SEBANYAK 31 kerusi Parlimen yang menjadi idaman parti-parti politik di negara ini menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Berdasarkan data undi PRU14 yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebuah badan penyelidikan politik... Klik di sini untuk terus membaca

SEBANYAK 31 kerusi Parlimen yang menjadi idaman parti-parti politik di negara ini menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Berdasarkan data undi PRU14 yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebuah badan penyelidikan politik tempatan, O2 Research Malaysia melalui satu analisis pada tahun lalu mengunjurkan sekurang-kurangnya 27 kerusi Parlimen milik blok pembangkang berpotensi dimenangi UMNO-Pas pada PRU15 sekiranya koalisi Muafakat Nasional (MN) berjaya direalisasikan secara tidak rasmi.

Analisis susulan Sinar Premium menerusi data SPR turut mendapati sejumlah empat kerusi Parlimen tambahan yang kini dimiliki Bersatu dan PN iaitu Tambun, Sungai Besar, Titiwangsa dan Indera Mahkota berisiko besar dirampas PH sekiranya tiada usaha perundingan dicapai di antara MN mahupun Perikatan Nasional (PN)-Barisan Nasional (BN).

Penyelidik Kanan O2 Research Malaysia, Anis Anwar Suhaimi berkata, jangkaan itu dibuat berdasarkan kaedah campuran undi asas UMNO dan Pas pada PRU14 di mana kesemua 27 kerusi ‘panas’ itu terdiri daripada kerusi bersifat marginal dan majoriti pengundi Melayu melebihi 51 hingga 65 peratus.

Antara kerusi Parlimen berkenaan ialah Jerlun, Kubang Pasu, Pokok Sena, Kuala Kedah, Merbok, Sungai Petani, Padang Serai dan Kulim Bandar Baharu, Alor Setar (Kedah); Parit Buntar, Lumut dan Tanjung Malim (Perak) dan Hulu Selangor, Kuala Selangor, Kapar dan Kuala Langat (Selangor).

"Selain itu, kerusi berpotensi lain dimenangi gabungan MN ialah di Raub, Kuantan, Temerloh dan Bentong (Pahang); Sri Gading, Simpang Renggam (Johor); Wangsa Maju (Kuala Lumpur); Kangar (Perlis); Putatan (Sabah); Tangga Batu (Melaka) dan Tampin (Negeri Sembilan).

Senarai 31 kerusi Parlimen yang menjadi tumpuan

"Menariknya, 27 kerusi ini turut melibatkan enam daripada 11 kerusi Parlimen dimiliki Parti Amanah Negara (Amanah) selain tiga kerusi Parlimen majoriti pengundi Melayu melebihi 53 peratus yang sebelum ini ditandingi calon bukan Melayu daripada koalisi Barisan Nasional (BN) iaitu Parlimen Alor Setar, Wangsa Maju dan Simpang Renggam,” kata Anis Anwar.

MN perlu dihidupkan kembali

Sempena tiga tahun penubuhan Muafakat Nasional (MN) pada Sabtu, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marsuki sebelum ini mengunjurkan gabungan kerjasama Pas dan UMNO masih diyakini merupakan formula ampuh bagi menafikan peluang PH menang pada PRU15.

Di sebalik situasi parti Melayu berpecah kepada gabungan iaitu BN, PN, Pakatan Harapan (PH) dan Gerakan Tanah Air (GTA), Mohd Zuhdi meyakini koalisi MN yang kini diibaratkan seperti nyawa-nyawa ikan perlu dihidupkan kembali semangatnya bagi mengelakkan berlaku pertembungan lebih dua penjuru yang merugikan kaum Melayu itu sendiri.

Buktinya, Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas itu mendedahkan, terdapat 27 kerusi Parlimen bersifat marginal yang sangat berisiko untuk dimenangi PH sekiranya dua parti utama Melayu, Pas dan UMNO bertembung antara satu sama lain pada PRU15.

Tanpa mendedahkan senarai 27 kerusi Parlimen berkenaan, kenyataan Mohd Zuhdi itu dianggap amat mengejutkan pada saat Pas dilihat sangat selesa berkoalisi dengan musuh ketat UMNO iaitu Bersatu melalui PN.

Pandangan Mohd Zuhdi itu turut menimbulkan tanda tanya sama ada ia mewakili pandangan pucuk kepimpinan Pas secara keseluruhannya.

Ini memandangkan umum mengetahui parti Melayu kedua terbesar selepas UMNO itu turut mengalami krisis pertembungan antara puak pemimpin pro UMNO dan pro PN (Bersatu).

Justeru beliau, mencadangkan supaya Kerusi MN diwujudkan untuk diberikan kepada Pas dan BN.

Implikasi pertembungan itu juga menyaksikan bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dipecat daripada jawatan parti sebelum Ahli Parlimen Kuala Nerus itu mengambil keputusan keluar Pas untuk menjadi wakil rakyat bebas.

Menariknya, Khairuddin yang kini cenderung memperjuangkan kerjasama UMNO-Pas berbanding Pas-PN, pernah menyatakan sebanyak 32 kerusi Parlimen dalam keadaan kritikal sekiranya BN dan Pas perlu berhadapan PH secara lebih dua penjuru pada PRU15.

Bersatu bakal kehilangan TambunMerujuk semula tambahan empat kerusi Parlimen milik Bersatu yang berisiko kalah pada PRU15, Sinar Premium mengambil contoh kedudukan kerusi Tambun yang dimenangi Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada PRU14, sebenarnya berpotensi dirampas semula calon PH pada PRU15 susulan jangkaan pertembungan empat penjuru bakal berlaku.

Hal ini kerana undi asas diterima Menteri Belia dan Sukan itu sewaktu bersama koalisi pembangkang berkenaan ialah sebanyak 38,661 undi, jauh meninggalkan pesaing terdekat daripada BN iaitu bekas Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dengan 33,341 undi.

Bagaimanapun, sekiranya undi Pas dan Bersatu serta BN berjaya digabungkan menerusi persefahaman tidak rasmi MN, kerusi berkenaan berupaya diselamatkan MN dan PN melalui jumlah undi 48,289 undi, jauh meninggalkan undi diterima Ahmad Faizal sewaktu bersama PH dengan majoriti 9,628 undi.

Justeru, tidak hairanlah kerusi Tambun kini turut diintai Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk ditandingi pada PRU15 susulan ia masih dianggap kubu kuat pembangkang sekiranya parti-parti Melayu berpecah.

Situasi lebih kurang sama turut diunjurkan bakal berlaku terhadap kerusi Parlimen Sungai Besar yang disandang Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Muslimin Yahya; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun (Titiwangsa) dan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota) ketika ini, sekiranya permuafakatan MN-PN gagal menjadi realiti kelak.

Klik di sini untuk terus membaca