SUSULAN tulisan saya sebelum ini yang melahirkan kegusaran tentang kualiti kehidupan rakyat semakin menurun sejak akhir-akhir ini berteraskan data dan maklumat daripada lapangan, saya terpanggil untuk melaporkan perkara-perkara positif yang sedang berlaku di peringkat akar umbi.
Semasa saya membuat kerja lapangan baru-baru ini di Manjung, Perak, saya telah didedahkan dengan program EmpowerNCER, satu program Latihan Kemahiran dan Keusahawanan yang telah diusahakan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).
Ia salah satu program modal insan berteraskan rakyat yang direka khas untuk memperkasa golongan rentan iaitu wanita, belia dan Orang Asli daripada kumpulan B40 dengan memberi latihan kemahiran serta keusahawanan.
Ia bagi membolehkan mereka menjana pendapatan sendiri melalui perniagaan atau penempatan pekerjaan, seterusnya meningkatkan sosioekonomi keluarga serta kawasan setempat.
Pada mulanya saya agak pesimis dengan matlamat utama ingin dicapai oleh program tersebut sehinggalah saya bertemu sendiri dengan sekumpulan peserta yang baru menamatkan latihan.
Kegembiraan terpancar di wajah setiap peserta yang saya temui memberi sejuta makna jauh lebih penting daripada pelbagai statistik yang saya temui daripada kajian lapangan saya tentang program tersebut.
Jelas dan nyata bahawa apabila sesuatu usaha itu dilaksanakan dengan mengambil kira suara hati dan keperluan rakyat setempat serta berteraskan data maklumat mengenai ekonomi dan demografi penduduk setempat, maka sudah tentu usaha itu menepati keperluan rakyat terbanyak.
Ditambah dengan komitmen dan keikhlasan pihak yang mengusahakan program tersebut berjaya mendapat hasil yang benar-benar dapat memberi manfaat kepada rakyat.
Dalam pertemuan saya bersama bekas peserta program itu, saya dimaklumkan mereka adalah antara 400 peserta dari daerah Manjung dan Perak Tengah yang telah tamat latihan.
Mereka juga adalah sebahagian daripada 8,200 peserta empowerNCER sejak program itu dimulakan pada 2019 di semua 30 daerah di bawah Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang melibatkan Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.
Mereka telah mengikuti pelbagai kursus asas yang dikenal pasti daripada aktiviti ekonomi kawasan setempat selama enam hingga 12 bulan secara percuma. Ada antara mereka belajar mengenai bakery & pastry, spa dan kesihatan, kimpalan serta pendawaian elektrik.
Peserta telah mendapat sijil kemahiran yang diperakui dan menerima bimbingan keusahawanan dengan e-dagang yang membolehkan mereka memulakan perniagaan atau mendapat penempatan pekerjaan.
Menariknya, walaupun mereka baru tamat latihan dan ada antara mereka sebelum ini adalah penerima program Kasih Ibu Darul Ridzuan (KIDR) yang mendapat bantuan sara hidup, namun setelah menyertai program tersebut, mereka mampu menjana pendapatan, meningkatkan sosioekonomi keluarga dan berdikari.
Saya difahamkan ada beberapa peserta sebelum ini dalam B40 telah berjaya keluar daripada kelompok itu dan kini mencapai pendapatan dalam kumpulan M40.
Ada juga telah berjaya menjana pendapatan yang meletakkan mereka dalam kumpulan T20.
Ia adalah pencapaian sangat memberangsangkan. Yang jelas, berdasarkan peningkatan pendapatan yang tinggi, selain telah melonjakkan taraf hidup keluarga, mereka juga menjadi penggerak ekonomi setempat.
Mereka mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat sekeliling. Usaha seperti inilah yang kita harapkan dilaksanakan di peringkat akar umbi agar rakyat di bawah mendapat manfaat secara terus.
Masa depan akan terus cerah kepada sesiapa yang berusaha untuk mengubah nasib dan keluarga.
Walaupun mereka pernah berdepan pelbagai kesukaran semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun tidak mematahkan semangat mereka untuk terus berusaha dengan gigih.
Semoga lebih banyak program seumpama itu akan diadakan yang dapat membantu lebih ramai rakyat di seluruh negara.
* Datuk Dr Anis Yusal Yusoff ialah Felo Utama di KITA, UKM. Beliau pernah menjadi Presiden Institut Integriti Malaysia dan Timbalan Ketua Pengarah GIACC, JPM.
Klik di sini untuk terus membaca