SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengharapkan peniaga dapat menurunkan harga makanan susulan harga bahan asas yang mula stabil.
Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid berkata, pihaknya menuntut kerjasama daripada peniaga untuk menurunkan harga makanan sekali gus dapat meringankan beban yang dihadapi pengguna.
"Kita berharap peniaga faham dan memberi kerjasama kerana seharusnya apabila harga bahan mentah turun, maka harga makanan yang sudah dimasak ini juga turun.
"Tetapi, apabila bahan mentah dah turun, harga makanan tidak pula turun. Semalam, saya pergi ke pasar dan lihat harga ayam ada yang turun kepada RM6.40. Tetapi, harga nasi ayam masih belum turun," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Menurutnya, KPDNHEP turut sentiasa memantau dan mengingatkan peniaga supaya tidak mengenakan harga yang tidak munasabah terhadap makanan yang dijual.
Dalam pada itu, beliau juga memberikan amaran kepada kartel yang terus memonopoli harga barangan di negara ini sehingga menyusahkan banyak pihak.
"Kita akan terus menyiasat unsur kartel dan tidak akan membiarkan mereka berleluasa. Contohnya seperti ayam baru-baru ini, apabila ada unsur kartel maka kita akan ambil tindakan.
"Namun, pengguna juga tidak boleh terus menuduh kenaikan sesuatu barang itu kerana kartel. Kenaikan dan kejatuhan harga sesuatu barang itu adalah bergantung kepada permintaan dan penawaran," katanya.
Beliau turut mengesahkan laporan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan menyatakan beberapa barangan seperti harga jagung untuk makanan ayam dan soya di negara ini sudah menunjukkan penurunan.
Pakar jangka harga makanan turun dalam tempoh enam bulan
Sementara itu, pakar ekonomi menjangkakan harga makanan asas di dalam negara menurun dalam tempoh enam bulan ini.
Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Pengajian Siswazah, Kolej Universiti i-CATS, Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor berkata, ia susulan indeks harga makanan yang dicatatkan Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan trend penurunan pada Julai.
Bagaimanapun, katanya, impak penurunan harga makanan boleh berlaku dengan syarat tidak wujud kartel dalam kalangan peniaga di Malaysia.
"Penurunan (harga) akan berlaku dengan syarat peniaga tidak mengamalkan konsep kartel. Sebagai negara yang mengamalkan ekonomi terbuka, apa yang berlaku di luar negara akan memberikan impak yang sama kepada kita.
"Memang boleh berlaku, tetapi kalau wujudnya kartel yang mengawal harga, kemungkinan ia tidak akan berlaku,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, Shazali berkata, keadaan tersebut dijangka turut melegakan sedikit inflasi yang melanda negara pada ketika ini.
Beliau berpandangan, kadar inflasi mungkin menurun kepada kurang empat peratus dalam tempoh terdekat.
"Ini kerana banyak barang-barang dalam bakul inflasi seperti gula, tepung dan susu yang terlibat dalam penurunan harga. Jadi ia akan melegakan inflasi,” ujar beliau.
Menurut beliau, sumber bahan-bahan mentah seperti minyak sawit, minyak sayur dan sebagainya mempunyai rantaian yang berkait rapat antara satu sama lain.
"Ia tidak bergerak sendiri, semuanya ada rantaian masing-masing. Jadi, secara keseluruhan, ia akan memberi kesan kepada negara.
"Kita lihat sekarang ini, harga minyak, telur dan ayam mulai turun dan terkawal. Kita sudah mula merasai kesan (penurunan harga) seperti yang dilaporkan oleh FAO,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca