KUALA LUMPUR - Diibaratkan seperti emas, gading gajah menjadi rebutan pemburu haram berikutan harga bagi setiap kilogram (kg) taring haiwan tersebut boleh mencecah AS$2,000 di pasaran gelap. Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar... Klik di sini untuk terus membaca

KUALA LUMPUR - Diibaratkan seperti emas, gading gajah menjadi rebutan pemburu haram berikutan harga bagi setiap kilogram (kg) taring haiwan tersebut boleh mencecah AS$2,000 di pasaran gelap.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, Perhilitan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) pernah menahan seorang pemburu gajah iaitu lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an pada 10 Julai 2020 di Jerantut, Pahang.

Abdul Kadir

Menurut beliau, Perhilitan percaya dengan dengan tertangkapnya suspek, masih ada beberapa individu yang berada dalam radar untuk tindakan lanjut.

"Berdasarkan siasatan, kita percaya sememangnya terdapat pemburu haram yang menyasarkan gajah bagi mendapatkan gadingnya untuk pasaran gelap di negara asing serta tempatan.

"Mereka ini ada rangkaian dan kenalan termasuk dalam kalangan penduduk kampung yang menyalurkan maklumat mengenai keberadaan gajah.

"Setiap maklumat yang diberikan kepada pemburu ini akan dibayar duit kopi sekitar RM100 hingga RM200. Pemberi maklumat ini akan memainkan peranan mengumpan dengan makanan bagi memastikan gajah tidak akan pergi jauh dari lokasi yang dikesan.

"Kemudian, dalam tempoh secepat mungkin, pakar pemburu akan tiba untuk menjejak lokasi gajah berkenaan. Kebiasaannya mereka ini tidak akan berada lama di dalam hutan bagi mengelakkan kegiatan dikesan pihak berkuasa,” katanya dalam temu bual eksklusif kepada Sinar Harian sempena Hari Gajah Sedunia yang disambut setiap tahun pada 12 Ogos.

Kebanyakan gading gajah diseludup ke negara seperti China, Vietnam, Thailand dan Jepun, malah ia turut mendapat permintaan daripada warga tempatan sendiri.

Abdul Kadir berkata, sasaran pemburu haram ialah gajah jantan yang berusia lebih 20 tahun kerana memiliki gading yang berkualiti.

Katanya, gajah jantan yang ditemui itu akan ditembak mati sebelum gadingnya dipotong menggunakan mesin pemotong.

"Gading gajah ini paling ringan daripada lima kilogram (kg) dan boleh mencecah berpuluh kilogram. Berdasarkan nilai pasaran gelap berjumlah AS$2,000 untuk sekilogram.

"Gading gajah ini akan dijual berdasarkan permintaan di pasaran gelap. Kebanyakan gading ini diseludup ke negara seperti China, Vietnam, Thailand dan Jepun selain tidak menolak kemungkinan ada permintaan oleh warga tempatan sendiri.

"Individu tertentu sanggup memiliki gading ini sebagai simbol status sosial, kemewahan serta kedudukan,” ujarnya.

Populasi

Abdul Kadir berkata, anggaran populasi gajah di Semenanjung Malaysia antara 1,220 hingga 1,680 ekor.

"Namun beberapa faktor jika tidak dikawal akan menyebabkan spesies ini terus terancam dan tidak mustahil akan pupus di bumi Malaysia pada suatu hari nanti,” katanya.

Tambah beliau, selain pemburu haram, populasi gajah turut diancam dengan pembukaan kawasan hutan untuk tujuan pertanian dan pembangunan tanpa kawalan memusnahkan habitat semula jadi haiwan liar terbabit.

Jelasnya, keadaan itu menyebabkan berlakunya kekurangan sumber makanan kepada gajah yang mendorong kepada berlakunya konflik antara manusia dan haiwan liar berkenaan.

"Konflik berlaku apabila gajah cuba untuk mencari dan mendapatkan sumber makanan di kawasan pertanian terutamanya di kawasan yang berhampiran dengan habitat utama gajah.

"Pembinaan infrastruktur juga telah menyebabkan berlakunya roadkill ke atas gajah terutama di laluan yang merentasi habitat utama haiwan ini seperti di Hutan Simpan Temengor, Taman Negeri Royal Belum dan Jalan Kota Tinggi-Mersing,” katanya.

Menurut Abdul Kadir, kaedah terbaik untuk memelihara kelestarian habitat gajah adalah dengan menyediakan satu kawasan khas di dalam hutan yang luas dan berpagar bagi mengekang kegiatan pemburuan haram, roadkill dan konflik antara manusia serta gajah liar.

Tegasnya, usaha memelihara gajah dan habitatnya tidak boleh diletakkan sepenuhnya di atas bahu Perhilitan kerana ia memerlukan kerjasama bersepadu daripada semua pihak.

Klik di sini untuk terus membaca