PADA 21 Ogos 2022, genap satu tahun pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9. Kehadiran beliau adalah sewaktu negara sedang berhadapan dengan tiga krisis besar negara.
Pertama, konflik politik yang tidak ada penghujungnya; kedua tatkala sedang memulihkan negara dari pandemik Covid-19 dan ketiga adalah keselamatan sosiokesihatan.
Mengurus pelantikan beliau juga tidak datang dengan mudah. Sejurus 44 hari selepas dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri, beliau mencatat sejarah warisan kesinambungan kepimpinan negara dengan mengangkat sumpah jawatan ketua kerajaan dan peneraju pentadbiran negara.
Semenjak Mei 2018 sehingga Ogos 2021, negara telah melihat kehadiran tiga orang Perdana Menteri dari ruang gabungan yang berbeza. ‘Menebus kestabilan, mengurus kepelbagaian’ di bawah kerangka ‘Keluarga Malaysia’ kepimpinannya menjadi kunci kepada gerak kerja sepanjang satu tahun pentadbiran beliau, berpandukan kepada kedudukan sebagai penyandang jawatan tertinggi dalam kepimpinan tanah air.
Malahan, ia adalah ujian psikik keterbukaan dan perwatakan ‘sempoi’ serta kemesraan beliau.
Kestabilan perlu diperbaiki pada waktu itu kerana desakan datang dari luar dan dalam parti. Ini kerana beliau mewarisi kerajaan yang tidak menentu disebabkan oleh penjajaran mandat dalam kalangan wakil rakyat.
Mengurus mediasi, rundingan, akomodasi, berpartisipasi dan konsensus demi menebus kestabilan negara dianggap antara cabaran satu tahun cara kepimpinan beliau. Ia perlu dilakukan secara tersusun dan berkesan agar tidak mendatangkan impak berterusan sehingga sukar melaksanakan agenda besar untuk tanah air.
Hatta, urusan parti dihadapi selaku Naib Presiden dengan memberi keyakinan di Perhimpunan Khas UMNO 2022 bahawa ‘darahnya adalah UMNO’ dan jaminan perbincangan mengenai pilihan raya umum dengan barisan tertinggi parti selepas desas-desus wujud kem Putrajaya dan PWTC untuk menghindar persepsi ke atas kepimpinan beliau.
Ini juga bertujuan untuk mengimbangi perjanjian persefahaman antara kerajaan dan barisan pembangkang yang ditandatangani pada 13 September 2021 untuk mengakhiri kebuntuan politik. Ia sudah berakhir pada 31 Julai 2022.
Selepas satu tahun, kestabilan boleh dianggap semakin diperbaiki jika dibandingkan dengan suasana politik dari 2018-2020 dan kemudian 2020-2021. Sistem politik yang bersifat dinamik masih berhadapan dengan ketidaktentuan struktur tetapi terkawal dengan formula ‘tawaran baharu’ perdamaian politik.
Menebus kestabilan datang dengan mentadbir-urus tatacara kenegaraan, sektor politik dan sosioekonomi. Ini termasuklah mewartakan RUU Larangan Keluar Parti, hubungan dengan negara luar termasuk kuasa besar dunia melalui lawatan bersiri; disemak semula perjanjian Malaysia 1963 dan sedang mengkaji Akta Penyeliaan Dana Politik.
Apabila beralih fasa pandemik kepada endemik, maka cabarannya berbeza untuk meneruskan dos vaksin tetapi waktu yang sama memantapkan pengukuhan dalam negara dengan merancakkan semula ekonomi tanah air termasuk sektor pelancongan dan jihad inflasi apabila rakyat berhadapan dengan kenaikan harga barang mendadak.
Naratif keselesaan, kesejahteraan dan keselamatan kesihatan diselaraskan dengan ilmu hukum menjadi asas kepada penyampaian gaya kepimpinan Ismail.
Kesemua ini dilengkapi dengan perwatakan dan sikap bertanggungjawab ke atas pembudayaan dan identiti nasional.
Kerangka ‘Keluarga Malaysia’ memberi takrifan ke atas kebolehupayaan mencapai hasrat ini berpayungkan kepada keterangkuman, kesyukuran dan kebersamaan.
Mengurus kepelbagaian dilakukan agar keseimbangan dan jurang diperbaiki merentasi nilai keetnikan, kelas, persempadanan dan agama agar lahir warga yang setara, sederhana, harmoni; gambaran ke atas perkongsian dan sifat kepunyaan.
Bermula dengan pemahaman dan fasa penerapan, ia akan menelusuri fasa amalan dengan menggiatkannya melalui aktiviti dan program di seluruh negara.
Harapan kini adalah ia menjadi perkakas kepada usaha pengembangan dan memperkukuhkan serta menyejahterakan anggota masyarakat dengan komunikasi dan paparan kandungan yang komprehensif.
Begitu juga untuk terus menjadi faktor penyatuan melalui tindakan dan keputusan yang ‘merakyatkan kepimpinan’.
Tahun kedua boleh diterokai dengan perkasakan daya saing, perkuatkan kesejahteraan dan perkembangkan kerukunan untuk menebus kestabilan dan mengurus kepelbagaian negara ini bermanifestasi kepada gagasan ‘Keluarga Malaysia’ yang dimensinya adalah suluhan ke atas praktis gaya kepimpinan beliau.
*Profesor Dr Sivamurugan Pandian ialah profesor di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia
Klik di sini untuk terus membaca