WALAUPUN kita sudah sebati dengan isu-isu kesihatan mental dan jiwa seseorang, namun layanan kepada golongan berkenaan tidaklah serius berbanding kelompok yang sakit secara fizikal.
Kebiasaannya, mereka yang sakit secara fizikal lebih mudah mendapat cuti dan perhatian daripada majikan berbanding mereka yang sakit, namun tidak nampak sakit.
Selain itu, ramai juga yang datang menjenguk ke rumah untuk bertanya khabar jika patah kaki, demam dan sebagainya, namun jarang sangat datang untuk bertanya khabar jika sedih, putus harapan dan kecewa.
Bagi yang menghadapi masalah kesihatan mental, sekurang-kurangnya ada juga nampak kesan di otak mereka setelah dibuat imbasan.
Pun begitu, bagi hati dan jiwa yang sakit, sehingga kini tiada alat untuk mengukur sedalam mana kecewa, marah, sedih, takut dan sebagainya yang mempengaruhi kesihatan jiwa serta memberi impak kepada kesihatan mental mereka.
Justeru, besarnya dugaan mereka yang sakit mental dan jiwa serta besar juga tanggungjawab kita untuk membantu mereka.
Sebetulnya, masalah kesihatan mental dan jiwa setiap individu berbeza puncanya.
Ada disebabkan kecewa dalam hidup kerana bercerai dan diberhentikan kerja serta putus harapan kerana kehilangan orang tersayang.
Tidak kurang juga yang menghadapi tekanan kerana kezaliman dan fitnah manusia.
Walaupun masih ramai boleh bertahan dengan masalah sama, namun tidak semua individu mampu untuk menanggung beban kesemua itu.
Oleh itu, kita harus membantu dan bukannya berburuk sangka kepada mereka.
Kebanyakan mereka yang menghadapi tekanan jiwa tidak mahu berkongsi dengan orang lain kerana budaya menghukum dan menghina masih menebal dalam kalangan masyarakat.
Pada masa sama, kelompok sebegitu dianggap lemah, manja dan suka mengambil perhatian mendorong masalah jiwa dan mental mereka semakin kronik.
Pada hemat saya, selain masalah kesihatan mental dan jiwa, sakit yang melibatkan ‘kebersihan hati’ adalah lebih kronik kesannya.
Apa tidaknya, jika setiap hari kita meratib kecaman kepada orang lain, lama-kelamaan nilai kekuatan dan kehebatan diri semakin hilang. Natijahnya, akan memadam ketenangan di dalam hati dan kegelisahan jiwa akan menguasai.
Sejujurnya saya cukup tertarik dengan kupasan Dr Majdi al-Hilali berkaitan hati menerusi bukunya bertajuk Di Hati Kita Bermula.
Menurut beliau, "ALLAH SWT telah menjadikan hati sebagai alat untuk menyembah-Nya. Di dalamnya terkumpul perasaan cinta, benci, takut, harap, gembira, sedih, kemahuan, ketakutan, gelisah, tenang dan sebagainya.”
Tambah beliau lagi, "Hati mempunyai tentera-tentera iaitu akal. Tugas akal yang terpenting adalah sebagai alat ilmu dan pemikiran.
Akal adalah penasihat hati dan pembantu yang terdekat. Sedangkan hawa nafsu walaupun ia juga merupakan tentera-tentera hati, tetapi hawa nafsu berusaha terus mempengaruhi hati dan menguasainya, supaya ia menjadi teguh di hati sebagai sumber kemahuan.”
Berkaitan hal itu, sesungguhnya ALLAH SWT telah menjadikan manusia penguasa atas dirinya sendiri dan perlu bijak mengimbangi antara kehendak nafsu dan akal selari dengan firman-Nya: "Sesungguhnya ALLAH tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” (Surah Ar-Rad, 13:11).
Sejajar dengan besarnya kuasa dan tanggungjawab ke atas diri sendiri, kita harus berubah.
Jika lemah, kita harus bangkit dan berusaha menjadi kuat. Jika angkuh dan sombong, kita harus sucikan hati agar merendah diri.
Namun, jika masih berdegil meratapi dan bangga diri, penghinaan di dunia dan akhirat akan tetap menanti.
Belajarlah untuk tidak menyakiti dan disakiti.
* Profesor Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis.
Klik di sini untuk terus membaca