SHAH ALAM - Isu projek kapal tempur pesisir (LCS) menunjukkan contoh buruk kepada pematuhan dan tadbir urus yang lemah dalam perolehan awam di Malaysia. Timbalan Pengarah Penyelidikan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Sri... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Isu projek kapal tempur pesisir (LCS) menunjukkan contoh buruk kepada pematuhan dan tadbir urus yang lemah dalam perolehan awam di Malaysia.

Timbalan Pengarah Penyelidikan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Sri Murniati Yusuf berkata, kerajaan perlu lebih serius dalam menambah baik proses semak dan imbang sedia ada bagi memastikan insiden seperti projek LCS tidak berulang lagi pada masa akan datang.

"IDEAS turut menggesa kerajaan untuk mengambil langkah yang serius ke arah melaksanakan pembaharuan terhadap perolehan awam termasuk dengan memperkenalkan Akta Perolehan Kerajaan (GPA) seperti yang dijanjikan sebagai sebahagian daripada Pelan Antirasuah Nasional (NACP).

"Kes LCS ini menunjukkan satu lagi contoh buruk pematuhan dan tadbir urus yang lemah dalam perolehan awam di Malaysia dan penyalahgunaan kaedah rundingan terus.

"Kita perlu membendung kelaziman salah urus operasi, variasi projek yang tidak terkawal, kurangnya ketepatan masa jadual pembayaran dan kurangnya pengawasan yang dikuatkuasakan dalam sistem perolehan,” katanya kepada Sinar Harian.

Ulas Sri Murniati, peraturan rundingan terus semasa dilihat mempunyai beberapa kelemahan seperti yang dicadangkan oleh kertas cadangan dasar IDEAS yang bertajuk Improving Direct Negotiation Rules In Malaysia: Learning From Current Practices And International Laws’.

"GPA terutamanya jika digubal berdasarkan perundangan perolehan antarabangsa seperti Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Perdagangan Antarabangsa (UNCITRAL) Model Undang-undang Perolehan Awam akan memberikan mekanisme kebertanggungjawaban yang lebih baik untuk rundingan terus dan perolehan awam secara amnya,” ujar beliau.

Dalam pada itu, menurutnya, melalui pengenalan GPA, sistem rundingan terus juga boleh mengaplikasi kaedah praktis dari negara-negara luar.

"Sebagai contoh, keadaan kaedah tersebut boleh menjadi lebih ketat dan telus. Sebelum proses rundingan terus dilakukan, kerajaan perlu mengisytiharkannya kepada orang ramai.

"Masih banyak lagi perkara yang perlu diperbaiki melalui pengenalan GPA. Jadi, saya percaya GPA dapat membantu memperkasakan lagi mekanisme semak dan imbang semasa,” jelasnya.

Jangan politikkan isu, siasat LCS secara telus - Belia 4B

Sementara itu, Gerakan Belia 4B Malaysia meminta supaya Jabatan Peguam Negara membuat keputusan yang tepat tanpa campur tangan daripada pihak tertentu berhubung skandal kapal tempur pesisir (LCS), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Pemangku Presidennya, Fahami Ashrof Badaruddin berkata, pihak yang terlibat perlu dibawa ke muka pengadilan bagi memastikan perkara itu tidak lagi berulang.

Ujarnya, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) perlu ditubuhkan dengan segera bagi menyiasat sepenuhnya isu tersebut sekali gus tiada pihak bersalah terlepas daripada pendakwaan.

"Ini bagi memastikan kita dapat jawapan yang sebenar mengenai skandal LCS. Kita lihat sekarang semua pihak main tuduh dan menuding jari antara satu sama lain.

"Jangan mempolitikkan sesuatu isu, kita cuma berharap siasatan secara lebih telus. Walaupun seseorang itu mempunyai kuasa dan ‘pengaruh’, ia perlu disiasat secara teliti dan adil tanpa unsur bias,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Sebelum ini media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melengkapkan beberapa kertas siasatan berhubung skandal perolehan LCS dan akan mencadangkan beberapa nama kepada Pejabat Peguam Negara untuk didakwa.

Sementara itu, Fahami Ashrof turut memohon supaya kerajaan menyemak semula segala projek yang pernah diluluskan sebelum ini bagi memastikan projek tersebut sama ada telah mencapai kemajuan atau masih dalam peringkat permulaan.

"Kita tidak mahu sekali lagi ada skandal seperti LCS pada masa akan datang yang bukan sahaja mengancam keselamatan negara malah menghabiskan duit rakyat demi kepentingan peribadi,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca