SHAH ALAM - Walaupun Mahkamah Persekutuan belum mendengar rayuan terakhir bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung pembabitannya dalam kes syarikat SRC International Sdn Bhd (SRC), namun sudah ada cakap-cakap mengenai siapa bakal menjadi calon Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan kerusi Parlimen Pekan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) nanti.
Antara nama disebut-sebut bakal bertanding atas tiket BN bagi mempertahankan kerusi Parlimen Pekan adalah anak sulung Najib iaitu Datuk Mohd Nizar.
Mohd Nizar, 44, kini dianggap calon paling sesuai menggantikan Najib sekali gus meneruskan legasi ditinggalkan Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein sekiranya Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan bersalah dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik syarikat SRC, akhir bulan ini.
Oleh itu, tidak hairanlah jika Mohd Nizar yang juga Ketua Pemuda UMNO Pekan dilihat sering turun padang dan menghulurkan bantuan kepada penduduk parlimen berkenaan yang memerlukan perhatian dan ditimpa musibah seperti banjir atau kebakaran.
Felo Penyelidik Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, tidak salah jika BN memberi peluang dan ruang kepada Mohd Nizar bertanding di Parlimen Pekan dalam PRU15 jika Najib disabitkan bersalah oleh Mahkamah Persekutuan nanti.
Awang Azman menegaskan tindakan itu membolehkan Mohd Nizar membuktikan sama ada beliau layak atau tidak meneruskan legasi Najib dan datuknya, Tun Abdul Razak yang menjadi Ahli Parlimen Pekan, sejak beberapa dekad lalu.
Bagaimanapun, Awang Azman tidak menolak kemungkinan bahawa Mohd Nizar bakal berhadapan dengan cabaran dan saingan sengit calon anak muda dari parti lain bagi mempertahankan kubu kuat BN dan kerusi dimenangi bapanya, sejak 1976 lagi.
"Suatu ketika dulu memang keputusan pilihan raya banyak ditentukan oleh pengaruh keluarga misalnya, Tun Abdul Razak kepada Najib; Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Datuk Seri Mukhriz; Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Nurul Izzah (PKR) serta Lim Kit Siang kepada Lim Guan Eng (DAP).
"Bagaimanapun, dalam konteks sekarang persaingan dan populariti dalam kalangan kelompok politik keluarga akan bertambah namun mereka sukar mendapat tempat dalam masyarakat lebih besar kerana rakyat sekarang mempunyai pendedahan, pemahaman dan sumber maklumat lebih baik dari zaman dulu.
"Ini antara cabaran terbesar bakal dihadapi Mohd Nizar, biarpun beliau dianggap calon 'favourite' atau pilihan dan diramal tidak akan menghadapi masalah besar untuk mempertahankan kerusi Pekan yang disandang oleh bapanya sekarang," katanya ketika Sinar Premium.
Awang Azman berkata demikian ketika diminta mengulas siapa paling layak menjadi calon BN di Parlimen Pekan pada PRU15 nanti, jika Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan bersalah dibuat oleh Mahkamah Rayuan terhadap Najib dalam prosiding selama 10 hari yang bakal berlangsung mulai 15 hingga 26 Ogos ini.
Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan rasuah dan pengubahan wang haram penyelewengan dana SRC berjumlah RM42 juta dan memerintahkan bekas Perdana Menteri itu dipenjara 12 tahun dan didenda sebanyak RM210 juta.
Tidak lama selepas itu, pada 8 Disember 2021, panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, yang bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman berkenaan.
Untuk rekod, Najib menang dengan majoriti 24,859 undi apabila memperoleh 43,854 undi dalam pertembungan empat penjuru di kerusi Parlimen Pekan pada PRU14 lalu.
Sebelum ini, nama Mohd Nizar pernah menjadi bualan hangat apabila dikatakan akan menjadi calon BN bagi merebut kerusi DUN Chini susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat serangan jantung selepas terjatuh dan mengalami sesak nafas di Bangsar, 7 Mei 2020.
Bagaimanapun, BN kemudiannya memilih Mohd Sharim Md Zain sebagai calonnya dalam PRK Chini sekali gus mempertahankan kerusi DUN berkenaan.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Pusat Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berkata, BN perlu mengenal pasti calon sesuai untuk menggantikan Najib di Parlimen sekiranya Mahkamah Persekutuan mengekalkan bekas Perdana Menteri ke-6 itu bersalah seperti diputuskan oleh Mahkamah Rayuan, sebelum ini.
Mazlan berkata, salah satu jalan terbaik boleh diambil BN adalah dengan memilih anak sulung Najib untuk bertanding bagi menggantikan beliau di Parlimen Pekan pada PRU15 nanti.
"Sebenarnya keluarga Najib dan Tun Abdul Razak adalah golongan elit politik yang mempunyai legasi yang berpengaruh dan dihormati serta dianggap istimewa dalam kalangan masyarakat Melayu terutama di Parlimen Pekan, Pahang.
"Justeru, tidak hairan jika Najib diangkat menjadi Perdana Menteri selepas Tun Abdullah Ahmad Badawi melepaskan jawatannya. Begitu juga jika Mohd Nizar bertanding di Parlimen Pekan, bermakna beliau akan meneruskan legasi keluarganya yang dihormati pengundi Melayu di sana.
"Oleh itu, saya meramalkan Mohd Nizar tidak akan menghadapi masalah besar untuk menang jika beliau bertanding di Parlimen Pekan pada PRU15 nanti, sekali gus mampu menyambung legasi bapa dan datuknya. Malah, orang Melayu di Pekan amat menghormati dan menghargai jasa Tun Abdul Razak," katanya.
Bagaimanapun, keputusan muktamad siapa bakal calon BN di Parlimen Pekan akan diputuskan oleh Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN selepas berbincang dengan parti komponen lain apabila Dewan Rakyat dibubarkan dan tarikh PRU15 ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), kelak.
Klik di sini untuk terus membaca