ADA pihak yang sudah mentakrifkan kelewatan menyiapkan pembinaan lima buah kapal tempur pesisir atau dalam bahasa Inggeris littoral combat ship (LCS) sebagai skandal. Skandal adalah daripada bahasa Inggeris scandal yang ditakrifkan sebagai... Klik di sini untuk terus membaca

ADA pihak yang sudah mentakrifkan kelewatan menyiapkan pembinaan lima buah kapal tempur pesisir atau dalam bahasa Inggeris littoral combat ship (LCS) sebagai skandal.

Skandal adalah daripada bahasa Inggeris scandal yang ditakrifkan sebagai tindakan atau kejadian yang salah di segi moral atau undang-undang yang mencetuskan kemarahan orang ramai.

Tidak syak lagi kontrak membina lima buah kapal untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) telah bertukar daripada urusan perolehan aset awam biasa kepada perbuatan yang salah dari segi moral dan boleh jadi juga undang-undang.

Seperti diketahui, kontrak bernilai RM9.1 bilion itu diberikan kepada Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) pada Disember 2011. BNS ini adalah anak syarikat Boustead Holdings Berhad. Boustead Holdings pula adalah syarikat di bawah kawalan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Berdasarkan laporan daripada pelbagai sumber, cara kontrak itu diberikan dan dilaksanakan disyaki menjadi punca ia mahal dan sukar dilaksanakan sehingga berlaku kelewatan yang teruk.

Timbalan Presiden PKR yang baru dipilih, Rafizi Ramli, dilaporkan bertanya mengapa pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, tidak membeli kapal itu terus daripada DCNS (Direction des Constructions Navales), Perancis tetapi melalui struktur yang berlapis-lapis melibatkan BNS dan dua sub-kontraktor?

Rafizi mendakwa, pada mulanya kapal dalam Kelas Sigma dengan kepakaran Belanda telah dipilih untuk projek itu tetapi diubah kepada Kelas Gowind yang berasaskan kepada teknologi Perancis.

DCNS yang kini dikenali sebagai Naval Group adalah juga syarikat yang terlibat dengan skandal pembelian dua kapal selam Scopene yang membawa kepada pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu, pada tahun 2006.

Dalam jawapannya, Najib, antara lain, berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinannya memberikan kontrak LCS kepada BNS kerana sebarang keuntungan yang dihasilkan akan memberi manfaat kepada LTAT dan anggota tentera.

Cuma yang berlaku di belakang tabir selalunya tidak seperti yang dia ceritakan.

Ambil contoh pembelian kapal selam Scopene. Sahabat dan sekutu Najib, Abdul Razak Abdullah Baginda, mengaku secara terbuka yang dia menerima 30 juta euro (kira-kira RM137.4 juta pada kadar tukaran sekarang) komisen.

Walaupun dia terselamat daripada tali gantung dalam kes pembunuhan Altantuya, dia didakwa dalam mahkamah Perancis dengan tuduhan menerima rasuah lebih 114 juta euro (kira-kira RM523.26 juta) oleh DCNS.

Seperti yang sudah menjadi kebiasaan sejak memimpin BN dan UMNO ke arah kekalahan dalam pilihan raya umum 2018, Najib menyalahkan PH atas skandal LCS itu. Dia buat-buat lupa yang sejak kontrak itu diberikan lebih 10 tahun lalu (pada Disember 2011) BN memerintah lapan tahun daripadanya. PH hanya perintah 22 bulan.

Dia sengaja buat-buat lupa yang pada zaman dia jugalah Boustead Holdings digunakan bagi mengambil alih sebidang tanah di Bukit Raja, Selangor dengan harga RM160 juta semata-mata bagi menyelamatkan dua orang konconya yang bergaduh iaitu pemimpin Umno, Datuk Raja Ropeah Raja Abdullah, dan pedagang permaidani, Deepak Jaikishan. Deepak kemudiannya menyaman Najib dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, tetapi gagal. Najib menuduh kerajaan PH dan LTAT tidak bertimbang rasa terhadap masalah kewangan BNS, syarikat yang diberikan kontrak LCS itu.

Sekali lagi dia cuba menafikan yang di bawah pentadbirannya, prestasi LTAT sendiri tidaklah cemerlang. Penyiasatan yang dilakukan oleh firma audit Ernst & Young bagi tempoh 31 Disember 2017 hingga 31 Disember 2018, atas arahan kerajaan PH, mendapati banyak masalah urus tadbir kewangan di bawah pimpinan bekas Ketua Eksekutif, Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin.

Kesimpulannya, skandal LCS hanyalah sebahagian daripada satu siri manipulasi kontrak serta urusan kewangan kerajaan yang seolah-olah disengajakan bagi membuka peluang kepada pihak-pihak tertentu membuat keuntungan mudah dengan mengorbankan kepentingan negara.

Jadi amatlah penting kerosakan ini diperbetulkan dengan segera dan pihak-pihak yang bertanggungjawab, tidak kira daripada kerajaan mana, didedahkan dan dihukum. Sekarang rahsia pertahanan negara kita sedang dipertontonkan seperti penari bogel menanggalkan pakaian bagi menghiburkan audiens. Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Klik di sini untuk terus membaca