POLITIK sebagai sesuatu di mana segalanya berkemungkinan adalah ungkapan klise dan biasa didengar, namun kadang-kadang kemungkinan yang berlaku dalam politik boleh menimbulkan sesuatu yang luar biasa. Dalam konteks politik Malaysia, luar... Klik di sini untuk terus membaca

POLITIK sebagai sesuatu di mana segalanya berkemungkinan adalah ungkapan klise dan biasa didengar, namun kadang-kadang kemungkinan yang berlaku dalam politik boleh menimbulkan sesuatu yang luar biasa.

Dalam konteks politik Malaysia, luar biasa yang mengejutkan adalah kemungkinan wujudnya kerjasama politik UMNO dan DAP.

Ini setelah Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke pada Ahad lalu menyatakan tidak menolak kemungkinan partinya menjalin kerjasama dengan UMNO selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Kenyataan Loke itu juga disambut lunak oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Walaupun nadanya neutral dan sedikit meninggi diri, beliau melihat kenyataan tersebut sebagai pengiktirafan DAP terhadap kekuatan akar umbi UMNO yang unik dan tersendiri.

Kenyataan kedua-dua tokoh utama UMNO dan DAP itu dilakukan berdasarkan andaian bahawa PRU15 mungkin menyaksikan kerusi terpecah antara parti-parti utama.

Dengan ketiadaan parti dominan, kegusaran kerajaan yang dibentuk bakal mengulangi perkara serupa selepas PRU14 seperti isu lompat parti, undi tidak percaya dan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) mengejut, maka kerjasama sangat penting bagi menghalangnya.

Perseteruan berdekad UMNO-DAP menjadikan kerjasama antara kedua-duanya dilihat hampir mustahil, namun, ada beberapa perkara menjadikan kerjasama itu tidak mustahil boleh berlaku.

Pertama, landskap politik negara yang berubah.

Kedua, kemunculan pengundi yang lebih kritikal terhadap politik kepartian dan ketiga, demografi pengundi yang masih tidak berubah.

Cuma bagaimana kerjasama itu boleh bermula? Ini mungkin menjadi langkah pertama membuka kunci kepada kemungkinan tersebut. UMNO merupakan parti terbesar mewakili orang Melayu.

DAP pula parti paling mendapat tempat dalam kalangan pengundi bukan Melayu.

Kedua-dua parti mempunyai sejarah, ideologi dan tradisi tersendiri.

Namun begitu, adakah gabungan kedua-duanya resipi ampuh untuk mewujudkan kerajaan stabil sepertimana diharapkan?

Paling penting apakah halangan perlu diselesaikan kalau kerjasama itu diwujudkan? Untuk memahami permasalahan tersebut, beberapa faktor perlu dilihat secara menyeluruh.

Pertama ialah menyakinkan akar umbi. Ini masalah paling berat buat UMNO. Sukar untuk melihat bagaimana UMNO mampu meyakinkan akar umbinya untuk menerima kerjasama dengan DAP, sedangkan ideologi politik UMNO yang bertentangan sering menjadikan parti itu sebagai musuh abadi.

Kalau bekerjasama, selesakah mereka dengan ideologi politik DAP dan sebaliknya?

Alasan kestabilan politik semata-mata tidak cukup kuat untuk meyakinkan mereka.

DAP pula mungkin akan berdepan krisis keyakinan lebih parah kerana bekerjasama dengan parti yang dianggap rasis dan rasuah sesuatu yang sering diutarakan sepanjang melawan UMNO.

DAP sudah tentu berisiko untuk hilang undi mereka yang ‘atas pagar’ terutama kelompok pengundi yang progresif dan rasional.

Kalau ini berlaku, ada kebarangkalian undi itu lari kepada parti-parti lain.

Kedua, reaksi rakan komponen masing-masing. Kemasukan DAP sudah tentu akan mengancam survival MCA dalam BN.

Ini sekali gus menjadikan MCA tidak relevan dalam konteks politik orang Cina memandangkan pengaruh besar DAP terhadap kelompok itu.

Sebaliknya, komponen Melayu dalam Pakatan Harapan (PH) terutama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) mungkin turut senasib dengan MCA.

Walaupun PKR dan Amanah gandingan yang sealiran dengan DAP dari sudut ideologi dan falsafah, namun kekuatan mereka masih belum cukup menandingi UMNO daripada perspektif pengaruh dan akar umbi.

Ketiga, keadaan semasa memperlihatkan UMNO-BN masih berpeluang untuk menang, walaupun mungkin tidak mendapat majoriti dua pertiga, kalau bertanding bersendirian. Berbanding DAP, UMNO-BN dilihat tidak begitu terdesak untuk melakukan sebarang kerjasama. Maka lebih bijak untuk melihatnya semula selepas PRU15.

Justeru, apakah tindakan DAP dalam hal ini sekadar mahu menguji rakan-rakannya dalam PH dengan menjadikan UMNO sebagai alat?

Di sebalik politik sebagai segalanya yang berkemungkinan, ada had antara kemungkinan dan kemustahilan.

*Mujibu Abd Muis ialah Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu (KIRRM) Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Klik di sini untuk terus membaca