SELEPAS Rusia melakukan serangan ke atas Ukraine pada Februari lalu, Turkiye mengecam penggunaan ketenteraan oleh Moscow tetapi enggan menyertai sekatan antarabangsa ke atas Kiev yang dilakukan oleh Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara sekutunya.
Sekatan itu tidak dilaksanankan oleh Ankara walaupun ia mula menjadi anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) pada tahun 1952 kerana ahli-ahlinya meminggirkan Moscow sehingga menyebabkan harga bahan api, gas dan pelbagai barangan lain meningkat di seluruh dunia.
Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan sebaliknya tidak mengikut rentak AS dan sekutu-sekutunya itu sebaliknya menyatakan baru-baru ini bahawa negaranya memasuki satu tempoh yang amat berbeza dalam hubungannya dengan Rusia.
Ketika bercakap di St. Peterburg, Rusia, Erdogan pada 9 Ogos lalu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin berikutan panggilan telefon kepadanya selepas pihak tentera gagal melakukan rampasan kuasa pada 15 Julai 2016.
Lawatan Erdogan atas undangan Putin itu berlaku ketika hubungan Turkiye dengan Eropah dan AS tegang dengan apa yang Ankara lihat sebagai kebimbangan Barat terhadap kegagalan rampasan kuasa tersebut yang menyebabkan lebih 240 orang terbunuh.
Ia juga diadakan selepas beberapa buah kapal yang membawa bijirin mula keluar dari pelabuhan di Laut Hitam baru-baru inui setelah tidak dapat belayar akibat Perang Ukraine namun disebabkan oleh perjanjian yang ditandatangani melibatkan Rusia, Ukraine, Turkiye dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Istanbul pada bulan lalu, masalah tersebut dapat diatasi.
Presiden AS, Joe Biden pernah mempersalahan Putin di San Pedro, California pada 10 Jun 2022 dengan mendakwa bahawa berikutan kenaikan harga barangan termasuk minyak sehingga menyebabkan peningkatan inflasi setinggi 8.6 peratus yang dicatatkan pada Mei 2022 di negara berkenaan.
Bagaimanapun, Erdogan tidak seperti Biden yang mengecam Putin sebaliknya meningkatkan lagi hubungannya dengan beliau yang mana negaranya memiliki sempadan maritim dengan Rusia tetapi hubungan baik tersebut telah mencemaskan para pegawai negara-negara Barat.
Sebanyak enam pegawai Barat yang namanya tidak didedahkan memberitahu Financial Times bahawa mereka berasa bimbang tentang rancangan Rusia dan Turkiye untuk bekerjasama dalam isu-isu perdagangan dan tenaga.
PANTAU HUBUNGAN ANKARA, MOSCOW
Seorang pegawai Kesatuan Eropah (EU) berkata bahawa pakatan tersebut sedang memantau hubungan antara Ankara dan Moscow yang kini lebih rapat memandangkan Turkiye nampaknya kelihatan menjadi platform perdagangan dengan Rusia.
Selepas pertemuan empat jam dengan Putin pada hari Jumaat lalu di Sochi, Rusia, Erdogan mengalu-alukan peranan Rusia dalam membina loji kuasa nuklear di Turkiye dan kedua-dua negara menyasarkan perolehan perdagangan dua hala sebanyak AS$100 bilion (RM444 bilion) selain bekerjasama menentang keganasan dan berusaha ke arah keamanan di Libya dan Syria.
Putin berjanji bahawa Rusia akan membekalkan Turkiye dengan minyak, gas dan arang batu tanpa sebarang gangguan selepas kedua-dua pemimpin bersetuju bahawa Ankara akan membayar sebahagian daripada gas dengan menggunakan mata wang Rusia, ruble.
Walaupun Washington telah memberi amaran bahawa ia akan menghukum negara-negara yang memintas sekatannya ke atas Rusia, namun tidak ada petunjuk bahawa sama ada AS atau EU akan mengambil langkah tersebut terhadap Turkiye setakat ini.
Walaupun mendapat tekanan hebat dari AS, Turkiye bertindak membeli sistem pertahanan udara S-400 milik Rusia dan pernah menghalang penyertaan Finland dan Sweden ke dalam NATO dalam tindakan kerasnya memerangi kumpulan Kurdis.
Pada masa ini, satu-satunya kesan konkrit yang dicadangkan oleh pegawai Barat berhubung tindakan Turkiye menjalin hubungan baik dengan Rusia adalah melibatkan institusi kewangan dengan menyeru bank-bank dan syarikat-syarikat untuk menarik diri dari negara tersebut namun ini mungkin tidak akan berlaku, menurut Financial Times.
"Terdapat kepentingan ekonomi yang sangat penting yang mungkin akan berjuang keras menentang tindakan negatif itu," kata seorang pegawai Eropah kepada akhbar berkenaan.
Dalam pertemuan antara kedua-dua pemimpin tersebut, Putin turut berterima kasih kepada rakan sejawatannya dari Turkiye itu berikutan peranan yang dimainkannya dalam perjanjian yang diuruskan oleh Ankara dan PBB untuk memudahkan penghantaran semula bijirin Ukraine melalui pelabuhan Laut Hitam.
Erdogan pula telah menyifatkan diplomasinya dengan Kiev dan Moscow sebagai seimbang manakala Turkiye adalah satu-satunya negara dalam pakatan NATO yang tidak mengenakan sekatan ke atas Rusia kerana menyerang Ukraine.
Turkiye juga menjalin hubungan yang baik dengan Ukraine apabila syarikat dari negara tersebut, Baykar yang menghasilkan dron serangan Bayraktar kini dalam proses membina kilang di wilayah Ukraine, menurut Duta Ukraine ke Turkiye, Vasyl Bodnar.
Dalam temu bual dengan agensi berita RBC Ukraine yang diterbitkan pada 8 Ogos, Bodnar berkata bahawa Baykar telah mewujudkan sebuah syarikat di Ukraine dan sebuah kilang yang dikhabarkan sedang dalam pembinaan sebelum permulaan pencerobohan Rusia pada akhir Februari lalu, masih lagi dalam proses pembangunan.
Sehubungan itu, gaya diplomasi Erdogan dalam hubungan dengan Rusia dan Ukraine dilihat memberikan keuntungan kepada Turkiye dan ia tidak mengambil pendekatan bermusuhan seperti yang dilakukan oleh AS dan sekutu-sekutunya buat masa ini. – Agensi
Klik di sini untuk terus membaca