SHAH ALAM - Rang Undang-Undang (RUU) Sumbangan Politik yang akan dibentangkan di Parlimen, pada Oktober depan, adalah satu lagi penanda aras transformasi pentadbiran dan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Rang Undang-Undang (RUU) Sumbangan Politik yang akan dibentangkan di Parlimen, pada Oktober depan, adalah satu lagi penanda aras transformasi pentadbiran dan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Sebelum ini, kerajaan pimpinan Ismail Sabri mencatatkan sejarah tersendiri apabila berjaya mendapat sokongan padu hampir semua ahli Parlimen ketika membentangkan RUU Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 dan Larangan Ahli Dewan Rakyat melompat parti pada 28 Julai lalu.

Jadi tidak hairanlah jika Ketua Penyelidikan Ilham Centre, Profesor Madya Dr Mohd Yusri Ibrahim, meramalkan pembentangan RUU oleh kerajaan juga akan mendapat sokongan semua Ahli Dewan Rakyat dengan penubuhan satu jawatankuasa pilihan khas Parlimen yang merentasi sempadan parti politik.

Mohd Yusri berkata, secara umumnya pembentangan RUU berkenaan baik untuk amalan demokrasi di Malaysia kerana setiap parti politik memerlukan dana yang besar untuk meneruskan operasi dan kelangsungan hidup mereka.

Oleh itu, Mohd Yusri berkeyakinan pembentangan undang-undang berkenaan akan mendapat sokongan ahli Parlimen penyokong kerajaan mahu pun pembangkang susulan kejayaan kerajaan membentang RUU Anti Lompat Parti di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Mohd Yusri berkata, masalah besar dihadapi kebanyakan parti politik di Malaysia sekarang adalah mereka tidak menerima sebarang geran atau dana tahunan daripada kerajaan untuk beroperasi.

Justeru itu, kata Mohd Yusri, mereka terpaksa mencari dana sendiri untuk meneruskan kelangsungan hidup sekali gus menyebabkan ada pihak tertentu mengambil kesempatan dan memanipulasi keadaan bagi mengaut keuntungan peribadi sehingga menjadi jutawan.

"Keadaan itu juga menyebabkan ada ahli perniagaan tertentu yang sanggup memberikan sumbangan kewangan sehingga berjuta ringgit kepada mana-mana ahli politik dengan harapan mereka akan memperoleh manfaat atau 'mempunyai udang di sebalik batu' selepas sesebuah parti berkenaan menguasai sesuatu kerajaan negeri atau kerajaan Persekutuan.

"Oleh itu, parti menguasai kerajaan negeri atau kerajaan Persekutuan berkenaan terpaksa menganugerahkan sesuatu projek kepada ahli perniagaan bukan kerana merit dan ketelusan, tetapi sebaliknya kerana termakan budi atau sebagai balasan kepada sumbangan kewangan diberikan kepada mereka semasa pilihan raya umum berlangsung," katanya kepada Sinar Premium.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebelum ini berkata, kerajaan bercadang membentangkan RUU Sumbangan Politik dalam sesi sidang Dewan Rakyat pada Oktober ini.

Wan Junaidi berkata, RUU yang dalam proses disiapkan itu adalah inisiatif Putrajaya sendiri untuk meningkatkan ketelusan, tadbir urus dan akauntabiliti kerana ia tidak dinyatakan dalam memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai dengan Pakatan Harapan (PH).

Oleh itu, Wan Junaidi sudah mengadakan perbincangan dengan pelbagai agensi kerajaan termasuklah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC); Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, JPM (BHEUU, JPM) bagi mendapat maklum balas mengenai penggubalan RUU berkenaan.

Antara perkara dasar penting yang telah dibincangkan adalah berhubung dengan penubuhan entiti pengawalseliaan sumbangan politik, penyumbang yang dibenarkan dan penetapan penalti ke atas kesalahan di bawah undang-undang ini.

Dalam pada itu, Mohd Yusri juga tidak menolak kemungkinan penguatkuasaan undang-undang baharu berkenaan mungkin membolehkan kerajaan memberikan geran tahunan kepada sesebuah parti politik memerlukan berdasarkan bilangan keahliannya.

Beliau berkata, langkah berkenaan juga membolehkan kerajaan mengetahui jumlah sebenar dana yang masuk dan keluar daripada akaun setiap parti politik pada setiap masa, selain menyekat ruang berlakunya rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa seperti diamalkan di negara maju.

Sementara itu, Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir berkata, cadangan berkenaan adalah sesuatu yang baik dan tepat pada masanya sekali gus mewujudkan ketelusan dan mengelakkan berlakunya penyalahgunaan dalam setiap pemberian sumbangan atau dana kepada semua parti politik nanti.

"Tindakan ini perlu kerana seperti kita tahu terdapat penyumbang yang mempunyai agenda mereka tersendiri apabila memberikan dana kepada sesuatu parti politik. Apabila mereka menang pilihan raya maka pemberi dana berkenaan akan meminta balasan atau habuan daripada apa yang disumbangkan sebelum ini sama ada dalam bentuk projek, surat sokongan dan sebagainya.

"Ini bermakna penyumbang dana berkenaan tidak ikhlas dan 'ada udang di sebalik batu'. Jadi saya berharap dengan adanya RUU berkenaan nanti memungkinkan Malaysia boleh 'berdiri sama rendah duduk sama tinggi' dengan negara pengamal demokrasi lain yang sudah matang apabila setiap sumbangan atau pemberian dana politik wajib diisytiharkan," katanya.

Dalam pada itu, Jeniri meramalkan RUU baharu berkenaan bakal diterima sebulat suara oleh ahli Parlimen sama ada dari blok pembangkang mahu pun kerajaan kerana ia memberikan kebaikan kepada kedua-dua belah pihak, rakyat, negara dan amalan demokrasi di Malaysia, pada masa depan.

"Saya percaya semua parti politik dan ahli Parlimen yang mahu melihat amalan demokrasi lebih bersih dan adil dapat direalisasikan di Malaysia akan memberikan sokongan padu kepada kerajaan semasa pembentangan dan perbahasan RUU baharu ini.

"Inilah RUU yang sememangnya dihasratkan dan ditunggu-tunggu oleh semua parti politik dan Ahli Parlimen sejak sekian lama. Oleh itu, saya percaya semua ahli Parlimen akan membahaskan RUU ini dengan teliti seperti RUU Larangan Ahli Dewan Rakyat bertukar parti politik yang dibentangkan Perdana Menteri tempoh hari," katanya.

Pensyarah Kanan Pusat Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berkata, cadangan kerajaan untuk membentangkan RUU berkaitan dengan pendanaan politik adalah sesuatu yang sudah lama dibincangkan oleh pelbagai PH selepas mereka berjaya menawan Putrajaya, pada 2018.

Mazlan berkata, pembentangan RUU berkenaan adalah selari dengan intipati Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik (CSA) yang ditandatangani antara Perdana Menteri dan PH bagi mengekalkan kestabilan politik negara pada tahun lalu.

"Saya kira ini adalah satu lagi inisiatif amat baik oleh kerajaan pimpinan Ismail Sabri untuk membentangkan RUU pendanaan politik berkenaan di Parlimen, pada Oktober nanti.

"Pendanaan politik ini satu aspek penting kerana sering dikaitkan dengan pelbagai isu membabitkan integriti dan tadbir urus yang baik sesebuah kerajaan mahu parti. Ini kerana ada sesetengah pihak mendapatkan dana atau sumbangan politik ini menerusi kaedah meragukan yang mungkin dikategorikan sebagai rasuah dan penyelewengan," katanya.

Tambah Mazlan, kewujudan Akta Sumbangan Politik ini membolehkan kita memberikan definisi yang jelas mengenai pendanaan politik dan syarat perlu dipatuhi oleh semua pihak.

"Syarikat penyumbang dana politik juga perlu dipertimbangkan untuk diberikan pengecualian cukai pendapatan dan sebagainya. RUU ini dilihat akan membolehkan setiap sumbangan atau dana politik diberikan mestilah menggunakan saluran betul, sekali gus mengekang kegiatan pemberian rasuah dan pengubahan wang haram.

"Tanpa RUU ini kita dapat ada sesetengah pihak dikatakan memberikan sumbangan dana politik untuk tujuan tertentu, misalnya jika seseorang calon wakil rakyat dan partinya menang serta menjadi kerajaan maka penyumbang berkenaan akan mendapat manfaatnya seperti mendapat projek sebagai balasan pertolongan diberikan sebelum PRU," katanya.

Justeru, Mazlan berharap semua ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negara dapat membahaskan dengan baik dan menyokong penuh pembentangan RUU pendanaan politik berkenaan di Dewan Rakyat, pada Oktober nanti.

Klik di sini untuk terus membaca