SHAH ALAM - Pelantikan Timbalan dan Naib Presiden sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) menjadi strategi 'serampang dua mata' Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk memperkukuhkan sokongan akar umbi dan membantu parti itu membuat persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Menyifatkan keputusan itu tepat, Pensyarah Kanan, Politik Dan Hubungan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, tindakan itu juga perlu kerana wujud kebimbangan berlakunya perpecahan dalaman dan sabotaj di kalangan pemimpin PKR di peringkat akar umbi kerana ramai Pengerusi PKR negeri kalah dalam perebutan jawatan ketua cabang dan peringkat tertinggi dalam pemilihan parti, baru-baru ini.
"PKR baharu selepas pemilihan parti jadi memang menjadi kebiasaan wujud perpecahan dalaman dan akan terbawa-bawa sehingga PRU15.
"Jadi sebab itulah Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim melantik Timbalan dan Naib Presiden PKR mengetuai MPN untuk meredakan ketegangan di peringkat akar umbi dan dalam masa sama memberikan lebih fokus kepada persediaan menghadapi PRU15 nanti.
"Kalau Anwar melantik pemimpin kalah dalam pemilihan parti baru-baru ini sebagai Pengerusi MPN lagilah ramai orang marah kepada PKR," katanya kepada Sinar Premium pada Jumaat.
Anwar pada Khamis mengumumkan parti itu mengatur langkah awal dengan mengumumkan pelantikan lima pemimpin tertinggi yang mengetuai MPN di Semenanjung, berkuat kuasa serta merta.
Lima pemimpin utama atau 'Warlord' yang diberikan tanggungjawab besar bagi memimpin kepimpinan PKR negeri berkenaan ialah Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang dilantik sebagai Pengerusi MPN Wilayah Persekutuan dan Johor.
Puteri reformasi, merangkap Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar pula diberikan tanggungjawab besar memimpin MPN Zon Utara merangkumi Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pula dilantik sebagai Pengerusi MPN Selangor dan Pahang; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun (Pengerusi MPN Negeri Sembilan dan Melaka), manakala seorang lagi Naib Presiden iaitu, Nik Nazmi Nik Ahmad dilantik menjadi Pengerusi MPN Terengganu dan Kelantan.
Malah, Mohd Azizuddin menegaskan tindakan itu bukan satu perkara mengejutkan kerana parti politik seperti UMNO sendiri pernah berbuat demikian, sebelum ini.
Sebagai contohnya, pada 24 April 2009, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, melantik dirinya sendiri sebagai Pengerusi UMNO Selangor selepas negeri berkenaan jatuh ke tangan Pakatan Rakyat (PR) dalam Pilihan Raya Umum ke-12, pada 2008, manakala Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Pengerusi UMNO Wilayah Persekutuan.
Najib juga mengumumkan tiga Naib Presiden UMNO iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilantik sebagai Pengerusi UMNO Pulau Pinang; Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Kedah), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Terengganu) dan Menteri Besar Perak, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir mengetuai negeri tersebut.
"Perkara ini normal berlaku. Apa yang penting Anwar mahu semua pemimpin tertinggi dan akar umbi PKR memberikan fokus 100 peratus kepada persediaan menghadapi PRU15 tidak lama lagi," kata Mohd Azizuddin.
Dalam pada itu, Mohd Azizuddin tidak menolak kemungkinan Anwar akan mempertahankan kerusi Port Dickson atau kembali bertanding di kerusi tradisinya di Permatang Pauh, manakala isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, bersara dari arena politik tanah air.
"Saya juga tidak menolak kemungkinan Nurul Izzah akan berpindah ke kerusi lain jika Anwar kembali bertanding di Parlimen Permatang Pauh pada PRU15 nanti," katanya.
Penganalisis Politik, Profesor Wong Chin Huat berkata, tindakan Anwar mengumumkan lima pemimpin tertinggi PKR menjadi Pengerusi MPN adalah umpama strategi digunakan oleh tentera bagi mengepung sesuatu kawasan dalam peperangan.
"Perlantikan Pengerusi MPN di Semenanjung yang terhad kepada lima orang pemimpin saja iaitu Rafizi (WP dan Johor); Amirudin (Selangor dan Pahang), Aminuddin (Negeri Sembilan dan Melaka), Nik Nazmi (Kelantan Dan Terengganu) dan Nurul Izzah (Penang, Kedah dan Perlis) menunjukkan PKR membahagi seluruh Semenanjung kepada kelompok negeri yang bersambungan (kecuali WP Dan Johor yang tidak berjiran) seperti 'area of command' dalam pengaturan ketenteraan.
"Ini bermakna PKR menentukan koordinasi antara negeri daripada kepemimpinan daripada tempatan. Ini bukan bermaksud PKR tiada bakat pimpinan, sebaliknya menonjolkan tujuh orang pemimpin iaitu lima pemimpin di atas bersama Pengerusi MPN Sabah dan Sarawak.
"Ini adalah barisan pemimpin selepas Anwar dan tidak hairanlah kedua-dua MB diberikan tanggungjawab menjaga negeri sendiri dan sebuah negeri berjiranan," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca