SHAH ALAM - Pas perlu menyatakan secara terbuka mengenai pendirian parti itu terhadap Muafakat Nasional (MN) jika mahu mempertahankan kerusi panas yang berisiko besar jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pas perlu menyatakan secara terbuka mengenai pendirian parti itu terhadap Muafakat Nasional (MN) jika mahu mempertahankan kerusi panas yang berisiko besar jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, secara peribadi beliau berpendapat, UMNO sentiasa konsisten berpegang kepada konsep penyatuan ummah sejak awal penubuhan MN.

Beliau berkata, parti yang lari daripada perjuangan asal MN ialah Pas sendiri apabila mengikat kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan membentuk Perikatan Nasional (PN).

"Saya ingin lontarkan persoalan kepada pemimpin Pas, kalau mereka inginkan kerjasama dalam MN, mereka harus jelas nyatakan pendirian secara terbuka, bukan secara berselindung.

"Kita (UMNO) tidak mahu parti yang tidak tetap pendirian. Sekejap kata sokong UMNO, sekejap sokong Bersatu. Jika begini keadaannya, dalam pilihan raya nanti Pas akan menyokong siapa sekiranya ada pertembungan antara UMNO dan Bersatu? Dalam pilihan raya kita tidak boleh ambil pendekatan duduk di tengah-tengah.

"Jadi, bagi saya, Pas perlu menyatakan pendirian. Walaupun UMNO telah menetapkan untuk bergerak solo dalam PRU15, tetapi kita tidak menutup pintu kerjasama dengan mana-mana parti, dengan syarat Pas perlu menyatakan pendirian secara terbuka,” katanya kepada Sinar Ahad.

Sementara itu, seorang lagi Ahli MKT UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, kesahihan pendirian Pas terhadap kerjasama MN akan menentukan hala tuju selepas ini.

Mohd Razlan

Apa yang jelas katanya, UMNO menolak sebarang bentuk kerjasama dengan Bersatu.

"Secara rasmi kita memang tidak ada apa-apa keputusan berkenaan MN ini, cuma kita mengambil keputusan bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor. Ini disebabkan Pas mahu bawa Bersatu.

"Kita tidak boleh terima kerana kita tahu Bersatu adalah punca perpecahan dalam kalangan orang Melayu,” jelasnya.

Menurut Mohd Razlan, kesungguhan Pas untuk terus mempertahankan Bersatu juga menimbulkan tanda tanya.

"Pada pandangan saya, Pas boleh sahaja bertanding solo. Tidak perlu Bersatu pun sebab sudah ternyata Bersatu tidak membantu.

"Saya pun tidak faham apa jasa Bersatu dengan Pas ini padahal kita sama-sama kalah dan berusaha untuk meningkatkan imej dan memperkukuhkan penyatuan Melayu, Bersatu tidak ada jasa pun,” ujarnya.

Bincang pada masa sesuai

SHAH ALAM - Perbincangan mengenai kerjasama Pas dan UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN) untuk mempertahankan kerusi yang berisiko jatuh ke tangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dijangka diadakan pada masa sesuai.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, buat masa ini Pas sedang memberi tumpuan terlebih dahulu kepada memperkukuhkan jentera parti di semua peringkat.

Tuan Ibrahim

"Perkara ini belum dibincangkan lagi dan saya yakin ia akan dilakukan apabila sampai masa nanti.

"Pas kini sedang memperkukuhkan parti melalui mesyuarat agung yang sedang berjalan lancar. Tumpuan kita ialah memperkasakan seluruh jentera di semua peringkat,” katanya kepada Sinar Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas, Dr Mohd Zuhdi Marsuki bahawa terdapat 27 kerusi panas berisiko jatuh kepada Pakatan Harapan (PH) jika kedua-dua parti itu bertembung dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Sehubungan itu, Mohd Zuhdi menyarankan kedua-dua parti mencari jalan penyelesaian dengan mewujudkan ‘kerusi MN’ sempena semangat penyatuan ummah yang dicetuskan parti terbesar orang Melayu tersebut.

Sementara itu, Ketua Muslimat Pas, Nuridah Mohd Salleh berkata, pimpinan tertinggi parti akan sentiasa bersedia untuk lakukan tindakan bagi memastikan kepentingan Islam terjaga.

"Berdasarkan penelitian kita, pimpinan tertinggi Pas sentiasa bersedia dan terbuka untuk melakukan apa-apa usaha demi kepentingan dan kebaikan agama, bangsa dan negara khususnya,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari ketika dihubungi bagiamanapun enggan mengulas mengenai perkara tersebut.

"Maaf banyak ya, saya tiada komen dalam isu ini,” jawabnya ringkas menerusi hantaran di WhatsApp.

Klik di sini untuk terus membaca