TRAGEDI kes bunuh diri spesifiknya melibatkan insiden buli siber kian meningkat dalam kalangan pengguna teknologi gajet pintar digital di negara ini.
Teknologi gajet pintar digital telah membuka variasi platform perhubungan sesama manusia di peringkat global turut mempopularkan perkenalan laman media sosial yang kini menjajah gaya hidup dan intelek semua lapisan masyarakat.
Penambahbaikan teknologi gajet pintar digital dan lambakan laman media sosial itu secara langsungnya telah membawa ancaman baharu iaitu penularan insiden buli siber sehingga meragut nyawa pengguna.
Akhbar harian Tamil, Makkal Osai melaporkan seorang pemilik akaun TikTok popular dengan lebih 30,000 pengikut ditemui tidak sedarkan diri di rumahnya terletak di Subang Jaya, Selangor disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital pada Isnin lepas.
Ibu kepada tiga anak, Shashikala Nadarajah, 44, itu sering berkongsi idea tentang persekolahan di rumah, gangguan seksual dan cara mengekalkan penjagaan beg tangan mewah untuk tatapan pengguna TikTok.
Insiden kematian pempengaruh TikTok itu menularkan dakwaan bahawa beliau mati dipercayai akibat kecaman hebat di akaun miliknya.
Makkal Osai berkata, perbuatan buli siber dalam laman media sosial menjadi isu serius yang masih belum dapat dicegah disebabkan tiada penguatkuasaan ketat dan undang-undang khas untuk menjatuhkan hukuman setimpal.
Pertubuhan Befrienders dan Persatuan Kesihatan Mental Malaysia (MMHA) juga menyatakan pihak berkuasa yang bertanggungjawab untuk membanteras buli siber gagal mengambil tindakan kerana tiada peraturan ketat.
Pengarah Publisiti Befrienders, Ardy Ayadali menjelaskan buat masa ini peruntukan peraturan mahupun undang-undang khas bagi menangani isu buli siber tidak ada di Malaysia.
Sejak beberapa tahun yang lalu, masalah isu buli siber sering berlaku dan rakyat jelata yang menjadi mangsa kes itu tampil memperdebatkannya.
Namun perdebatan itu seakan tiada jalan penyelesaian sehingga pihak kerajaan memperuntukkan undang-undang khas mencegah isu buli siber dengan serta-merta.
Ujar Ardy lagi, pasaran teknologi gajet pintar digital sentiasa ditambah nilai dengan perkenalan pelbagai genre aplikasi perhubungan untuk memudahkan akses orang ramai.
Lambakan itu menyebabkan pihak berkuasa agak sukar untuk mengawal penularan insiden buli siber dan terus menghalangnya daripada menghantui kelangsungan hidup rakyat di negara ini.
Ardy turut meminta pihak kerajaan dan jabatan bertanggungjawab itu untuk merancakkan kempen kesedaran berhubung isu buli siber agar para pengguna teknologi digital mampu menyelamatkan diri daripada menjadi mangsa anasir-anasir negatif di laman media sosial.
Beliau mengesyorkan kepada pengguna laman media sosial supaya tidak mengambil informasi ataupun komen-komen berbaur negatif itu secara peribadi kerana ia mungkin boleh mengundang tekanan kepada kesihatan mental seseorang.
Sementara itu, Presiden MMHA, Prof Datuk Dr Andrew Mohanraj berkata, insiden buli siber yang kini mengancam rakyat jelata boleh mengundang masalah kesihatan mental kronik.
Jelas Andrew bahawa pengguna tegar laman media sosial kemungkinan besar mengalami gejala-gejala seperti tekanan mental, ketakutan, kesunyian, mencederakan diri sendiri, pemikiran negatif untuk membunuh diri dan sebagainya.
Andrew menegaskan mangsa buli siber harus memberanikan diri dengan melaporkan individu-individu yang mencetuskan gangguan, komen-komen tidak senonoh itu kepada pihak berkuasa supaya perbuatan negatif itu dapat dicantas sebelum mempengaruhi orang lain.Justeru Andrew menekankan kepada jabatan yang bertanggungjawab dan pihak kerajaan untuk mengambil tindakan drastik untuk membanteras isu buli siber secepat yang mungkin.
Dengan penguatkuasaan yang ketat dan pelaksanaan serta-merta undang-undang khas diperuntukkan hukuman seberatnya, isu buli siber itu dapat dicegah sebelum ia menjadi barah yang meragut nyawa pengguna laman media sosial tempatan.
*Jagatheswary Narayanan ialah penulis bebas di Johor
Klik di sini untuk terus membaca