PADA Isnin lalu, kediaman mewah peribadi bekas Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-45, Donald Trump yang dikenali sebagai Mar-a-Lago di Palm Beach, Florida diserbu oleh anggota-anggota Biro Siasatan Persekutuan (FBI).
Kira-kira 30 hingga 40 ejen FBI yang memakai sarung tangan, sut dan berpakaian kasual melakukan serbuan tersebut manakala sekitar 10 hingga 15 kenderaan agensi siasatan itu termasuk trak kelihatan di kediaman peribadi berkenaan.
Ketika serbuan, Trump tidak berada di dalam kediaman tersebut dan sebelum ejen-ejen bertindak menyerbunya, perkhidmatan rahsia yang bertugas menyediakan perkhidmatan perlindungan bekas Presiden berkenaan sudah diberitahu tentang rancangan FBI itu.
Trump sendiri mendedahkan serbuan tersebut pada hari yang sama dan tindakan sedemikian dilakukan ke atas bekas Presiden AS buat pertama kali sejak penubuhan negara berkenaan pada tahun 1776 manakala sehingga Rabu, Jabatan Keadilan 'Uncle Sam' tidak memberikan komen berhubung kejadian itu.
Bekas Presiden AS itu juga tidak memberikan sebarang petunjuk tentang mengapakah FBI menyerbu rumahnya tetapi berkata: "Mereka juga menceroboh peti besi saya!"
Sebaik sahaja ejen-ejen itu menggeledah kediaman tersebut selama berjam-jam termasuk membuka peti besi, portal berita Politico memetik seseorang yang biasa dengan peristiwa itu dengan berkata bahawa sejumlah dokumen telah dirampas.
Trump juga mengecam serbuan FBI sebagai satu bentuk 'persenjataan' sistem Keadilan oleh golongan Demokrat kiri yang radikal yang tidak mahu beliau bertanding sekali lagi dalam pilihan raya Presiden pada tahun 2024.
BIDEN TIDAK TAHU
Serbuan itu juga tidak diketahui oleh Presiden AS, Joe Biden daripada parti Demokrat yang menurut Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Karine Jean-Pierre, Biden tidak mempunyai sebarang notis awal mengenai kejadian tersebut dan menghormati kebebasan Jabatan Kehakiman.
FBI yang diketuai oleh bekas Penolong Peguam Negara, Christopher Wray yang dilantik oleh Trump pada tahun 2017 untuk mengetui agensi siasatan tersebut juga enggan memberikan alasan mengapakah anggota-anggotanya melakukan serbuan itu.
Bagaimanapun, media AS mendakwa ejen-ejen itu sedang menjalankan carian yang dibenarkan oleh pihak mahkamah berkaitan dengan potensi kesalahan dari segi pengendalian dokumen sulit yang telah dihantar ke Mar-a-Lago selepas Trump meninggalkan Rumah Putih pada Januari 2021.
Sejak meninggalkan jawatan Presiden, bekas Presiden AS itu kekal sebagai tokoh yang paling memecahbelahkan negara dan terus menyemai kepalsuan bahawa beliau sebenarnya telah memenangi undian pada pilihan raya untuk menjadi ketua negara 'Uncle Sam".
Akhbar New York Post melaporkan bahawa serbuan ke atas kediaman itu adalah disebabkan oleh siasatan berterusan terhadap kotak-kotak yang memuatkan bahan-bahan yang dibawa oleh bekas Presiden tersebut ke Florida ketika beliau meninggalkan Rumah Putih termasuk nota daripada diktator Korea Utara, Kim Jong-un.
MAKLUMAT SULIT
Pertikaian mengenai bahan itu mula-mula tercetus pada bulan Januari lalu apabila Arkib Negara berkata, ia telah mendapatkan 15 kotak rekod Rumah Putih termasuk maklumat sulit dari kediaman milik Trump yang sepatutnya diserahkan olehnya apabila beliau meninggalkan pejabat Presiden AS.
Serbuan itu kemudian mendapat komen-komen negatif daripada anggota-anggota parti Republikan termasuk daripada bekas Naib Presiden Trump, Mike Pence yang menyatakan kebimbangan mendalamnya berhubung serbuan itu.
Pence dalam ciapannya di laman Twitter menyatakan beliau bersama berjuta-juta rakyat AS berasa bimbang berhubung pencarian yang belum pernah berlaku sebelum ini di rumah peribadi Trump dan tiada bekas Presiden negara berkenaan pernah tertakluk kepada serbuan kediaman peribadi mereka dalam sejarah Amerika.
Kevin McCarthy yang berusaha untuk menjadi Speaker Dewan Perwakilan jika parti Republikan memenangi pilihan raya anggota-anggota dewan tersebut pada pertengahan November depan mengancam untuk menyiasat Jabatan Keadilan dan Peguam Negara, Merrick Garland berhubung serbuan FBI ke atas kediaman Trump di Florida.
Seorang lagi anggota Republikan, Elise Stefanik menganggap bahawa serbuan itu sebagai hari gelap dalam sejarah AS tetapi wakil parti Demokrat, Ted Lieu kemudian membidas dengan mempersoalkan mengapakah FBI tidak boleh menyiasat bekas Presiden AS?
Namun, sejumlah anggota Demokrat menyokong serbuan itu antaranya ialah Nancy Pelosi iaitu Speaker Dewan Perwakilan memberitahu stesen penyiaran NBC bahawa tiada orang yang berada di atas undang-undang.
Bagaimanapun, bekas Timbalan Pengarah FBI, Andrew McCabe memberitahu CNN bahawa beliau tidak percaya serbuan tersebut hanya mengenai bahan-bahan Arkib Negara.
"Nampaknya mereka mesti mempunyai lebih daripada itu," ujarnya seperti dilaporkan AFP.
Sehubungan itu, AS juga masih menyimpan rahsia dan masih tidak mahu mendedahkan kepada umum pasa Isnin lalu kenapakah kediaman bekas Presiden negara itu menjadi serbuan FBI. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca