SHAH ALAM - Kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) yang menyumbang peningkatan terhadap kadar faedah pinjaman bank di dalam negara sememangnya bakal memberikan kesan khususnya terhadap kumpulan B40 yang mempunyai pelbagai komitmen pinjaman.
Penganalisis Ekonomi dari Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, perkembangan itu dilihat akan membebankan individu atau isi rumah yang mempunyai pinjaman perumahan dan peribadi.
Katanya, situasi itu diburukkan lagi dengan tahap perbelanjaan kumpulan B40 yang sangat rendah.
"Walaupun kenaikan 0.25 peratus itu kalau untuk pinjaman perumahan berharga RM400,000, kenaikan bayaran bulanan hanya sekitar RM60 tapi kalau kenaikan dua kali dah jadi RM120.
"Kemudian kalau tambah dengan pinjaman peribadi, maka dia akan meningkatkan komitmen bulanan itu sehingga RM200 ke RM300.
"Selain itu, kalau kita lihat laporan Khazanah Research Institute (KRI), B40 ini dari segi pendapatan boleh guna atau lebihan wang setiap bulan hanya lebih kurang RM70. Jadi bayangkan kalau kenaikan itu RM100 ke RM200 maka sudah tentu memberi beban,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika program Sinar Live bertajuk ‘OPR naik: Sejauh mana bebankan rakyat’ yang diacarakan Hazwan Mokhtar dan disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian pada Khamis.
Bank Negara Malaysia (BNM) dilaporkan bakal mengekalkan kecenderungan meningkatkan kadar faedah pada September, sekaligus menyaksikan kenaikan OPR untuk kali ketiga berturut-turut tahun ini daripada.
Firma Penyelidikan, Kenanga Research berkata, kenaikan itu dipercayai dilakukan berdasarkan jangkaan kadar inflasi Malaysia berada pada purata melebihi paras 4.0 peratus pada separuh kedua 2022 (2H22) berikutan kenaikan harga makanan ekoran peningkatan kos import.
Setakat ini, OPR berada pada kadar 2.25 peratus.
Dalam pada itu, Ahmed Razman berkata, pemain sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang ketika ini sudah sedia berhadapan kelembapan ekonomi dan peningkatan kos harga barangan juga bakal terjejas dengan kenaikan kadar OPR itu.
"Kita lihat apa yang berlaku pada Krisis Kewangan Asia1998. Semasa itu kadar faedah amat tinggi. Adakah ia membantu segelintir atau kebanyakan peniaga PKS? Tidak.
"Ramai yang gulung tikar ramai kerana tidak mampu meneruskan perbelanjaan kerana kadar pinjaman terlalu tinggi. Ia hanya menguntungkan sesetengah perniagaan yang besar.
"Kalau kita lihat situasi sekarang juga walaupun kadar 2.25 peratus masih agak rendah sebab berbanding sebelum pandemik 3.25, tapi jika ia diteruskan naik sedikit demi sedikit memang akan memberikan kesan kepada kebanyakan PKS yang masih belum pulih sepenuhnya akibat pandemik,” ujarnya.
Ahmed Razman berkata, langkah pengawalan kenaikan inflasi sepatutnya disandarkan semata-mata terhadap pengawalan OPR kerana ia perlu turut disertai dengan bantuan langkah lain seperti mewujudkan mekanisme pertukaran mata wang tidak berdasarkan tunai.
Katanya, selain tunai, komoditi dimiliki penyedia perkhidmatan barangan juga boleh dijadikan sebaga mata wang dalam menggerakkan aktiviti ekonomi di dalam negara dan kaedah pertukaran itu menurut beliau telah diamalkan di beberapa negara luar.
"Kalau kita fikirkan satu mekanisme yang mana barangan perkhidmatan boleh diurus niaga menggunakan satu medium tidak libatkan wang tunai.
"Maka dia (aktiviti ekonomi) tidak akan terkesan dengan kenaikan kadar (OPR) dan lambakan kredit dan sebagainya. Dengan cara itu, saya lihat ekonomi itu berpotensi terus berjalan walaupun berlakunya kenaikan kadar OPR,” ujarnya.
Ahmed berkata, selain mencari alternatif pembiayaan perumahan dan peribadi yang tidak bersandarkan kepada pinjaman, rakyat Malaysia juga perlu meningkatkan kecelikan pengurusan kewangan mereka agar dapat menangani kesan kenaikan OPR lebih baik.