SHAH ALAM - Bayangan kerjasama dengan UMNO selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekiranya tiada parti yang mendapat sokongan majoriti rakyat oleh beberapa pemimpin DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah), membuktikan kedua-dua parti... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Bayangan kerjasama dengan UMNO selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekiranya tiada parti yang mendapat sokongan majoriti rakyat oleh beberapa pemimpin DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah), membuktikan kedua-dua parti berkenaan tidak lagi yakin dengan keupayaan Pakatan Harapan (PH) secara bersendirian.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar berkata, dengan sokongan pengundi kaum Cina dijangka masih memihak kepada DAP pada PRU15, wujudnya pandangan kemungkinan kerjasama dengan parti-parti di luar kerangka PH bakal tercetus disebabkan sebilangan pemimpin PH menyedari betapa lemahnya gabungan koalisi itu pada saat ini.

Tambah beliau, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook sendiri melihat parti itu tidak lagi mahu berperanan sebagai pembangkang secara total dengan DAP bersedia menghulur tangan kepada mana-mana parti di luar PH untuk bekerjasama membentuk kerajaan sekiranya keadaan itu memerlukan.

"Saya melihat komen Anthony adalah merujuk kepada situasi kemungkinan berlakunya polarisasi undi pada PRU15 dengan undi kaum Melayu dijangka akan berpecah kepada beberapa blok, manakala undi kaum bukan Melayu termasuk cina diunjurkan masih memihak kepada DAP.

"Beliau juga menyedari untuk membentuk sebuah kerajaan berasaskan roh Malaysia yang merangkumi sokongan berbilang kaum, DAP perlu bersifat lebih bersederhana untuk menghulur tangan dengan sesiapa sahaja termasuk UMNO, tanpa mengesampingkan sokongan diwakili kaum Cina kepada mereka.

"Dengan UMNO juga dilihat melaksanakan reformasi parti secara besar-besaran termasuk menggantikan calon-calon warlord dengan muka baharu lebih berketrampilan, imej baharu UMNO secara tidak langsung berjaya meningkatkan keyakinan DAP dan Amanah untuk bekerjasama dengan mereka pada masa hadapan," katanya kepada Sinar Premium pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Anthony yang tidak menolak kemungkinan DAP bakal menjalin kerjasama dengan UMNO kerana 'segalanya mungkin dalam politik'.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Seremban itu menyatakan sebarang kemungkinan kerjasama itu hanya akan berlaku selepas PRU15.

Anthony berkata, politik Malaysia mengalami perubahan drastik sejak PRU14, terutamanya dengan ketiadaan parti dominan tunggal dan atas faktor itu, kemungkinan kerjasama antara parti berbeza menjadi lebih tinggi.

Ramai yang melihat pecahan blok parti Melayu akan turut memberi tempias kepada PH.

Pandangan Anthony turut disokong Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub apabila beliau mengakui PH perlu terbuka mengadakan perbincangan dengan mana-mana parti di luar kerangka koalisi itu termasuk UMNO untuk membentuk kerajaan selepas PRU15.

Kerjasama DAP dan PH dengan kerajaan UMNO bukan perkara baharu apabila koalisi itu membantu UMNO Perak untuk menyingkirkan Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu daripada jawatan Menteri Besar Perak pada penghujung tahun 2020.

Selain itu, DAP juga merupakan parti penting yang menjayakan inisiatif kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menandatangani memorandum perjanjian gencatan politik dengan PH sebaik sahaja Naib Presiden UMNO itu dilantik sebagai pemimpin nombor satu negara tahun lalu.

TIDAK MUDAH TERPEDAYA

Bagaimanapun, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil berpandangan UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak akan mudah terperdaya dengan hasrat segelintir parti-parti di luar kerangka koalisi itu termasuk DAP untuk bekerjasama dengan BN selepas PRU15.

Hal ini kerana beliau berpandangan DAP adalah termasuk dalam golongan menipu rakyat di mana rakyat masih terasa dengan tindakan kerajaan PH yang tidak jujur dengan manifesto pilihan raya serta meranapkan ekonomi negara sewaktu memerintah selama 22 bulan.

"Jika UMNO bekerjasama dengan penipu dan pengkhianat ini, akar umbi UMNO akan tolak dan saya sendiri tidak akan menerima mereka.

"Ini bukan sahaja kerana ideologi, namun ia juga adalah dari aspek praktikaliti. Jika UMNO terima mereka, sebahagian pengundi Melayu yang menyokong kami selama ini, mungkin akan tawar hati dan sokongan parti lain seperti Gerakan Tanah Air.

"Langkah ini akan menguntungkan DAP dan PH dan mungkin strategi itu merupakan agenda sebenar DAP dan GTA untuk melemahkan UMNO-BN," tegas Isham.

Klik di sini untuk terus membaca