SHAH ALAM - Kenaikan harga barangan terutama bahan mentah terus menekan golongan menetap di bandar yang bukan sahaja perlu menanggung kos makanan malah menyelesaikan sewa rumah dan pengangkutan.
Rata-rata pengguna yang ditemui memberitahu setakat ini tiada penurunan harga ketika membeli barang mentah sebaliknya harga makanan di kedai makan dan restoran terus meningkat.
Pembekal barangan perubatan, Norashikin Ahmad, 29, berkata, dia terkesan dengan kenaikan harga bahan mentah kerana perlu mengeluarkan sebanyak RM300 hingga RM400 sebulan untuk keperluan tersebut.
"Saya rasa hendak menangis, harga barang tidak turun diambah pula dengan kos sara hidup di bandar terus meningkat.
"Jadi apabila sudah berkeluarga ini perlu berjimat cermat dan terpaksa kurangkan pembelian untuk bertahan hidup di bandar,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambahnya, kerajaan wajar memantau kenaikan harga makanan di restoran dan kedai makan susulan kenaikan harga barang mentah.
Berkongsi pandangan sama, pekerja swasta, Amirul Farid, 28, berkata dia terpaksa memesan makanan menerusi aplikasi penghantaran makanan berikutan kekangan masa selain mendapati harga makanan semakin mahal.
"Orang bujang turut terbeban sebab selain nak tanggung kos makanan, kita ada komitmen lain untuk bayar sewa rumah, kos pengangkutan, utiliti dan perbelanjaan lain. Kebanyakan kedai dan restoran pula menaikkan harga makanan.
"Jadi pengguna seperti kami terpaksa menerima tempias kenaikan harga itu. Kita harap kerajaan bertindak tegas untuk memastikan bahan mentah tidak terus mengalami kenaikan harga sehingga membebankan pengguna,” ujarnya.
Sementara itu, pekerja pengurusan syarikat swasta, Muhammad Bukhari Nordin, 28, menjelaskan trend harga barang mentah pada masa ini kadangkala tidak menentu.
"Ini menyebabkan perbelanjaan isi rumah terganggu bagi menyediakan bajet bulanan. Yang paling terkesan adalah kenaikan harga minyak masak.
"Sebelum ini saya membeli minyak masak botol lima kilogram pada harga sekitar RM20 lebih tetapi sekarang ada yang mencecah sehingga RM30 ke atas,” ujarnya.
Muhammad Bukhari berharap supaya kerajaan melakukan pemantauan secara berkala bukan sahaja di pasar raya malah di restoran dan kedai makanan untuk memastikan harga makanan tidak dinaikkan secara sewenang-wenangnya meskipun sudah berlaku penurunan harga barangan mentah.
Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Muhammad Fikri Ramlan, 21, pula berkata, dia perlu berjimat cermat untuk membeli makanan susulan kenaikan harga makanan.
"Disebabkan faktor kewangan, pelajar seperti saya selalu membeli makanan lebih murah. Justeru, kita harap kerajaan berbuat sesuatu untuk memastikan harga makanan tidak membebankan pembeli,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca