AMERIKA Syarikat (AS) telah meluluskan lebih AS$54 bilion (RM239.99 bilion) bantuan ekonomi dan ketenteraan kepada Ukraine sejak Februari lalu apabila tentera Rusia menyerang negara tersebut pada bulan yang sama tahun ini. Bukan itu sahaja,... Klik di sini untuk terus membaca

AMERIKA Syarikat (AS) telah meluluskan lebih AS$54 bilion (RM239.99 bilion) bantuan ekonomi dan ketenteraan kepada Ukraine sejak Februari lalu apabila tentera Rusia menyerang negara tersebut pada bulan yang sama tahun ini.

Bukan itu sahaja, United Kingdom (UK) telah memberikan bantuan ketenteraan hampir AS$3 bilion (RM13.33 bilion) manakala Kesatuan Eropah (EU) membelanjakan kira-kira AS$2.5 bilion (RM11.11 bilion) lagi untuk senjata kepada Kiev.

Pelbagai jenis peralatan senjata daripada raifal dan bom tangan kepada peluru berpandu antikereta kebal serta sistem roket dihantar dari Barat ke Ukraine dengan kebanyakannya memasuki negara itu melalui Poland.

Bagaimanapun, tidak semua senjata tersebut sampai kepada Ukraine untuk digunakan di medan peperangan bagi menentang tentera Rusia sebaliknya sebahagian besarnya didakwa diselewengkan dari tujuan asalnya kenapa ia dihantar ke negara berkenaan.

Laporan CBS News baru-baru ini menyatakan bahawa hanya sekitar 30 peratus daripada senjata yang dihantar oleh Barat benar-benar berjaya tiba ke medan perang manakala khabar angin tentang pembaziran, rasuah dan penjualan di pasaran gelap masih tersebar berlaku di Ukraine.

Semua perkara itu dilakukan merentasi sempadan dan 30 peratus daripadanya sampai ke destinasi terakhirnya, kata Jonas Ohman iaitu pengasas sebuah organisasi Blue-Yellow berpangkalan di Lithuania yang membekalkan bantuan kepada tentera Ukraine kepada stesen penyiaran AS tersebut.

Dokumentari CBS Reports baharu berjudul 'Arming Ukraine' menyiarkan liputan tentang mengapakah sebahagian besar daripada berbilion-bilion dolar bantuan ketenteraan yang disalurkan oleh AS ke Ukraine tidak sampai dan digunakan bagi mempertahankan negara tersebut daripada serangan tentera Rusia.

Tidak ada maklumat tentang ke mana senjata tersebut pergi sama sekali, kata Donatella Rovera yang merupakan penasihat krisis kanan untuk pertubuhan bukan kerajaan mengenai hak-hak asasi manusia, Amnesty International kepada CBS.

Ukraine sebelum ini menegaskan bahawa ia menjejaki setiap senjata yang melintasi sempadannya dengan Yuri Sak iaitu penasihat kepada Menteri Pertahanan negara tersebut, Alexey Reznikov pernah memberitahu Financial Times bahawa andaian sebahagian senjata tidak sampai boleh menjadi perang maklumat Rusia untuk menghalang rakan-rakan antarabangsa daripada menyediakan Ukraine dengan persenjataan.

Bagaimanapun, sumber perisikan AS pernah memberitahu stesen penyiaran berita, CNN bahawa Washington hampir tidak mempunyai idea tentang apa yang berlaku kepada penghantaran senjata itu manakala sumber dari Kanada juga tidak mengetahui ke mana penghantaran bantuan senjata tersebut sebenarnya berakhir.

Agensi Kesatuan Eropah untuk Kerjasama Penguatkuasaan Undang-undang (Europol) yang dahulunya dikenali sebagai Pejabat Polis Eropah dan Unit Dadah pernah mendakwa bahawa sejumlah senjata yang sepatutnya dihantar ke Ukraine telah berakhir di tangan kumpulan jenayah terancang di EU.

Menurut laporan eksklusif Sputnik Arabic's baru-baru ini, sejumlah senjata yang dibekalkan AS sudah muncul di pasaran gelap dan dijual menerusi rangkaian penyeludupan antarabangsa secara dalam talian dan ada yang dibayar melalui wang kripto.

Menerusi siasatan itu, pemilik kedai dalam talian itu menawarkan raifal serangan M4S yang pada mulanya dibekalkan oleh pihak pembekal senjata AS dijual pada harga AS$2,400 (RM10,666) jauh lebih tinggi daripada harga antara AS$600 (RM2,666) dan AS$1,200 (RM5,333) yang ditawarkan Jabatan Pertahanan AS iaitu Pentagon.

JUAL SEMULA SENJATA DI PASARAN GELAP

Seorang ahli kumpulan penggodam Rusia, RaHDIt memberitahu Sputnik bahawa pihak perisikan Ukraine telah bekerjasama dengan para penjenayah dan penyeludup untuk menjual semula senjata yang diberikan oleh Barat di pasaran gelap.

Pada bulan lalu, Menteri Pertahanan Rusia, Sergei Shoigu mendakwa bahawa sejumlah senjata yang dihantar oleh Barat ke Ukraine didapati diedarkan ke Timur Tengah dan berakhir di pasaran gelap tetapi beliau tidak memberikan maklumat lanjut.

AS banyak menghantar senjata kepada Ukraine untuk menghadapi serangan tentera Rusia. - Foto AFP

Sebelum ini, Ukraine secara konsisten disenaraikan sebagai salah sebuah negara yang paling korup di dunia dengan mendapat markah 122 daripada 180 pada ‘Indeks Persepsi Rasuah’ Transparency International pada tahun 2021.

Di Washington pula, seorang anggota Kongres AS, Victoria Spartz yang dilahirkan di Ukraine dan merupakan ahli Parti Republikan pernah mencadangkan Kongres perlu mewujudkan pemantauan sewajarnya terhadap penghantaran senjatanya kerana terdapat dakwaan rasuah dalam kerajaan pimpinan Vladimir Zelenskyy di negara tersebut.

Namun, berikutan banyak bantuan senjata disalurkan ke Ukraine, negara itu akhirnya berikrar untuk tidak memindahkan atau mengeksport senjata yang dibekalkan kepadanya oleh Jerman kepada mana-mana pihak ketiga, menurut maklum balas kerajaan Persekutuan Jerman.

"Kerajaan Persekutuan menyokong Ukraine dalam mempertahankan diri yang sah. Berkenaan dengan sokongan melalui penghantaran senjata, kerajaan Persekutuan secara amnya menerima jaminan penggunaan akhir untuk senjata yang dibekalkan ke Ukraine," menurut maklum balas tersebut.

Sehubungan itu adalah sia-sia sahaja usaha Barat menghantar banyak senjata ke Ukraine untuk digunakan di medan perang bagi menentang serangan tentera Rusia jika sebahagiannya dijual di pasaran gelap kepada pihak tertentu. - Agensi.

Klik di sini untuk terus membaca