PAS menerajui Terengganu selama 51 bulan selepas berjaya merampas negeri itu daripada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu. Menampilkan seorang ahli akademik dalam bidang Aeroangkasa, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri... Klik di sini untuk terus membaca

PAS menerajui Terengganu selama 51 bulan selepas berjaya merampas negeri itu daripada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Menampilkan seorang ahli akademik dalam bidang Aeroangkasa, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai Menteri Besar, pemerintahannya dilihat berjalan secara tersusun bergerak ke hadapan tanpa banyak kontroversi.

Ikuti wawancara wartawan Sinar Harian, RAHAYU MUSTAFA bersama Ahmad Samsuri yang juga merupakan Naib Presiden Pas di kediamannya di Batu Burok, Kuala Terengganu pada Selasa.

SINAR HARIAN: Datuk Seri telah mengemudi Terengganu selama lebih empat tahun. Sejauh mana negeri ini mencapai kejayaan seiring dasar Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera yang diperkenalkan kerajaan Pas?

AHMAD SAMSURI: Apabila mengambil alih sesebuah kerajaan, saya membuat perumpamaan seperti beli sebuah rumah. Hari pertama masuk ke rumah itu, kita tengok dari luar pekarangan ada landskap, tangga dan atap.

Nampak dari luar okay tapi bila masuk ke dalam rumah itu, rupa-rupanya atap bocor, ada lantai yang berlubang dimakan anai-anai. Kita pergi ke dapur tengok dapur, peti sejuk pun tak ada. Pergi ke bilik tidur, katil, tilam tiada. Itulah gambarannya bila kita mengambil alih kerajaan pada peringkat awal.

Ahmad Samsuri (tengah) bersama pasukan Rasuah Busters dan Sinar Harian yang mengadakan kunjung hormat di kediamannya di Batu Burok, Kuala Terengganu.


Banyak kepincangan yang perlu kita uruskan. Pendekatan yang saya sebut pada peringkat awal, selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar adalah meneruskan perkara baik yang dilaksanakan sebelum ini. Kita bukan jenis lepas ambil alih kerajaan kena batalkan semua dan buat perkara baharu. Mana yang baik kita teruskan, mana yang ada kelemahan kita baiki, mana yang tidak elok kita tidak teruskan. Dengan pendekatan itu, kita melihat keutamaan sebenar sebelum melaksanakan apa jua inisiatif di negeri.

Macam contoh kita masuk masuk rumah tadi, keutamaannya adalah membaiki atap, beli peti sejuk, tilam atau baiki lantai dulu? Mana yang jadi kepentingan dan patut diberi tumpuan, itulah yang dilihat apabila mengambil alih negeri ini. Melihat secara keseluruhan dan cuba sasarkan mengikut keutamaan. Ada bahagian rakyat, anggota kerajaan, infrastruktur, pelaburan dan pelbagai bahagian lagi yang patut kita berikan fokus berbeza-beza.

Maksudnya, bukankah konsep seolah-olah ingin membalas dendam?

Inilah yang selalu saya sebut dan paling tekankan kepada jentera kerajaan, Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terutama daripada parti saya (Pas) bahawa kita tidak boleh meneruskan kitaran yang tidak elok kerana tidak ada kesudahan. Akhirnya yang menerima kesan adalah rakyat. Sampai satu masa, apabila kitaran tidak elok itu berterusan, rakyat akan melihat bahawa siapa juga yang menjadi kerajaan sama saja.

Kita (pemimpin) juga yang susah, masalah rakyat tidak selesai. Orang politik puas hati kerana dapat balas dendam sesama sendiri tetapi rakyat yang merana. Jadi ini yang saya cuba wujudkan suasana lebih harmoni, lebih baharu, kondusif supaya mana-mana perkara tidak baik termasuk ketidakadilan yang berlaku dalam masyarakat kita cuba tangani.

Kalau kitaran tidak baik itu berterusan, kita tidak mampu melakukan perubahan kepada negeri dan rakyat.

Ahmad Samsuri (tengah) bersama pasukan Rasuah Busters dan Sinar Harian yang mengadakan kunjung hormat di kediamannya di Batu Burok, Kuala Terengganu.
Pas Terengganu mengemukakan 20 manifesto sewaktu PRU14 lalu dan hampir 90 peratus ditunaikan. Menghampiri akhir penggal pemerintahan, bagaimana status baki 10 peratus manifesto itu, adakah semuanya sudah direalisasikan?

Kami sangat realistik dengan apa yang dirangka untuk negeri dan rakyat. Bila kita tawarkan manifesto ataupun janji kepada rakyat, itu adalah ruang lingkup yang boleh dilaksanakan, kita cuba.

Tentulah kita tidak kata bulan pertama atau tahun pertama untuk selesaikan semua perkara sebab ada yang perlu untuk fokus dahulu ada kemudian. Tinggal dua lagi manifesto yang dalam proses pelaksanaan, salah satunya sudah dibincangkan untuk pelaksanaan, ada sesetengahnya memerlukan kajian mendalam, jadi ia akan makan masa. Tapi proses itu sedang dibuat dan kita akan telus kepada rakyat bahawa ia dalam perlaksanaan, insya-ALLAH saya akan umumkan bila waktunya.

Adakah manifesto untuk PRU15 sudah dirangka dan dikaji?

Ia sedang dirangka dan dilihat perkara yang munasabah, boleh dicapai bukannya angan-angan bulan dan bintang.

Sebab kita tahu, bila tawarkan bulan dan bintang kepada rakyat, mungkin ada yang percaya, tapi itu tidak menyelesaikan masalah. Itu bukan pendekatan kita.

Itu kitaran yang merosakkan, sehingga sampai satu masa apabila dibuat kajian termasuk di peringkat antarabangsa, antara kelompok yang tidak dipercayai oleh mereka ialah ahli politik kerana selalu bercakap tidak betul, janji tidak betul dan jawapan tidak betul.

Ia tugas yang berat sebenarnya tetapi perlu diubah kerana kepimpinan sebuah negeri, negara ialah individu yang penting. Harus lebih jujur dan realistik dengan janji-janji mereka.

Pada PRU lalu, kedudukan Pas di Terengganu selesa apabila memperoleh 22 kerusi sementara Barisan Nasional (BN) menang 10 kerusi. Adakah Pas mampu mengekalkan momentum tersebut pada PRU15 dan apa strategi Pas?

Pertama, kita realistik apabila melihat data, kerja kuat dan respons yang diperoleh daripada rakyat. Tidak ada orang yang sempurna, akan ada ada kelemahan yang boleh diperbaiki.

Setakat ini, insya-ALLAH kita akan mampu untuk meneruskan pentadbiran dalam sesi penggal yang akan datang. Banyak perkara yang tidak dapat kita laksanakan sebelum ini akibat pandemik Covid-19, kewangan dan sebagainya telah dirangka untuk tahun 2023 ke atas.

Tahun sebelum ini, Pas fokus kepada menyelesaikan masalah dan memastikan perjalanan projek kerajaan lalu dapat ditangani kerana kita tidak mahu ia menjadi projek gajah putih. Insya-ALLAH, penggal berikutnya untuk melaksanakan perkara baharu supaya rakyat negeri Terengganu berada dalam suasana dan zon yang lebih baik.

Ramai puji kepimpinan Datuk Seri menerajui Terengganu dan disifatkan sebagai orang yang layak dilantik sebagai pemimpin bertaraf menteri. Adakah benar cakap-cakap yang mengatakan Datuk Seri tidak mempertahankan kerusi DUN, sebaliknya bertanding di Parlimen pada PRU15 nanti?

Latar belakang saya ialah sebagai pensyarah. Seorang pensyarah, kita marking (menanda) pelajar, ada markah gagal sampai ke lulus, A dan sebagainya. Tapi sebagai pensyarah, saya tidak pernah menanda diri sendiri, jadi saya tidak boleh nilai diri saya.

Saya serah kepada kepimpinan parti dan selepas itu kepada rakyat. Yang penting ialah masing-masing memainkan peranan melakukan perubahan terutama mindset change kepada rakyat kita. Saya tidak mahu minta apa-apa, kita tengok amanah parti nanti.

Klik di sini untuk terus membaca