SHAH ALAM - Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir menegaskan mereka yang terlibat dalam skandal perolehan enam kapal tempur pesisir (LCS) tidak kisah digelar 'penderhaka' negara asalkan dapat... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir menegaskan mereka yang terlibat dalam skandal perolehan enam kapal tempur pesisir (LCS) tidak kisah digelar 'penderhaka' negara asalkan dapat menambahkan kekayaan diri.

Malah katanya, mereka yang terlibat itu hanya memikirkan kepentingan peribadi dan langsung tidak mengendahkan pentingnya meletakkan kedaulatan negara di tempat tertinggi.

"Hinanya pandangan dunia terhadap kita apabila kita dilihat sebagai negara perasuah. Apalah sangat gelaran 'penderhaka' berbanding dengan keselamatan dan kedaulatan negara yang tergugat kerana ketamakan mereka?

"Kalau proses perolehan LCS ini dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan oleh kerajaan, ketirisan seperti ini tidak akan berlaku.

"Namun, apabila kepentingan diri mengatasi kepentingan awam, masalah besar seperti ini timbul. Mustahil RM6.083 bilion boleh di belanja tanpa hasil yang sepatutnya jika penyelewengan tidak berlaku,” katanya kepada Sinar Premium pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas rakaman video yang dimuat naik di laman sosialnya pada Ahad berhubung gelaran 'penderhaka' itu.

Pada 4 Ogos lalu, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengumumkan sembilan rumusannya sebagai punca kepincangan projek LCS bernilai RM9 bilion.

Kontroversi LCS.

Melalui laporan berkenaan, kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion untuk projek lima kapal LCS kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal diterima setakat ini.

Laporan PAC turut mendedahkan BNS tidak menggunakan sepenuhnya bayaran yang diterima daripada kerajaan untuk projek tersebut, menyebabkan syarikat itu menghadapi 'cost overrun' sebanyak RM1.4005 bilion.

Selain itu, Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan BNS juga didapati mengabaikan pandangan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selaku pengguna akhir.

Mengulas lanjut, bekas Menteri Besar Kedah itu berkata, mereka yang terlibat dalam perolehan enam LCS memikul tanggungjawab untuk sentiasa mengutamakan kepentingan negara baik dari segi keberkesanan peralatan dalam memenuhi keperluan pertahanan perairan, perbelanjaan yang optimal dan impak positif kepada industri pertahanan tempatan.

"Bagaimanapun projek LCS gagal dari segala aspek. Tanggapan ramai ialah kes ini tidak disebabkan oleh kecuaian tetapi kerana penyelewengan,” katanya.

Mukhriz tidak menolak kemungkinan terdapat campur tangan politik dalam penyelewengan ini untuk kepentingan peribadi.

"Umum mengetahui bahawa kepimpinan UMNO yang mentadbir kerajaan ketika itu memang terpalit dengan pelbagai skandal penyelewengan seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International Sdn Bhd, Yayasan Akal Budi, projek solar sekolah di Sarawak, Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) dan Tabung Haji yang menunjukkan trend bahawa mereka tidak teragak-agak untuk menyalahgunakan kuasa untuk memperkayakan diri.

"Maka tidak pelik jika timbul tanggapan bahawa kes LCS ini juga melibatkan penyelewengan oleh pihak yang sama,” katanya.

Selain itu, beliau turut meluahkan rasa kecewa apabila 10 surat teguran dan rasa tidak puas hati bekas Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tan Sri Dr Abdul Aziz Jaafar mengenai tatacara perolehan projek LCS tidak diendahkan oleh MINDEF dan BNS.

"Sememangnya menjadi tanggungjawab beliau yang merupakan Panglima Tentera Laut mewakili TLDM ketika itu untuk mengesyorkan spesifikasi kapal dan senjata yang menepati tujuan perolehan tersebut.

"Tentu sahaja apabila syor beliau tidak diendahkan, malah keputusan-keputusan penting dibuat oleh wakil pentadbiran kerajaan dan vendor, pihak TLDM akan berasa tidak puas hati.

"Tindakan beliau untuk mengutus surat kepada semua pihak atasan yang terlibat adalah tepat dan mengikut prosedur. Namun tiada satu pun keluhan beliau itu dipedulikan dan kesudahannya, pada hari ini, tidak ada satu pun kapal LCS itu siap dibina,” katanya.

Beliau menambah dengan pendedahan PAC itu, keselamatan perairan negara boleh terjejas dan meletakkan kedaulatan negara kepada risiko yang tidak sepatutnya.

"Kita membaca laporan bahawa Singapura telah berjaya membina lapan buah kapal misi pesisir (Littoral Mission Vessels atau LMV) dalam tempoh tujuh tahun tetapi dalam tempoh yang sama, Malaysia membelanjakan lebih RM6 bilion tanpa satu pun kapal siap dibina.

"Jelas sekali, proses perolehan kapal tentera laut memakan masa yang lama. Sekali ianya bermasalah, kesannya sangat panjang dan kita sepatutnya sudah mempunyai LCS untuk meronda perairan ketika ini tetapi kerana skandal ini, perairan kita tidak dikawal pada tahap yang dirancang lebih sembilan tahun dahulu,” katanya.

Biarpun berdepan dengan skandal, Mukhriz menegaskan disebabkan kerajaan telah membelanjakan wang yang begitu banyak, projek LCS ini mesti diteruskan dengan syarat tidak bolos harga siling RM9.0 bilion dan kesemua enam-enam kapal disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.

"Pada pandangan saya, RM9.0 bilion itu pun satu jumlah yang terlalu tinggi untuk enam buah kapal. Kemungkinan besar Singapura juga tidak membelanjakan jumlah itu untuk membina lapan buah kapal LMV mereka.

"Oleh Itu, kerajaan tidak sepatutnya membelanjakan wang yang lebih untuk menyiapkan projek ini. Kalau ada keperluan dana tambahan, pihak vendor patut tanggung kos itu kerana tidak menepati kehendak negara,” katanya.

Katanya, di masa hadapan, tender terbuka antarabangsa untuk memilih limbungan kapal perlu dibuat seperti mana yang pernah dilakukan untuk perolehan Offshore Patrol Vessel (OPV).

"Limbungan kapal di luar negara yang dipilih boleh dipadankan dengan limbungan kapal tempatan kita untuk memenuhi permintaan perkapalan negara. Elakkan dari pendekatan rundingan terus seperti yang dilakukan untuk LCS ini,” katanya.

Kabinet pada Rabu memutuskan untuk menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyegerakan siasatan terhadap projek LCS TLDM.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mesyuarat kabinet pada Rabu turut mencadangkan Laporan Pengauditan Forensik Projek LCS yang dijalankan pada tahun 2019 dinyahklasifikasikan dengan syarat mendapat pandangan Peguam Negara dan Ketua Audit Negara terlebih dahulu.

Beliau turut memberi jaminan siasatan berhubung isu berkenaan dijalankan dengan telus, bahkan kerajaan tidak akan melindungi sesiapa pun yang terlibat.

Menurut Ismail Sabri, sekiranya terdapat bukti kukuh, Peguam Negara diminta membuat pendakwaan dan membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Ismail Sabri turut memaklumkan bahawa mesyuarat kabinet juga membuat keputusan agar Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dibenarkan untuk disiarkan kepada umum.

Beliau bagaimanapun berkata, keputusan jemaah Menteri itu tidak akan mengganggu proses mobilisasi di bawah pelan pemulihan LCS yang diputuskan jemaah Menteri pada 20 April 2022.

Pada Sabtu, Azam memaklumkan bahawa siasatan pihaknya berhubung penyelewengan dalam perolehan lima buah kapal LCS oleh TLDM kini berada di peringkat terakhir.

Azam bagaimanapun berkata, butiran terperinci berkaitan siasatan masih tidak dapat didedahkan kepada umum kerana ia membabitkan maklumat sensitif dan rahsia.

Klik di sini untuk terus membaca