SHAH ALAM - Perikatan Gabungan Jawatankuasa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam (ACCIN) menggesa agar kerajaan memantau lebih serius pemberian kontrak kepada syarikat bumiputera bagi mengelakkan amalan skim ali baba berleluasa. Ketua... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Perikatan Gabungan Jawatankuasa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam (ACCIN) menggesa agar kerajaan memantau lebih serius pemberian kontrak kepada syarikat bumiputera bagi mengelakkan amalan skim ali baba berleluasa.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir Mohd Jamaludin Shamsudin berkata, pemberian kontrak kepada syarikat bumiputera bertujuan untuk membina pengalaman dan kepakaran syarikat tersebut dalam bidang pembinaan.

Namun katanya, masih banyak syarikat bumiputera yang sub projek kepada kontraktor lain kerana mengambil mudah untung ‘atas angin’, bahkan tidak mempunyai kepakaran dalam bidang berkenaan.

"Justeru, kerajaan perlu memantau dengan lebih serius pelaksanaan projek tersebut dan memastikan syarikat bumiputera mempunyai rekod dan kepakaran untuk projek yang diberikan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

ACCIN merupakan salah satu rakan Gabungan #Rasuah Busters yang terdiri daripada lebih 100 NGO.

Dalam perkembangan sama, Mohd Jamaludin berkata, kewujudan skim ali baba secara tidak langsung akan menyebabkan dasar keutamaan kontrak bumiputera menjadi sia-sia kerana disubkontrakkan kepada syarikat bukan bumiputera.

Tambah beliau, ia juga menyebabkan pemilik syarikat bumiputera menjadi malas membina kapasiti sebenar ekonomi Melayu-bumiputera, manakala syarikat bukan bumiputera terus menjadi monopoli kepada sesuatu bidang.

"Kesan kedua pula ialah disebabkan adanya orang tengah, nilai kontrak kepada kontraktor yang melaksanakan projek mengecil kerana terpaksa membeli bahan yang murah dan berkualiti rendah sehingga menyebabkan kerja yang dihasilkan tidak berkualiti.

"Ini secara tidak langsung mengundang kepada masalah kos yang tinggi untuk penambahbaikan dan penyelenggaraan pada masa akan datang,” katanya.

Keputusan mahkamah peringatan buat kontraktor

Sementara itu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan pada 4 Ogos lalu memutuskan bahawa skim ali baba yang diamalkan dalam agihan kontrak kerajaan tidak boleh dikuatkuasakan kerana melanggar undang-undang dan polisi awam negara.

Hakim memutuskan perkara itu ketika membenarkan rayuan difailkan syarikat bumiputera, Nasiraa Bersatu Sdn Bhd dan tiga pengarahnya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini memihak kepada TSS Cemerlang Sdn Bhd dalam isu tuntutan bayaran pelaksanaan kontrak kerajaan Pahang bernilai RM10.9 juta.

Nasiraa Bersatu dianugerahkan kontrak utama oleh kerajaan negeri Pahang bagi kerja pembinaan creek closure di seluruh sungai Kuantan dengan nilai kontrak berjumlah RM10.9 juta.

Bagaimanapun, selepas kontrak itu selesai dilaksanakan, TSS Cemerlang yang merupakan syarikat bukan bumiputera menyaman syarikat bumiputera terbabit (Nasiraa Bersatu) untuk mendapatkan 96.5 peratus daripada nilai keseluruhan kontrak.

Ini kerana terdapat perjanjian ali baba di antara kedua-dua pihak terbabit dengan kesemua kontrak diberikan kepada Nasira Bersatu disubkontrakkan kepada TSS Cemerlang dengan syarikat bumiputera itu dibayar 3.5 peratus wang ‘atas angin’.

Dalam penghakimannya, panel itu mendapati secara umumnya perkara itu melibatkan dua aspek kerana membabitkan kontrak kerajaan yang ada menyebut tidak boleh disubkontrakkan kepada mana-mana pihak melainkan dengan kebenaran kerajaan.

Dalam kes tersebut, hakim berkata, jumlah dibenarkan dibayar kepada subkontraktor hanya dibolehkan berdasarkan persetujuan dimeterai dalam surat Surat Ikatan Tugasan diluluskan kerajaan.

Disebabkan itu, Nasiraa Bersatu tidak perlu membayar tuntutan saman dikemukakan TSS Cemerlang kerana syarikat terbabit sudah menerima bayaran secara terus daripada kerajaan berjumlah RM8.1 juta iaitu berdasarkan sub kontrak dibenarkan.

Peguam, Aidil Khalid berkata, keputusan Mahkamah Rayuan itu memberikan satu keputusan penting bagi membanteras skim ali baba yang begitu berleluasa dalam pelaksanaan projek kerajaan di negara ini sehingga menindas dasar keutamaan kontraktor bumiputera.

Beliau yang merupakan peguam mewakili Nasiraa Bersatu berkata, meskipun keputusan rayuan itu menyebelahi syarikat bumiputera itu, ia bukan bermaksud syarikat terbabit tidak melakukan kesalahan.

"Hakikatnya, kontraktor bumiputera itu juga telah bersubahat, kerana telah bersetuju untuk mengalibabakan kontrak kepada syarikat Cina tersebut. Kata ungkapan Inggeri, it takes two to tanggo,” katanya di laman Facebook pada 4 Ogos lalu.

Disebabkan itu, Aidil berkata, keputusan mahkamah itu bukan menyokong perbuatan perayu iaitu kontraktor bumiputera terbabit, sebaliknya ia adalah demi mempertahankan prinsip bahawa mahkamah tidak boleh membantu menguatkuasakan sesuatu perkara bercanggah dengan undang-undang dan prinsip moral, seperti skim ali baba itu.

"Diharapkan ketegasan mahkamah dalam mengisytiharkan perjanjian skim ali baba seperti ini sebagai tidak sah dapat menjadi peringatan kepada kontraktor di luar sana, baik bumiputera mahupun bukan bumiputera.

"Ini bahawa tiada keuntungan akan dapat dikaut daripada menjalankan transaksi menindas dasar kerajaan di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan mengenai perizaban kuota berkenaan dengan perkhidmatan, permit dan sebagainya bagi orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak,” ujarnya.

Katanya, mana-mana pihak berdegil untuk tetap terlibat dengan skim ali baba harus berhadapan dengan risiko kerugian, kerana jika berlaku apa-apa, seperti kemungkiran kes tersebut, perjanjian dilakukan itu tidak akan sekali-kali diiktiraf atau diterima untuk dikuatkuasakan mahkamah.

"Hakikatnya, skim ali baba memberi kesan sangat buruk kepada keadilan sosial di negara ini. Ia menyebabkan syarikat bumiputera menjadi malas bagi membina kapasiti sebenar ekonomi Melayu dan lebih rela mengambil untung atas angin sahaja sambil goyang kaki.

"Manakala syarikat Cina terus memonopoli projek besar negara (dari belakang tabir) dengan segala kapasiti yang mereka ada. Justeru hanya seorang dua tauke Melayu kroni sahaja akan menjadi kaya-raya. Itu pun makan untung atas angin, bukan jadi kaya atas merit kepakaran,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca