SHAH ALAM - Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) mendedahkan hanya sembilan daripada 30 peratus kontrak perolehan projek diterima kontraktor bumiputera benar-benar dilaksanakan sendiri tetapi selebihnya dilaksanakan secara ali baba kepada... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) mendedahkan hanya sembilan daripada 30 peratus kontrak perolehan projek diterima kontraktor bumiputera benar-benar dilaksanakan sendiri tetapi selebihnya dilaksanakan secara ali baba kepada pihak lain.

Pengerusinya, Abdul Halim Husin berkata, hasil kajian mendapati hanya jumlah kecil itu memanfaatkan secara terus kontrak hasil kuota dasar perolehan yang memberi keistimewaan kepada bumiputera manakala selebihnya projek telah diserahkan sepenuhnya kepada kontraktor bukan bumiputera.

"Mengikut kajian kami, daripada 30 peratus kontrak yang diberikan kerajaan kepada orang Melayu sebenarnya hanya sembilan peratus sahaja yang dilakukan oleh orang Melayu dan mendapat manfaat daripada kuota itu.

"Skim ali baba ini memang wujud dan sudah berleluasa. Mereka yang menjual kontrak dan juga perniagaan kepada yang bukan Melayu ini adalah dikira sebagai pengkhianat.

"Mereka mendapatkan kontrak tersebut di bawah kuota 30 peratus yang diberikan kepada Melayu. Jika mereka kontrakkan semula atau melepaskan kepada bukan Melayu dengan orang tengah cuma dapat tiga peratus, ini adalah satu pengkhianat kepada umat Melayu,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau mengulas mengenai kewujudan skim ali baba dalam kalangan kontraktor bumiputera susulan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan pada 4 Ogos lalu memutuskan bahawa skim ali baba yang diamalkan dalam agihan kontrak oleh kerajaan tidak boleh dikuatkuasakan kerana melanggar undang-undang dan polisi awam negara.

Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata, rata-rata kontraktor terlibat bukannya tidak sedar bahawa skim ali baba merupakan satu kesalahan tetapi budaya itu berlaku kerana mereka yang terlibat itu tidak mempunyai kemahiran untuk melaksanakan sendiri kontrak yang diperolehi.

"Kebanyakannya (kontraktor amal skim ali baba) adalah orang yang melobi dan tidak mempunyai kemahiran yang sebenar untuk melakukan projek yang diperolehi,” kata beliau.

Ujarnya, impak daripada itu ia telah menjejaskan peluang kontraktor-kontraktor bumiputera yang berkemahiran untuk lebih maju.

"Dalam keadaan negara ingin meratifikasikan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang mana penyertaan Melayu akan dihadkan cuma kepada 30 peratus sahaja selepas ini, maka kontrak-kontrak Melayu ini akan menjadi lebih kecil daripada apa yang sebenarnya boleh diperolehi oleh orang Melayu.

"Ini akan menyebabkan kontraktor-kontraktor Melayu yang asli, yang tulus dan ikhlas tidak mendapat pekerjaan daripada kerajaan dan seterusnya akan gulung tikar,” katanya.

Justeru, beliau menyarankan supaya kerajaan melalui Kementerian Kewangan supaya menarik balik atau membatalkan kontrak kontraktor amal skim ali baba dan berikan kepada kontraktor Melayu lain yang lebih layak dan berwibawa.

Senarai hitam kontraktor bumiputera amal skim ali baba

Sementara itu, peguam, Mohd Ridwan Talib menyarankan agar kontraktor bumiputera yang mengamalkan skim ali baba dalam kontrak perolehan projek kerajaan pusat atau negeri wajar disenarai hitam bagi memberi peluang kepada kontraktor bumiputera lain melaksanakan projek secara beretika dan amanah.

Menurutnya, tindakan tidak bertanggungjawab segelintir kontraktor bumiputera yang tidak memanfaatkan peluang yang diberikan itu seolah-olah cuba menggagalkan usaha kerajaan untuk memperkukuhkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dengan melantik lebih ramai usahawan golongan itu.

"Syarikat bumiputera yang telah dibuktikan oleh sistem perundangan mengamalkan skim ali baba wajib disenarai hitam dan kerajaan wajar memberikan peluang kepada lebih ramai lagi usahawan Melayu dan bumiputera lain yang lebih berkelayakan dan berkredibiliti kerana golongan ini diyakini boleh melaksanakan keseluruhan kontrak tanpa perlu sub kontrak kepada pihak ketiga yang bukan bumiputera.

"Saya juga berpendapat bahawa keputusan Mahkamah Rayuan berkaitan kes Nasira Bersatu dan TSS Cemerlang sebelum ini wajar dijadikan pengajaran dan amaran khususnya kepada syarikat bumiputera yang dengan jelas telah mengkhianati amanah dan aspirasi murni kerajaan di bawah DEB melalui amalan keji kontrak ali baba,” katanya.

Terdahulu media melaporkan, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan pada 4 Ogos lalu memutuskan bahawa skim ali baba yang diamalkan dalam agihan kontrak oleh kerajaan tidak boleh dikuatkuasakan kerana melanggar undang-undang dan polisi awam negara.

Dalam pada itu Mohd Ridwan berkata, keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak keputusan terdahulu oleh Mahkamah Tinggi dalam kes berkenaan amat bertepatan dengan prinsip perundangan Malaysia yang diterapkan dalam Akta Kontrak 1950 (Akta 136) serta dasar ekonomi kerajaan untuk melahirkan lebih ramai kontraktor bumiputera yang berdaya maju.

"Masyarakat sudah sedia maklum bahawa antara kaedah pelaksanaan DEB adalah dengan melantik lebih ramai usahawan bumiputera dalam pelaksanaan projek-projek infrastruktur kerajaan pusat dan negeri.

"Apa yang sangat menyedihkan ialah banyak syarikat bumiputera tidak bersyukur dan berterima kasih dengan peluang keemasan yang diperoleh melalui DEB dengan melakukan sub kontrak terhadap beberapa bahagian atau keseluruhan kontrak kepada kontraktor bukan bumiputera.

"Betul amalan sub-kontrak ini tidak salah dari segi undang-undang namun ia akan menjadi satu kesalahan jika amalan tersebut dengan jelas ditegah oleh perjanjian asal,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca