PENGUMUMAN Bank Negara Malaysia (BNM) bahawa pertumbuhan ekonomi negara bagi suku kedua tahun ini mencapai 8.9 peratus merupakan satu sinar cahaya di sebalik nada pesimis sebahagian rakyat dan ahli politik.
Pertumbuhan ini bukanlah mendadak dan semberono. Sebaliknya ia merupakan momentum sejak suku keempat 2021 (S4:2021).
Apabila Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada Ogos 2022, negara sedang mengalami penguncupan ekonomi sebanyak 4.5 peratus berdasarkan Laporan ekonomi S3:2021 (Julai – September).
Bagaimanapun pembentangan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dan Bajet 2022 telah menyemarakkan semula ekonomi negara. Walaupun berhadapan banjir besar di seluruh negara dan kemunculan Covid-19 varian Omicron, Ismail Sabri berjaya memimpin pemulihan ekonomi negara apabila S4:2021 (Oktober-Disember) mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 3.6 peratus. Momentum ini berterusan dengan 5 peratus (S1:2022) dan terbaharu 8.9 peratus.
Menurut BNM pertumbuhan tinggi ini disebabkan oleh permintaan dalam negeri yang tinggi dan disokong oleh pemulihan pasaran pekerja yang stabil dan sokongan dasar yang berterusan.
Jika dilihat ketiga-tiga elemen yang menyokong pertumbuhan ekonomi negara, ia adalah hasil ketekalan pentadbiran kerajaan pimpinan Ismail Sabri meneruskan dasar pembukaan semua sektor ekonomi negara walaupun negara berhadapan serangan pandemik Covid-19 versi Omicron pada tahun lalu.
Malahan Ismail Sabri juga memberi jaminan tiada lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilaksanakan. Ini sekali gus memberi keyakinan kepada para pelabur, majikan dan pengusaha untuk kembali beroperasi sepenuhnya.
Kesannya, aktiviti ekonomi kembali berjalan, pendapatan rakyat kembali meningkat dan peluang pekerjaan turut bertambah. Ini membolehkan rakyat berbelanja lebih dan mewujudkan pertumbuhan ekonomi.
Permintaan tinggi ini juga bersangkut dengan kejayaan kerajaan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan mengurangkan kadar pengangguran.
Sepanjang tahun 2022 kerajaan memperuntukkan RM4.8 bilion di bawah inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia (Jamin Kerja) bagi menyediakan 600,000 peluang pekerjaan. Selain itu, sebanyak RM2 bilion diperuntukkan melalui inisiatif Insentif Penggajian Jamin Kerja dengan sasaran 300,000 orang.
Hasilnya kadar pengangguran pada bulan Jun 2022 telah menurun kepada 3.8 peratus, iaitu yang terendah sejak pandemik Covid-19 melanda negara, dengan bilangan penganggur berkurang kepada 630,600 orang. Ini jauh berbeza dengan keadaan pengangguran apabila Ismail Sabri mengambil pentadbiran - kadar pengangguran negara berada pada 4.6 peratus dengan 748,800 orang menganggur (Ogos 2021).
Berdasarkan indikator yang ditetapkan oleh Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD), Malaysia kini telah mencapai guna tenaga penuh kerana kadar pengangguran telah berada di bawah 4 peratus.
Dasar kerajaan mengawal inflasi menerusi pemberian subsidi dan bantuan kewangan hampir RM80 bilion bagi mengawal inflasi mendorong negara mencapai pertumbuhan ekonomi yang lebih baik. Pengekangan inflasi ini mendorong rakyat dan syarikat terus berbelanja.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatatkan pertumbuhan sebanyak 44 peratus, iaitu sebanyak RM132.8 bilion pada Jun 2022. Ini merupakan angka tertinggi sejak 2013.
DOSM turut mengumumkan Imbangan akaun semasa Malaysia bagi S2:2022 mencatatkan lebihan RM4.4 bilion berbanding RM3 bilion pada suku sebelumnya. Pelaburan langsung asing merekodkan aliran masuk bersih RM24.4 bilion pada S1:2022 dan RM17.3 bilion pada S2:2022.
Walaupun begitu, kita perlu berhati-hati kerana pertumbuhan ini banyak disokong oleh pemberian subsidi yang besar termasuk dalam sektor tenaga elektrik, petrol, gas, air dan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR).
Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus menyifat Malaysia tidak lagi berada dalam krisis dan mampu menyerap kesan kenaikan OPR dengan baik.
Justeru, walaupun terdapat komentar nakal, sindiran dan herdikan bahawa dasar ekonomi Ismail Sabri tiada hala tuju yang jelas, nyata momentum pertumbuhan ekonomi sejak S4:2021 lalu membuktikan sebaliknya.
* Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)
Klik di sini untuk terus membaca