BANGKOK - Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha mula memegang jawatan itu secara rasmi selepas mendapat sokongan daripada Raja negara tersebut ketika itu, mendiang Raja Bhumibol Adulyadej pada 24 Ogos 2014. Prayut yang juga ketua... Klik di sini untuk terus membaca

BANGKOK - Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-cha mula memegang jawatan itu secara rasmi selepas mendapat sokongan daripada Raja negara tersebut ketika itu, mendiang Raja Bhumibol Adulyadej pada 24 Ogos 2014.

Prayut yang juga ketua tentera mendapat persetujuan tersebut selepas tiga bulan beliau melakukan rampasan kuasa tanpa menumpahkan darah sekali gus menyingkirkan kerajaan sementara pimpinan Perdana Menteri ketika itu, Miwattumrong Boonsongpaisan.

Beliau merupakan calon tunggal daripada Perhimpunan Kebangsaan yang majoritinya tentera mengundi memilihnya untuk jawatan tersebut serta merupakan pemimpin rampasan kuasa pertama yang berkhidmat sebagai Perdana Menteri hampir 60 tahun dan pelantikannya telah dikutuk oleh pihak lawan.

Miwattumrong pula menjadi Perdana Menteri sementara selepas adik bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra, Yingluck Shinawatra disingkirkan daripada jawatan tersebut kerana keputusan mahkamah disebabkan oleh penyalahgunaan kuasa dengan memindahkan Ketua Majlis Keselamatan Negara ke jawatan lain pada tahun 2011.

Sejak Prayut memegang kuasa, beliau dan pihak tentera telah mendominasi semua pentadbiran kerajaan.

Pilihan Raya Umum kemudian dijadualkan diadakan pada tahun 2017 tetapi ditangguhkan pada 2018 kerana mahu meminda undang-undang pilihan raya namun ia terpaksa ditangguhkan lagi sehingga ke tahun 2019.

Pada 5 Jun 2019, Prayut dipilih sebagai Perdana Menteri Thailand dan beliau menang dengan selesa selepas mendapat 375 undi iaitu lebih separuh daripada undi 750 ahli Parlimen yang diperlukan untuk memenangi jawatan Perdana Menteri.

PRAWIT WONGSUWAN

Perdana Menteri negara itu dipilih dalam undian bersama di Dewan Perwakilan yang mempunyai 500 kerusi dan Dewan Senat yang memiliki 250 kerusi.

Undi itu secara rasmi memulihkan pemerintahan awam di Thailand selepas berada lebih lima tahun di bawah pimpinan tentera.

DESAKAN BERUNDUR

Prayut dicalonkan oleh gabungan yang disokong tentera yang diketuai oleh parti Palang Pracharath dan menjadi Perdana Menteri di bawah sistem politik baharu diperkenalkan yang menurut pengkritik bertujuan untuk memanjangkan penguasaan tentera dalam politik Thailand.

Ketika memerintah, beliau didesak meletakkan jawatan beberapa kali dalam tunjuk perasaan antaranya di Bangkok pada tahun 2020 apabila penunjuk perasaan muda mahukan Perlembagaan baharu, menamatkan penindasan aktivis politik dan reformasi sistem beraja. Pada tahun 2018 pula, tunjuk perasaan diadakan di Bangkok menuntut kerajaan tentera mengadakan Pilihan Raya Umum menjelang November.

Tuntutan Prayut meletak jawatan sebagai Perdana Menteri semakin kuat bergema di Thailand. - AFP

Pada bulan Februari lalu, beliau enggan meletak jawatan seperti kehendak pembangkang gagal dalam semua aspek ketika mentadbir negara.

Prayut juga terselamat daripada undi tidak percaya di Parlimen pada 23 Julai lalu selepas pihak pembangkang menuduh beliau dan kerajaannya melakukan rasuah dan salah urus ekonomi negara.

Seramai 10 menteri lain, termasuk Timbalan Perdana Menteri, Prawit Wongsuwan; Menteri Kesihatan Awam, Anutin Charnvirakul dan Jurin Laksanawisit yang merupakan Menteri Perdagangan turut terselamat dalam undian itu.

Ini adalah undi tidak percaya keempat terhadap Prayut dan kerajaannya sejak tahun 2019.

PETISYEN DI MAHKAMAH

Baru-baru ini parti pembangkang, Parti Pheu Thai memutuskan untuk mendapatkan tafsiran perlembagaan berhubung tempoh Prayut menjadi Perdana Menteri.

Ia akan membuat petisyen kepada Mahkamah Perlembagaan pada 17 Ogos ini untuk mendapatkan keputusan sama ada Prayut akan mencapai had lapan tahunnya pada 24 Ogos ini berdasarkan kepada Perlembagaan negara.

Seksyen 158 Perlembagaan 2017 menetapkan bahawa seseorang ahli politik boleh menjadi Perdana Menteri tidak lebih daripada lapan tahun dengan atau tanpa selang masa.

Pemimpin Pheu Thai, Cholnan Srikaew berkata bahawa tempoh perkhidmatan Prayut akan tamat pada 24 Ogos ini kerana jawatan Perdana Menteri harus dianggap sebagai bermula dari hari beliau dilantik sebagai Ketua Majlis Kebangsaan untuk Keamanan dan Ketenteraman yang kini tidak lagi berfungsi.

Pasukan undang-undang Dewan Rakyat berhujah bahawa tempoh perkhidmatan Prayut secara teknikal bermula pada 9 Jun 2019 apabila beliau dilantik sebagai Perdana Menteri dengan perintah diraja di bawah piagam 2017 dan tempohnya akan tamat pada 2027.

Adakah Prayut akan terselamat lagi sebagai Perdana Menteri sama seperti undi tidak percaya terhadapnya di Parlimen Thailand?

Klik di sini untuk terus membaca