LAWATAN Nancy Pelosi ke Taiwan selepas singgah sebentar di Kuala Lumpur bukan satu kunjungan biasa. Pemergian Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) itu ke Taipei cukup untuk mewujudkan kebimbangan besar kepada Polisi Satu China... Klik di sini untuk terus membaca

LAWATAN Nancy Pelosi ke Taiwan selepas singgah sebentar di Kuala Lumpur bukan satu kunjungan biasa. Pemergian Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) itu ke Taipei cukup untuk mewujudkan kebimbangan besar kepada Polisi Satu China (One-China-Policy).

Kedegilan AS memaksa Pelosi ke Taiwan sebenarnya membawa maksud sangat mendalam, sekali pun China mengancam menyerang pulau tersebut.

Ada yang percaya lawatan Pelosi punya misi tersendiri. Penulis percaya AS sebenarnya bimbang dengan isu cip semikonduktor yang dikuasai Taiwan akan memberi kesan mendalam terhadap perkembangan teknologi dan kelengkapan komputer mereka.

Penulis memiliki sejarah hubungan menarik dengan Taiwan Semiconductor Manufacturing Company (TSMC), syarikat pembekal cip terbesar dunia. Penulis pernah membuat lawatan kerja ke TSMC di Hsinchu Science Park (HSP), Taiwan. Ketika itu penulis dalam rangka untuk membangunkan Selangor Science Park (SSP).

Konsep SSP dicetuskan penulis kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) pada 1997. Rentetan kerjasama tersebut, wujud SSP-1 di Sungai Buloh dan SSP-2 di Cyberjaya, Selangor.

SSP-2 di Cyberjaya telah menarik pelaburan bernilai hampir RM4 bilion melalui beberapa pelabur terbesar termasuk Q-Cell dari Jerman dan Kumpulan Andaman.

Ketika itu HSP yang mula dibangunkan pada 1985 digelar ‘The Taiwan Silicon Valley’. Di situlah terletak banyak syarikat teknologi tinggi bertaraf dunia yang dikelilingi institut akademik penyelidikan seperti National Tsinghua University, Jiaotong University, National Experimental Research Institute, National Space Centre dan Instrument Technology Research Centre.

Berdasarkan pengalaman itu, selain isyarat kononnya TSMC semakin lemah dan wujud petanda kemungkinan AS akan sukar mendapatkan bekalan cip daripada syarikat berkenaan menyebabkan Pelosi terpaksa terbang ke Taiwan untuk membuat penilaian peribadi.

Wujud juga kemungkinan Pelosi menjadi orang tengah untuk merangka perjanjian baharu dengan TSMC. Kebergantungan AS kepada TSMC sangat ketara. Sebagai contoh, syarikat AS, Apple ialah antara pembeli terbesar cip milik TSMC iaitu 25 peratus daripada jumlah pengeluaran syarikat berkenaan.

Apple menyumbang 25.9 peratus daripada perolehan perniagaan TSMC. Tahun lalu, TSMC meraih US$45.51 bilion (RM202.8 bilion). Daripada jumlah tersebut, US$11.4 bilion (RM50.8) melibatkan urusniaga dengan Apple. Urus niaga sebuah lagi syarikat AS, Intel dengan TSMC menjurus kepada bekalan cip generasi N3 untuk kad pemproses grafik (GPU) sehingga 2023.

Kenapa TSMC sangat penting kepada AS? Cip dari Taiwan akan meneruskan kesinambungan pengeluaran pembuatan cip yang memonopoli semua peranti digital berasaskan internet of things (IoT). Ini menjadikan TSMC sebagai syarikat faundri semikonduktor paling bernilai di dunia berbanding syarikat pesaing lain seperti Media Tek, Qualcomm, Samsung dan Foxconn.

Kepentingan cip disebut ALLAH SWT dalam surah Al-An'aam ayat [6:88-90] bermaksud: "Itulah petunjuk ALLAH, yang dengannya Dia memberi petunjuk kepada siapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya. Seandainya mereka mempersekutukan ALLAH, nescaya lenyaplah amalan mereka yang telah mereka kerjakan.

"Mereka itulah orang-orang yang telah kami berikan kepada mereka kitab, hikmah (kefahaman agama) dan kenabian. Jika orang-orang (Quraisy) itu mengingkarinya (yang tiga macam itu), maka sesungguhnya Kami akan menyerahkannya kepada kaum yang sekali-kali tidak akan mengingkarinya.

"Mereka itulah orang-orang yang telah diberi petunjuk oleh ALLAH, maka ikutilah petunjuk mereka. Katakanlah: Aku tidak meminta upah kepadamu dalam menyampaikan (al-Quran). Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan untuk segala umat.”

Ekonomi AS akan terkesan dengan teruk sekiranya tidak mendapat 90 peratus bekalan cip daripada TSMC. Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Perdagangan AS, Gina Raimondo kepada saluran antarabangsa, Consumer News and Business Channel (CNBC).

Gina percaya AS akan mengalami ‘kemelesetan ekonomi secara mendadak dan mendalam’ serta berdepan risiko keselamatan tinggi sekiranya kehilangan akses kepada pengeluaran cip terbesar Taiwan itu.

Pada masa sama, penulis ingin bertanya apa sudah jadi dengan industri cip Malaysia? Suatu ketika dahulu Malaysia pembekal cip kedua terbesar dunia. Seharusnya Malaysia meneruskan usaha untuk mengekalkan status tersebut kerana pasaran pembelian cip yang sentiasa meningkat.

Kesimpulannya, cip boleh dijadikan senjata sulit untuk mengukuhkan ekonomi negara kerana pasaran dan industri dunia, khususnya AS sentiasa perlukan bekalan cip.

Malaysia memiliki sejarah industri cip yang panjang. Justeru, industri semikonduktor dan cip harus dipertahankan demi masa depan ekonomi Malaysia. Kunjungan Pelosi ke Taiwan bukti kepentingan bekalan cip.

*Profesor Dr Ir Muhidin Arifin ialah Ketua Pegawai Operasi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor.

Klik di sini untuk terus membaca