HIDUP ini kalau tanpa ilmu maka sia-sia. Setiap perlakuan kita perlulah ada ilmu. Tidak kisahlah ilmu apa asalkan yang baik dan boleh memberi manfaat kepada kita. Selain tugas mencari ilmu ini berterusan sehinggalah mati.
Dengan ilmu, kita dapat memperbetulkan diri. Apa yang dahulunya salah atau kurang tepat, mungkin dapat diperbetulkan supaya apa yang dilakukan beroleh kejayaan dan kesejahteraan kepada diri serta keluarga.
Ilmu juga dapat membantu kita menjadi orang berguna dalam kalangan masyarakat, di samping dapat memberi manfaat kepada masyarakat sekeliling kita, sekali gus kepada negara yang tercinta.
Sampai masanya, ilmu ini sangat perlu untuk kita hidup dengan sejahtera. Cuma yang menjadi masalah dan cabaran apabila ada orang yang mengaku berilmu tetapi melihat keadaan cara melakukan tindakan seperti tidak berilmu pula. Ramai juga orang begini kelakuannya.
Ada juga yang mempunyai fikiran kepada apa yang dia tahu dan setuju sahaja. Ilmu yang bercanggah dengan pendapat, dia tidak langsung mahu diikutinya. Orang begini sangat berbahaya juga.
Ini kerana apa pun yang kita kata, mereka tidak menerimanya. Fikiran mereka sudah tertutup dan yang lebih bahaya sudah terlalu taasub dengan sesuatu atau seseorang. Apa yang kita katakan kepada mereka sukar atau tidak sama sekali akan diterimanya.
Kita perlu jujur dengan ilmu terutama apabila melibatkan fakta yang benar. Sebagai orang yang mempunyai akal fikiran, kita hendaklah tidak terlalu memihak. Kerana apabila berpihak, kita akan membuat pertimbangan yang tidak adil.
Kalau tidak setuju dengan sesuatu, hendaklah memberitahu sebab dan musabab atau pendapat kenapa tidak betul. Bukan hanya secara emosi membantah tetapi apabila diminta menunjukkan fakta serta bukti, mereka berdalih pula.
Pepatah Melayu lama ada menunjukkan kepada orang-orang yang begini yang tertutup akal fikirannya walaupun kelihatan sangat berilmu. Contohnya, bagai menunjukkan ilmu kepada orang yang menetek.
Biasanya yang menetek ini hanya bayi kecil yang masih memerlukan sokongan ibu untuk mengisi perut yang lapar. Tetapi kalau sudah orang yang dewasa dan berfikiran waras masih lagi menetek, ini sudah menjadi ibarat orang yang seperti bak kata pepatah 'seperti ilmu padi hampa, makin lama makin mencongak'.
Mereka bukan sahaja mempunyai pemikiran tempurung tetapi juga sombong bak kata pepatah lagi 'bagai jelongak kerbau rampung'. Begitulah kebanyakan orang yang tidak boleh menerima ilmu pengetahuan baharu.
Mereka kekal dengan pegangan mereka, yang mereka rasakan tidak boleh ditangkis oleh orang lain kerana pada pendapat mereka, ilmu yang mereka terima adalah daripada wali-wali yang tidak berdosa.
Apabila ini terjadi, maka kita tidak akan maju dan sentiasa dalam keadaan yang sama. Kedudukan kita pada tahap yang sama ini menyebabkan punggung kita 'berulat' dan 'bernanah'. Sebab terlalu lama duduk tidak beralih tempat.
Oleh kerana keadaan kita begitu, masyarakat sekeliling kita, negara kita akan berulang melakukan perkara yang sama tanpa ada kesudahan. Kita boleh melihat sekarang akan keadaan negara kita yang masih tidak boleh berubah permasalahannya.
Masalah yang timbul bukan masalah yang baharu, masalah yang sama berulang-ulang, dan akan sentiasa berulang selagi tidak ada pembaharuan yang kita lakukan untuk mengubahnya.
Melakukan perkara yang sama setiap hari tidak akan menerbitkan hasil kerja atau keputusan yang berbeza. Ia akan menghasilkan dapatan yang sama juga, melainkan kita berani berubah.
Namun akhirnya kita hanya mampu menjerit, tanpa mengubahnya. Masalah yang lama tidak berkesudahan dan tanpa penyelesaian tetap akan berlaku setiap hari dan setiap masa. Kita sendiri yang terkena bahangnya.
Tidak guna lagi kita melaungkan kemerdekaan, selagi kita tidak memerdekakan diri dan fikiran kita dengan cara pemikiran baharu, untuk menghasilkan keputusan atau penyelesaian masalah yang baharu.
Selagi pemikiran kita bak kata pepatah 'adat lama pusaka usang', maka akan jadi 'seperti kaduk kena air tahi'.
* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif.
Klik di sini untuk terus membaca