilau.
Bagaimanapun, situasi itu berubah sebaik sahaja mereka keluar pawagam, apabila ada dalam kalangan orang Melayu yang masih menyokong wira songsang yang terpalit dengan isu rasuah.
"Sebab itu, saya bagi nama era ini, keruntuhan kepimpinan ketuanan. Ia bagaimanapun membuka peluang kepada era kepimpinan yang ada idea dan nilai, di mana saya yakin, kita boleh bawa idea dan nilai ini ke tahap yang lebih baik,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca