KETIKA ini heboh diperkatakan pilihan raya umum akan diadakan tidak lama lagi dan pelbagai janji sudah mula ditabur bagi memancing undi. Sebagai salah seorang pemimpin NGO bersifat non-partisan, saya melihat pilihan raya sebagai wadah... Klik di sini untuk terus membaca

KETIKA ini heboh diperkatakan pilihan raya umum akan diadakan tidak lama lagi dan pelbagai janji sudah mula ditabur bagi memancing undi.

Sebagai salah seorang pemimpin NGO bersifat non-partisan, saya melihat pilihan raya sebagai wadah perubahan masyarakat. Adalah menjadi tanggungjawab semua wakil rakyat dipilih untuk mendaulatkan Islam sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.Sebarang tindakan mempersendakan Islam secara lisan, tulisan ataupun media siber dan elektronik perlu ditangani dengan serius mengikut peruntukan di bawah Kanun Keseksaan termasuklah daripada kalangan ahli politik.


Bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah diperluaskan menerusi pindaan Akta Bidang Kuasa Jenayah (Mahkamah Syariah) 1984 serta Enakmen Pentadbiran negeri mestilah direalisasikan.

Dalam masa yang sama Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah disama tarafkan dari aspek perjawatan, penggajian, status serta prasarana.
Penyeragaman undang-undang Islam hendaklah dilaksanakan dengan kadar segera.

Syukur Akta Profesion Guaman Syarie (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2019 telah dikuatkuasakan pada Jun lepas bagi mengawal selia peguam syarie Wilayah Persekutuan seperti rakan mereka peguam sivil.

NGO Islam pernah menuntut supaya digubal dan diwartakan dengan segera undang-undang mengawal penyebaran agama bukan Islam di kalangan umat Islam di seluruh negara selaras dengan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan. Sehingga hari ini Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak masih belum menggubal undang-undang tersebut.


Segala usaha hendaklah dipadukan bagi meningkat tahap profesionalisme dan keberkesanan agensi Islam dalam mendaulatkan Islam di Malaysia.

Kerajaan perlu mengambil tindakan tegas termasuk ke tahap membatalkan mana-mana lesen perniagaan majikan yang menyukarkan apatah lagi menghalang pekerja Islam mengamalkan ajaran Islam seperti menghalang pemakaian tudung, solat Jumaat, berpuasa, cuti mengerjakan haji dan lain-lain syiar Islam.

Proses pembentukan jati diri Muslim perlu dilaksanakan melalui sistem pendidikan yang mementingkan Islam sebagai satu cara hidup. Kerajaan mesti memperkasakan pendidikan Islam dalam sistem pendidikan kebangsaan termasuk menyemai prinsip beragama di dalam subjek ‘non-agama’.

Malaysia hendaklah juga menjadi pusat kecemerlangan pendidikan dan perkembangan keilmuan Islam. Ia bagi menzahirkan Malaysia menjadi contoh tamadun dan peradaban yang berilmu.

Pada pandangan saya amalan bacaan al-Quran, doa dan sambutan perayaan kebesaran Islam perlu diteruskan kerana ia sama sekali tidak menghakis keharmonian kaum dan agama, malah mendidik anak bangsa menjadi insan bersahsiah mulia.



Kementerian Penerangan pula hendaklah memahami aspirasi dan sensitiviti umat Islam dalam merangka dasar penyiaran dan melaksanakan program membina masyarakat berakhlak terpuji.

Program hiburan mempromosi budaya hedonisme Barat hendaklah dihentikan termasuk program hiburan realiti. Sistem politik dan tadbir urus baik adalah syarat utama kejayaan dan kelangsungan sesebuah negara.

Kesejahteraan rakyat akan terbela dengan mewujudkan sistem politik adil, tadbir urus baik dan sistem penyampaian cekap. Kerajaan dipilih hendaklah bebas daripada amalan rasuah dan salah guna kuasa.

Usaha ekstremis agama dan perkauman sempit hendaklah ditolak. Oleh demikian, pemimpin dipilih hendaklah mempertingkatkan komitmen terhadap keharmonian hubungan kaum dan agama.


Parti politik yang tidak sensitif terhadap kepentingan hubungan kaum dan agama termasuk mempersendakan kedudukan agama Islam di Malaysia hendaklah ditolak.

Pembinaan rumah ibadat tanpa mengikut peraturan hendaklah dikawal. Jika pihak berkuasa agama tegas dalam melaksanakan peraturan membina surau dan masjid, mereka ternyata sangat lemah apabila berhadapan dengan pembinaan rumah ibadat agama lain.

Dalam aspek lain bilangan pegawai penguat kuasa agama (PKA) dan profesionalisme mereka dalam membanteras gejala maksiat dan salah laku moral perlu dipertingkatkan.

Kerajaan dituntut melaksanakan undang-undang antimaksiat yang sedia ada dengan tegas, telus dan berkesan. Inilah antara perkara yang boleh ditimbangkan oleh parti politik di dalam menggarap manifesto mereka.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

Klik di sini untuk terus membaca