PADA Selasa, tiga Ahli Dewan Negara daripada Pakatan Harapan (PH) mencadangkan supaya isu berhubung skandal kapal tempur pesisir (LCS) dibahaskan di Dewan Negara sebelum persidangan tamat, Selasa depan. Cadangan itu dikemukakan Senator Lim... Klik di sini untuk terus membaca

PADA Selasa, tiga Ahli Dewan Negara daripada Pakatan Harapan (PH) mencadangkan supaya isu berhubung skandal kapal tempur pesisir (LCS) dibahaskan di Dewan Negara sebelum persidangan tamat, Selasa depan.

Cadangan itu dikemukakan Senator Lim Hui Ying, Senator Fadhlina Sidek dan Datuk A Kesavadas Nair yang ingin tahu lebih lanjut mengenai perolehan LCS bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di bawah Kementerian Pertahanan (Mindef) yang dikatakan memakan belanja RM9 bilion.

Dalam satu sidang media, Fadhlina yang juga Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) menuntut isu berkenaan dibahas memandangkan ia melibatkan kepentingan awam serta keselamatan negara, dan pihaknya telah memberikan surat pemberitahuan usul kepada Speaker Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim mengikut Peraturan Mesyuarat 17 (1).

Justeru, timbul tanda tanya sama ada cadangan usul tergempar berkenaan akan diterima Dewan Negara untuk dibahaskan atau tidak, sekalipun ramai menganggap isu berkenaan secara jelas melibatkan kepentingan rakyat.

Hal ini memandangkan di peringkat Dewan Rakyat sendiri pun terdapat beberapa isu penting lain seperti usul membahaskan tuntutan waris Kesultanan Sulu terhadap Sabah dan aset-aset strategik negara, ditolak oleh Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun sebelum ini.

Tiga Ahli Dewan Negara daripada PH memohon Speaker Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim (dua dari kanan) meluluskan usul tergempar bagi membincangkan isu pembelian enam kapal LCS bernilai RM9 bilion.

Selain isu tuntutan waris Kesultanan Sulu, ramai pihak turut mempertikaikan keputusan Speaker DUN Kedah, Datuk Juhari Bulat menolak dua usul tergempar yang dikemukakan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang berkenaan isu banjir kepala air di Yan dan Baling yang mengorbankan banyak nyawa pada 18 Ogos 2021 dan 4 Julai lepas.

Meskipun kerajaan mempunyai alasan menolak perbahasan usul tergempar berkenaan, namun ramai pemerhati politik melihat langkah itu seolah-olah cuba meremehkan fungsi dan peranan institusi tertinggi rakyat iaitu Dewan Negara, Dewan Rakyat dan DUN.

Hakikat itu diakui bekas Pengerusi Kaukus Dewan Negara, Yusmadi Yusoff yang menegaskan sama ada Dewan Negara, Dewan Rakyat dan DUN adalah merupakan satu institusi tertinggi rakyat yang bersifat neutral dan perlu dihormati kerajaan.

"Bagi saya, dalam isu ini, kewibawaan Speaker itu sendiri akan dinilai memandangkan sebarang usul tergempar yang dibawa oleh mana-mana wakil rakyat adalah mewakili suara rakyat. Speaker Dewan Negara, Dewan Rakyat atau DUN yang dilantik pula bukan dipilih rakyat, jadi mereka perlu menghormati aspirasi rakyat.

"Kedua, dalam isu membahaskan tuntutan waris Kesultanan Sulu, mengapa Parlimen dan DUN di Malaysia tidak menghormati pendekatan negara lain seperti Filipina sendiri yang membincangkan perkara itu secara terbuka dalam sidang Parlimen mereka?

"Adakah kerajaan mahu menghina intelek rakyat Malaysia? Memang ada isu tertentu yang boleh diklasifikasikan sebagai Akta Rahsia Rasmi 1972, namun apabila perkara berkaitan dengan kedaulatan rakyat termasuk isu skandal LCS menjadi umum, ia perlu diselesaikan dengan mendapat sokongan rakyat," jelas Yusmadi yang juga pernah dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerja Reformasi Dewan Negara sewaktu pentadbiran kerajaan PH.

Kontroversi projek LCS.

Kabinet pada Rabu memutuskan untuk menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyegerakan siasatan terhadap projek LCS TLDM.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mesyuarat kabinet pada Rabu turut mencadangkan Laporan Pengauditan Forensik Projek LCS yang dijalankan pada tahun 2019 dinyahklasifikasikan dengan syarat mendapat pandangan Peguam Negara dan Ketua Audit Negara terlebih dahulu.

Beliau turut memberi jaminan siasatan berhubung isu berkenaan dijalankan dengan telus, bahkan kerajaan tidak akan melindungi sesiapa pun yang terlibat.

Menurut Ismail Sabri, sekiranya terdapat bukti kukuh, Peguam Negara diminta membuat pendakwaan dan membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Ismail Sabri turut memaklumkan bahawa mesyuarat kabinet juga membuat keputusan agar Laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dibenarkan untuk disiarkan kepada umum.

Beliau bagaimanapun berkata, keputusan jemaah Menteri itu tidak akan mengganggu proses mobilisasi di bawah pelan pemulihan LCS yang diputuskan jemaah Menteri pada 20 April 2022.

Mengulas lanjut, Yusmadi turut mempersoalkan sama ada Dewan Negara, Dewan Rakyat dan DUN di peringkat negeri pada hari ini seolah-olah sudah menjadi instrumen kerajaan dan tidak lagi menjadi platform rujukan rakyat mendapat pencerahan daripada kerajaan.

"Kerajaan perlu menyakini peranan institusi tertinggi rakyat dan menghormati kedaulatan Parlimen kerana ia bukan sahaja akan membentuk keyakinan rakyat terhadap pentadbiran negara, bahkan menjamin kedaulatan negara daripada terus terjejas," ujarnya.

MUHAMMAD FATHI

TERTAKLUK KEPADA TIGA SYARAT

Sementara itu, umum harus mengetahui bahawa sebarang cadangan usul tergempar yang dikemukakan di bawah Fasal 18.1 Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat atau Fasal 17 (1) Peraturan Mesyuarat Dewan Negara, sebenarnya berteraskan kepada prinsip hak Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Negara untuk membahaskan perkara-perkara berkaitan kepentingan rakyat.

Bagaimanapun, usul berkenaan tertakluk kepada tiga syarat untuk diluluskan bagi dijadikan usul tergempar iaitu ia adalah perkara tertentu; melibatkan kepentingan ramai dan perlu disegerakan.

"Kebiasaannya usul-usul dikemukakan ahli-ahli Parlimen ini melepasi dua syarat pertama, iaitu perkara tertentu atau spesifik dan ia melibatkan kepentingan awam, tetapi kebiasaannya Speaker Dewan Negara dan Dewan Rakyat akan membuat penilaian sangat teliti berkaitan dengan syarat ketiga, iaitu adakah usul itu perlu disegerakan," kata Pensyarah Undang-undang dan Polisi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Dr Muhammad Fathi Yusof.

Berikutan itu, Muhammad Fathi percaya elemen penting diberi perhatian daripada Speaker Dewan Negara dan Dewan Rakyat bukan sahaja dari sudut kepentingan usul tergempar dicadangkan wakil rakyat, tetapi dari sudut objektif sidang dewan itu sendiri dalam memberi ruang kepada amalan semak dan imbang.

Adakah isu berhubung skandal perolehan LCS dibahaskan di Dewan Negara sebelum persidangan tamat, Selasa depan.

Pada masa sama, Speaker Dewan Negara, Dewan Rakyat dan DUN perlu memenuhi tanggungjawab lain persidangan itu sendiri, dalam konteks meluluskan beberapa RUU yang sudah disusun mengikut jadual peraturan mesyuarat termasuk usul belanjawan.

"Sememangnya setiap kali cadangan usul tergempar tidak dibenarkan untuk dibahaskan Speaker Dewan Negara, Parlimen atau DUN, wakil-wakil rakyat akan rasa tidak puas hati dan mengaitkannya dengan ketidakprihatinan kerajaan terhadap sesuatu isu.

"Namun, jika dilihat peranan institusi tertinggi rakyat secara keseluruhannya, kita tidak boleh tafsirkan bahawa apabila sesuatu usul itu tidak dibenarkan untuk dibahaskan, maknanya kerajaan enggan mengambil perhatian.

"Ini kerana jika mengambil kira salah satu elemen yang memenuhi syarat usul tergempar iaitu kriteria adakah ia perlu disegerakan, kadangkala terdapat juga beberapa isu yang telah ditangani kerajaan dan telah pun melalui proses tindakan diperlukan," kata Muhammad Fathi lagi.

Klik di sini untuk terus membaca