SHAH ALAM - Harga makanan di negara ini sukar untuk mengalami penurunan walaupun harga bahan asas lebih murah sejak beberapa bulan lalu.
Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, situasi itu sering berlaku di negara ini akibat kewujudan kartel dalam kalangan pembekal, sekali gus menyukarkan harga bahan basah dan makanan turun kerana mereka mempunyai kuasa untuk menentukan harga.
Menurutnya, terdapat juga peniaga yang rakus tidak mahu menurunkan harga kerana ingin mengaut keuntungan walaupun membeli bahan mentah pada harga yang rendah.
"Sepatutnya apabila bahan mentah turun, harga barang termasuk makanan juga turun. Namun, keadaan ini jarang berlaku di negara kita. Mereka masih menjual pada harga tinggi sama seperti ketika harga bahan mentah naik.
"Peniaga harus menurunkan harga seiring penurunan harga bahan mentah, manakala pengimport perlu mengikut turun naik harga pasaran dunia.
"Kerajaan pula mesti terus memantau dan mengambil tindakan terhadap kartel kerana mereka adalah antara punca harga barang makanan terus naik,” katanya kepada Sinar Harian.
Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat melaporkan penanda aras bagi harga komoditi makanan dunia turun ketara pada Julai, dengan harga bijirin dan minyak sayuran utama mencatatkan penurunan peratusan dua angka.
Indeks Harga Makanan FAO yang memantau komoditi makanan dalam dagangan global mencatat purata 140.9 mata pada Julai, turun 8.6 peratus dari bulan Jun.Mohd Yusoff berkata, campur tangan kerajaan amat diperlukan dalam isu tersebut.
"Contohnya, campur tangan kerajaan dalam harga minyak masak baru-baru ini. Apabila kerajaan minta harga diturunkan kerana harga sawit mentah telah turun di pasaran dunia, barulah syarikat-syarikat bersetuju menurunkan harga. Itu pun masih ada pihak yang minta tangguh.
"Namun, kita tidak boleh mengharapkan kerajaan semata-mata. Pihak yang terlibat dalam aktiviti eksport dan import adalah sektor swasta, jadi ia sangat bergantung kepada tindakan pihak swasta untuk menurunkan harga kerana kita mengamalkan sistem pasaran terbuka,” ujarnya.
Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Datuk Jawahar Ali Taib Khan pula berkata, pengusaha makanan sepatutnya tiada masalah untuk menurunkan harga jualan makanan bermula bulan ini.
Menurutnya, ini kerana sesetengah barangan asas terutama yang dihasilkan di dalam negara sudah turun sekitar 10 hingga 20 peratus bermula bulan ini.Jelas beliau, antara barangan asas yang menunjukkan penurunan harga ialah daging, ayam dan sayur-sayuran seperti tomato, terung serta timun.
"Bulan ini (Ogos) sudah boleh (turunkan harga sesetengah barangan asas). Jadi keupayaan peniaga menurunkan harga makanan itu memang ada jika mereka memberi kerjasama,” katanya.
Jawahar juga mengakui harga barangan asas makanan yang diimport seperti tepung dan marjerin kebanyakannya masih kekal tinggi disebabkan perbezaan nilai mata wang asing.
Menurutnya, harga minyak masak juga masih tinggi, bahkan terdapat barangan makanan dijangka meningkat harganya, antaranya susu pekat yang akan meningkat sekitar lapan peratus.
"Kita bagaimanapun menasihatkan pengusaha makanan di bawah persatuan agar tidak meningkatkan harga jualan semasa kerana kenaikan itu bersifat sementara,” ujar beliau.
Rakyat Malaysia mula rasai tekanan inflasi
Sementara itu, rakyat Malaysia kini mula merasai tekanan terhadap aspek kewangan peribadi mereka dengan 45 peratus mengakui sekadar ‘cukup makan’.
Syarikat penyelidikan pasaran terbesar di dunia, Ipsos dalam laporan yang dikeluarkan pada Isnin menyatakan, ia susulan ke-bimbangan tekanan inflasi dan peningkatan kos sara hidup.
Pengarah Bersekutu Hal Ehwal Awam Ipsos, Lars Erik Lie berkata, kenaikan kadar faedah yang dijangka berlaku juga akan memberi kesan kepada empat daripada 10 orang rakyat Malaysia.
"Kesan paling ketara adalah dalam bentuk pendapatan boleh guna yang lebih rendah dalam masa terdekat, menyebabkan penurunan taraf hidup mereka.
"Tekanan akibat inflasi dan kenaikan kadar faedah juga akan menyebabkan berlaku penurunan mendadak dalam kesanggupan berbelanja untuk isi rumah dan pembelian yang lebih besar, menunjukkan mereka mungkin perlu menilai semula keutamaan bagi perbelanjaan jangka pendek,” katanya.
Jelas Erik Lie, dalam menghadapi situasi itu, kebanyakan rakyat Malaysia mengambil pendekatan untuk memotong perbelanjaan bersosial dan bercuti bagi mengurangkan perbelanjaan isi rumah.
Laporan Ipsos juga mendedahkan, jumlah rakyat Malaysia yang mengakui mereka hidup dengan selesa juga amat kurang berbanding ekonomi utama yang lain iaitu hanya 29 peratus berbanding 53 peratus di India, 42 peratus di Korea Selatan dan 40 peratus bagi purata global.
Sehingga Julai tahun ini, sebanyak 42 peratus responden turut bersetuju bahawa inflasi menjadi kebimbangan utama, diikuti isu kemiskinan dengan 35 peratus dan wabak Covid-19 sebanyak 24 peratus.
"Trend pembelian dalam kalangan rakyat juga mula merosot sejak dua bulan lalu, dengan hanya 32 peratus responden bersetuju mereka selesa membuat pembelian barangan utama seperti rumah dan kereta pada bulan Jun, berbanding 40 peratus pada Mei lalu.
"Dalam belanjawan isi rumah pula, perbelanjaan untuk bersosial dan bercuti adalah antara perkara pertama yang dipotong,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca