SASTERAWAN Indonesia di zaman penjajahan Belanda lebih 200 tahun yang lalu, Ronggowarsito dikenali kerana tulisannya yang meramal masa depan namun pujangga ini bukan sekadar menulis tentang masa depan tetapi juga menghasilkan kritikan-kritikan sosial terhadap situasi kehidupan bangsanya sendiri dan politik negaranya.
Beliau juga meramal hari kematiannya dengan tepat.
Namun, hasil karyanya yang paling masyhur berjudul ‘Zaman Edan’ (Edan dalam bahasa Jawa bermaksud gila) yang mana di dalam buku ini beliau meramalkan datangnya era kutukan zaman masyarakatnya sendiri.
Beliau menulis; ‘Hidup di zaman edan, gelap jiwa bingung fikiran. Turut edan hati tak tahan. Jika tak turut, batin merana dan penasaran, tertindas dan kelaparan. Tapi janji Tuhan sudah pasti, seuntung apa pun orang yang lupa daratan, lebih selamat orang yang menjaga kesedaran...’
Kata-katanya itu sangat kuat dan merujuk kepada keadaan masyarakatnya sendiri yang sangat korup dan bobrok. Ia diingati sehingga ke hari ini walaupun sudah lebih 200 tahun kerana apa yang ditulisnya itu sedang dan masih berlaku dalam tatacara dan kehidupan masa kini.
Cuba lihat syairnya ini;
Keadaan negara waktu sekarang (200 tahun dahulu) sudah makin merosot
Tatanegara telah rosak
Sudah tidak ada yang dapat diikuti lagi
Sudah banyak yang meninggalkan petua dan aturan lama
Orang cerdik serta cendiakawan terbawa arus kala tidha (zaman gila)
Suasananya mencengkam
Kerana dunia penuh dengan kekacauan...Zaman yang dimaksudkan Ronggowarsito ini merujuk kepada situasi masyarakatnya dan pemerintah yang menjual diri dan harga diri untuk kepentingan penjajah dan pemerintah pula telah korup sehingga sanggup menyerahkan apa sahaja demi untuk kekal sebagai pemerintah.
Maka bila Belalang cuba mengaitkan rintihan Ronggowarsito terhadap situasi zamannya dengan zaman kita sekarang ini, tiada apa yang jauh beza. Zaman Edan Ronggowarsito mungkin sedang berlaku di hadapan mata kita - rasuah berleluasa, orang yang terlibat dengan korupsi dan penyelewengan diangkat sebagai hero, masyarakat tidak berasa berdosa bergelumang dengan kesalahan dan penipuan.
Setiap hari dan masa, kita mendengar dan menyaksikan kepincangan dan kejahatan.
Anak bunuh ibu bapa, ibu bapa mendera anak, murid membuli dan menerajang rakan sebaya di asrama, manusia menjadi zalim dan tidak berperi kemanusiaan, wang rakyat diperlakukan oleh pemerintah bagaikan wang saku sendiri, pemimpin tidak memimpin sebaliknya menunjukkan teladan yang tidak baik dan entah apa lagi.
Kita merasakan hidup seperti songsang dan tidak betul sama sepertimana yang dirasai dan dialami oleh Ronggowarsito 200 tahun yang lampau. Mahu tidak mahu kita akan dapati apa yang diramalkan oleh Ronggowarsito masih tetap berlaku lagi sekarang.
Belalang merasakan ada baiknya juga jika karya beliau dijadikan bacaan wajib agar ia menjadi peringatan buat generasi akan datang.
Masyarakat yang tidak mempelajari sejarah akan mengulangi kesilapan yang sama, berulang-ulang kali.
Sejarah lampau yang silap akan menghukum masyarakat yang gagal mempelajari sesuatu daripadanya.
Belalang - Terkesan dengan syair-syair Ronggowarsito
Klik di sini untuk terus membaca