RASUAH itu bagaikan barah yang menyerang kita dari dalam. Apabila rasuah itu menjahanamkan kita dalam pertahanan, rasuah itu menjadi alat untuk menawan dan menjajah kita dari luar. Tiada nama lain selain pengkhianatan. Dunia siber penuh... Klik di sini untuk terus membaca

RASUAH itu bagaikan barah yang menyerang kita dari dalam. Apabila rasuah itu menjahanamkan kita dalam pertahanan, rasuah itu menjadi alat untuk menawan dan menjajah kita dari luar. Tiada nama lain selain pengkhianatan.

Dunia siber penuh dengan 'meme' pasal kapal tempur pesisir (LCS) yang tidak dapat dikesan kerana tiada sebuah pun telah dibuat setelah RM6.08 bilion dibayar, daripada kos siling RM9.128 bilion dalam kontrak dengan Boustead Naval Shipyards.

Ini bukan sekadar kehilangan RM6.08 bilion yang cukup untuk membina 60,800 buah rumah kos murah kalau setiap satu bernilai RM100,000.

Ini sabotaj pertahanan kita. Belanjawan Pertahanan Malaysia untuk tahun 2022 ialah RM16,144,722,000. Nilai RM6.08 bilion dan RM9.128 bilion itu 38 peratus dan 56 peratus beratnya belanjawan pertahanan setahun.

Menurut data daripada laman www.globalfirepower.com, belanjawan pertahanan Malaysia cuma mengambil tempat ketujuh di kalangan 10 negara yang berpinggirkan Laut China Selatan.

Belanjawan pertahanan kita kerdil di depan China (60.6 kali jumlah Malaysia), Taiwan (4.4 kali), Singapura (3.0 kali), Indonesia (2.5 kali), Vietnam (2.2 kali) malah Filipina (1.2 kali).

Sudahlah kita tidak sekaya orang, sekarang pula dana dicuri orang sendiri sehingga kapal menjadi udara. Macam mana kita nak cegah tentera dan kapal perikanan kuasa besar mencerobohi perairan wilayah kita semacam belakang rumah mereka?

Tak kira apa pandangan, keutamaan dan kepentingan kita dalam politik, kita mesti bersama-sama melawan pengkhianatan. Semua parti dan pemimpin mesti meletakkan keselamatan negara di atas kepentingan kepartian dan peribadi.

Keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menyahsulitkan semua dokumen berkenaan skandal LTC amat dialu-alukan. Tanpa ketelusan, tidak mungkin pengkhianat dihadapkan ke muka pengadilan.

Skandal ini tidak mungkin didedahkan tanpa penyiasatan awal oleh sebuah jawatankuasa yang diketuai mantan Auditor Negara, Tan Sri Ambrin Buang, yang dilantik oleh mantan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu pada 30 Mei 2018, tiga minggu selepas pertukaran kerajaan.

Sanjungan tinggi perlu dirakamkan kepada 14 orang ahli Parlimen dalam Jawatankuasa Kira-kira Negara (PAC) yang gagah mendedahkan pengkhianatan. Diketuai Ahli Parlimen Ipoh Timor, Wong Kah Woh (DAP), empat belas wakil rakyat patriot ini merentasi parti: UMNO (3), Parti Pribumi Bersatu Malaysia (3), Pas (2), DAP (2), Gabungan Parti Sarawak (1), Parti Keadilan Rakyat (1), Parti Amanah Negara (1) dan Parti Warisan (1).

Ada pihak yang ingin mendesakkan pilihan raya umum lebih awal supaya rakyat akan lupa dengan skandal ini dan para pengkhianat akan terlepas. Alasan mereka ialah supaya UMNO tidak dihukum pengundi seperti kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Realiti adalah sebaliknya, pada pandangan saya. Skandal ini cuma melibatkan beberapa orang pemimpin UMNO bukan seluruh parti. Kalau kerajaan Ismail berani membersihkan UMNO daripada barah rasuah pengkhianat, UMNO tidak akan ditenggelamkan bersama.

Tidak cukup dengan satu lagi Suruhanjaya Penyiasatan DiRaja (RCI). Kalau kita tidak ingin kes LCS baru, kita perlukan tiga reformasi institusi yang lebih mendalam.

Pertama, penubuhan Jabatan Pendakwaraya yang bebas daripada Jabatan Peguam Negara.

Kedua, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah diletak di bawah Parlimen, bukan Jabatan Perdana Menteri.

Ketiga, setiap Kementerian mesti dipantau oleh sebuah Jawatankuasa Pilihan Parlimen yang bersifat tetap, ini tidak wujud langsung semasa kontrak LCS dirundingkan.

Panas sungguhpun berkipas

Jom beli ais krim di kedai

Kalau perasuah boleh terlepas

Tak lama Watan tergadai

* Profesor Wong Chin Huat (chinhuatw@gmail.com) ialah seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihan raya, politik parti dan demokrasi berparlimen.

Klik di sini untuk terus membaca