FILEM tempatan terakhir yang diberikan ulasan oleh saya ialah Paskal (Calculating Paskal’s Theorem, 19 Oktober 2018). Saya menyatakan bahawa ia sebuah filem yang 'bagus dan penting' dalam menunjukkan komposisi pelbagai etnik... Klik di sini untuk terus membaca

FILEM tempatan terakhir yang diberikan ulasan oleh saya ialah Paskal (Calculating Paskal’s Theorem, 19 Oktober 2018).

Saya menyatakan bahawa ia sebuah filem yang 'bagus dan penting' dalam menunjukkan komposisi pelbagai etnik dalam tentera laut, di samping memuji kesannya terhadap anak muda Malaysia yang melakonkan semula adegan Paskal yang paling memukau, menyebarkan tanggapan bahawa kerjaya masa depan dalam tentera adalah satu kemungkinan.

Bagi orang muda, tiada inspirasi yang lebih hebat daripada melihat orang seperti diri anda melakukan perkara yang menakjubkan. Anda juga boleh membawa kebanggaan kepada keluarga dan negara melalui perkhidmatan yang jujur.

Saya juga telah menyebut tentang kapal selam KD Tunku Abdul Rahman berfungsi dengan baik kerana laporan telah mendedahkan kerosakan (seperti tidak boleh menyelam) dengan kemungkinan rasuah menjadi puncanya.

Malangnya, rasuah dalam perolehan aset tentera laut nampaknya berterusan, seperti yang dicadangkan oleh penyiasatan semasa Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC). Inilah sebabnya pembaharuan perolehan awam amat diperlukan segera.

Sementara itu, saya telah menonton satu lagi filem keluaran tempatan yang bergenre berbeza daripada filem Paskal, tetapi tetap mempunyai barisan pelakon bintang, adegan pertarungan yang menarik, pemandangan yang dirakam dengan cantik, sorotan muzik yang luar biasa dan rujukan sejarah yang membuatkan seseorang berfikir tentang masyarakat.

Saya tidak menggemari genre komedi romantik tetapi filem Gadis Jolobu adalah sebuah filem yang kelakar dan ternyata sesuai dengan penonton yang pelbagai di dewan pawagam di Seremban, terdiri daripada penjawat awam, pegawai istana, profesional muda dan pesara semua kaum.

Tema yang diangkat iaitu mencari cinta dan menghadapi pelbagai halangan di sepanjang jalan adalah sesuatu yang merentasi semua penunjuk demografi.

Menggunakan dialek Negeri Sembilan sepenuhnya (mempunyai sari kata dalam Bahasa Melayu baku dan Bahasa Inggeris), filem ini menceritakan telatah tiga orang bujang mencari cinta di tengah-tengah kehidupan di Seremban dan kampung.

Perbandingan dengan filem Tan Sri P Ramlee dari premis yang sama tidak dapat dielakkan, dan Gadis Jolobu turut menggunakan aksi slapstick yang sama dalam siri Bujang Lapok dan menampilkan lagu Bunyi Gitar daripada filem Tiga Abdul.

Filem Gadis Jolobu diarahkan oleh CL Hor dan diterbitkan oleh Tremendous Entertainment dan Zebra Studio.

Filem yang bersikap sindiran sebegitu pasti akan menggambarkan sikap tertentu dengan cara yang tidak sempurna - yang telah menarik beberapa ulasan kritis yang terang-terangan.

Tetapi sekurang-kurangnya filem ini tidak berpura-pura sebagai satu ulasan politik yang serius, atau menawarkan sebuah biopik pahlawan Melayu yang terkenal.

Namun begitu, terdapat beberapa adegan mempamerkan aspek budaya unik Negeri Sembilan yang berkembang daripada keturunan Minangkabau.

Satu adegan telah membincangkan warisan matrilineal tanah adat - isu yang relevan bagi mereka yang ingin membangunkan tanah tersebut hari ini, dan satu lagi adegan menonjolkan keanggotaan protagonis dalam suku masing-masing untuk tujuan perkahwinan.

Satu selingan muzik merujuk kepada adat berkodin, upacara di mana seseorang individu diterima masuk ke dalam suku - lazimnya seorang lelaki untuk tujuan mengahwini seorang wanita dari suku yang berbeza, atau seorang wanita untuk tujuan mewarisi daripada seorang wanita yang memiliki harta dalam suku tersebut.

Secara tradisinya, darah yang diambil melambangkan keahlian baharu suku, tetapi elemen itu tidak lagi dilakukan.

Lagu yang paling diingati adalah tema eponim filem itu dinyanyikan oleh Datuk Hattan, anak kelahiran Seri Menanti (yang memegang watak utama dalam filem itu) dan Waris yang selain daripada menyertakan baris khusus cerita: "Kisah ramai gadis cantik kek jolobu berkampung...Ughang luar datang nak cari'an joki.”

Juga mengesali "Bilo tanyo suku mano nak jawab pun tak ghoti...Poie tanyo omak, poie tanyo uwan...Kok takdo kosompatan buleh tanyo kawan-kawan...Aktiviti bergurindam tolah lonyap dilupokan.”

Penyanyi rap yang terkenal dengan memasukkan rujukan adat dalam himpunan lagu-lagunya turut menampilkan album Lagu Identiti Negeri Sembilan yang dilancarkan pada bulan Februari (boleh didapati di Spotify) yang meraikan warisan sejarah dan alam sekitar Negeri Sembilan.

Kini, sementara muzik tempatan perlu bersaing dengan Billie Eilish, Justin Bieber dan Blackpink (semuanya akan berkunjung ke Malaysia) adalah tidak mustahil untuk menikmati bentuk seni yang berbeza.

Eyelashes, Beliebers dan Blinks juga harus dapat menghargai muzik popular buatan Malaysia yang mengimbau masa lalu untuk menceritakan kisah-kisah yang bernilai pada masa kini.

Sama ada muzik atau filem, apa yang penting adalah kandungannya diselidik dengan betul dan digambarkan dengan tepat, tanpa mengira genre.

Malah, lebih membimbangkan apabila kandungan yang digambarkan sebagai serius dipenuhi dengan ketidaktepatan dan stereotaip perkauman yang malas, di mana sejarah disalahgunakan dengan teruk untuk mencapai tujuan politik hari ini.

Tetapi mungkin, seperti yang berlaku dengan Braveheart, Gladiator, The Last Samurai atau Kingdom of Heaven. Filem sebegitu akan memacu keilmuan dan dokumentari yang menceritakan kisah yang lebih benar tentang apa yang berlaku, dan dengan itu fiksyen dan bukan fiksyen boleh dipisahkan dengan lebih baik.

Kebebasan akademik adalah satu bahagian penting dalam hal tersebut, satu keperluan untuk memastikan budaya dan sejarah bebas daripada monopoli politik. Kerana jika hal itu berlaku, sejarah sebenar adat tempatan mungkin akan hilang selama-lamanya.

* Tunku Zain Al-‘Abidin ialah Presiden Pengasas IDEAS.

Klik di sini untuk terus membaca