12 OGOS ialah Hari Belia Antarabangsa. Tema tahun ini ialah 'Solidariti Inter-Generasi: Mencipta Dunia Untuk Semua Usia'. Ia merujuk kepada langkah-langkah rentas generasi yang diperlukan bagi merealisasikan Matlamat-matlamat... Klik di sini untuk terus membaca

12 OGOS ialah Hari Belia Antarabangsa. Tema tahun ini ialah 'Solidariti Inter-Generasi: Mencipta Dunia Untuk Semua Usia'. Ia merujuk kepada langkah-langkah rentas generasi yang diperlukan bagi merealisasikan Matlamat-matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) dan supaya tiada sesiapa yang ketinggalan.

Bagi menyambutnya, Majlis Belia Malaysia (MBM) menganjurkan forum antarabangsa yang menemukan Presidennya, Mohd Izzat Afifi dengan pemimpin-pemimpin belia daripada pelbagai negara. Saya diundang menyampaikan kata-kata sambutannya.

Sebagai Menteri Luar, saya menggunakan pendekatan penghakupayaan belia. Pasukan Petugas Belia Wisma Putra-MBM telah ditubuhkan. Ia dianggotai oleh pemimpin-pemimpin belia dengan tujuan memfasilitasi partisipasinya dalam membuat keputusan mengenai dasar luar dan menyertai delegasi-delegasi antarabangsa tertentu.

Pada 6 Ogos lalu, saya merasmikan ‘Makmal Diplomasi’ anjuran MyDiplomacy, sebuah gerakan yang bertujuan mendekatkan belia dengan diplomasi. Ia melibatkan empat fokus: komuniti, kerjaya, perbincangan dan perundingan; dan menghakupaya mereka dengan fellowship, biasiswa, persidangan-persidangan dan program-program pertukaran.

Pada Jun lalu, kumpulan yang dipengerusikan Elisa Shafiqah ini telah menganjurkan ‘Meja Bulat Belia Kebangsaan’ yang menghimpunkan perwakilan-perwakilan belia dari persatuan-persatuan Perhubungan Antarabangsa (PA) di Malaysia bagi membincangkan isu-isu PA dan senario diplomasi negara yang melibatkan belia.

Saya telah menerima laporannya. Ia mengandungi tiga komponen iaitu kedudukan ijazah PA di Malaysia, jurang-jurang yang dilalui oleh pelajar-pelajar dalam pengajian PA dan cadangan-cadangan meningkatkan partisipasi pelajar.

Sebenarnya, kita memerlukan lompatan saujana dalam penghakupayaan belia khususnya tentang membuat keputusan dalam semua bidang di setiap peringkat.

Hal ini digarap Raja Ahmad Aminullah dalam buku terbarunya, Genta telah Berbunyi: Masa untuk Generasi Baru, yang saya diberi penghormatan meluncurnya pada 6 Ogos lalu.

Buku ini menghimpunkan sejumlah perkara yang menggusarkan rakyat iaitu korupsi, elit yang compromised, projek gajah putih, perpecahan rakyat, politik untuk kekayaan peribadi dan kurangnya intelektual yang memandaikan bangsa.

Untuk masa depan negara, beliau yakin dengan peranan generasi baru. Namun, beliau risau kerana "...percakapan mengenai permasalahan masyarakat ini sering didominasi oleh generasi yang berada dalam lingkungan 60-an, 70-an, 80-an, malah 90-an. Suara-suara dari generasi baharu seringkali tenggelam dalam perbicaraan-perbicaraan ini.

Namun, ia seolah-olah bagi golongan lama, generasi baharu ini tidak wujud sama sekali. Kelihatan bahawa kedua-dua segmen ini hadir dalam parallel universe.”

Saya memahami hal ini. Generasi baharu mengimpikan agar mereka dipimpin generasi sezaman.

Bagi memenuhi sebahagian impian ini maka, buat pertama kalinya delegasi Malaysia ke Perhimpunan Agung PBB pada September ini akan disertai dua orang pemimpin belia iaitu seorang lelaki dan seorang wanita.

* Datuk Seri Saifuddin Abdullah ialah Menteri Luar Negeri dan Ahli Parlimen Indera Mahkota. Beliau aktif di Twitter: @saifuddinabd

Klik di sini untuk terus membaca