LAWATAN Speaker Amerika Syarikat (AS) Nancy Pelosi ke Taiwan pada 2-3 Ogos 2022 telah menimbulkan reaksi daripada pelbagai pihak terutamanya China yang beranggapan sebagai tindakan provokatif yang bertentangan dengan ‘Dasar Satu China’.... Klik di sini untuk terus membaca

LAWATAN Speaker Amerika Syarikat (AS) Nancy Pelosi ke Taiwan pada 2-3 Ogos 2022 telah menimbulkan reaksi daripada pelbagai pihak terutamanya China yang beranggapan sebagai tindakan provokatif yang bertentangan dengan ‘Dasar Satu China’.

Selain itu, status Nancy Pelosi sebagai Speaker AS merupakan kedudukan yang ketiga selepas presiden dan timbalan presiden. Pada 1997 Speaker AS ketika itu Newt Gingrich telah melawat Taiwan namun beliau berasal dari parti Republikan yang berbeza dengan pentadbiran Bill Clinton.

Namun kali ini Pelosi berasal dari parti Demokrat yang sama dengan Presiden Joe Biden. Tidak dapat dielak tanggapan Pelosi berkongsi posisi yang sama dengan Biden.

Oleh demikian, China melalui Kementerian Luarnya telah membantah dengan keras lawatan Pelosi dan telah menjalankan satu siri latihan ketenteraan di kawasan berhampiran Selat Taiwan sebagai tanda bantahan dan siap siaga.

Dalam keadaan tegang Menteri-menteri Luar ASEAN telah mengeluarkan kenyataan sebelum bermulanya persidangan di Phnom Penh menyeru semua pihak supaya menahan diri daripada mengambil tindakan yang bersifat provokatif dan menegakkan prinsip yang termaktub dalam Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC).

Walaupun kenyataan tersebut tidak menamakan AS ataupun China tetapi amat jelas sekali ASEAN merujuk kepada ketegangan yang timbul akibat lawatan Pelosi.

Semenjak era Perang Dingin lagi pendirian ASEAN mengenai persidangan kuasa-kuasa besar adalah jelas iaitu tidak memihak mana-mana pihak atau dasar berkecuali.

Negara-negara ASEAN yang dilawati oleh Pelosi termasuk Singapura dan Malaysia. Kedua-dua negara ini menyambut Pelosi atas prinsip dasar berkecuali memandangkan AS masih merupakan ekonomi yang terbesar di dunia dan mempunyai kepentingan ekonomi di rantau Asia Tenggara.

Syarikat elektronik AS seperti Intel dan Motorola mempunyai pelaburan di Malaysia. Lawatan Pelosi boleh disifatkan sebagai kesinambungan kepada lawatan para pemimpin ASEAN ke Washington DC pada 12-13 Mei 2022.

Ini merupakan sebahagian daripada percaturan politik pentadbiran Biden untuk merapatkan hubungan dengan Asia Tenggara yang telah renggang ketika pentadbiran Presiden Donald Trump.

Namun, negara-negara ASEAN seperti Malaysia mampu imbangi hubungan dengan kedua-dua kuasa besar. Misalnya Malaysia turut menyambut lawatan Menteri Luar dan Ahli Majlis Negara China, Wang Yi pada Julai 2022.

Persoalan kedua adalah apakah pencapaian lawatan Pelosi? Tidak dinafikan lawatan Pelosi ke Singapura dan Malaysia telah sedikit sebanyak memperkukuhkan hubungan bilateral. Media Barat telah menyiarkan bahawa lawatan ke Taiwan sebagai suatu ‘kemenangan’ bagi AS.

Bagaimana pun jika ditinjau secara teliti lawatan Pelosi ke Taiwan telah mendedahkan Taiwan kepada risiko lebih besar. Perlu ditegaskan China juga adalah rakan dagangan terbesar bagi Taiwan di mana ramai pengusaha Taiwan mempunyai peniagaan dan kilang di China.

Kesan lawatan Pelosi bukan sahaja terhad kepada keselamatan dan diplomasi tetapi kepentingan ekonomi ASEAN dan Taiwan. Ini kerana China tetap merupakan rakan perdagangan ASEAN yang terbesar dengan kira-kira 14.6 peratus daripada jumlah perdagangan luar pada suku pertama 2022.

Ini turut diakui oleh sesetengah pemimpin kanan AS yang telah bersara. Misalnya Max Baucus, mantan Duta Besar AS ke China dan bekas Senator Demokratik dari Montana berpendapat matlamat dasar luar AS adalah untuk mengurangkan ketegangan dengan China dan bukan sebaliknya. Menurut Baucus lagi lawatan Pelosi dengan jelasnya meningkatkan ketegangan.

Idea yang sama dikongsi oleh Phil Mudd penganalisis politik dan bekas pegawai Agensi Perisikan Pusat (CIA). Sepatutnya AS harus menyalurkan lebih banyak bantuan bagi merangsangkan semula perniagaan dan bekerjsama dalam usaha pemulihan ekonomi pasca pandemik Covid-19.

Bagi Taiwan lawatan Pelosi dianggap sebagai usaha untuk mengimbangi ancaman dan pencerobohan tentera udara China ke ruang udaranya yang semakin berleluasa semenjak beberapa bulan yang lalu. Lawatan tersebut menjadi suatu ‘isyarat’ kepada China bahawa AS sedia bersama Taiwan. Bagaimana pun apa yang penting semua pihak harus mengamalkan sikap menahan diri daripada mengambil tindakan yang terburu-buru yang boleh merugikan semua pihak.

* Dr Roy Anthony Rogers ialah Profesor Madya di Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya

Klik di sini untuk terus membaca