SHAH ALAM - Sindiket penyeludupan minyak masak bersubsidi dikesan aktif melakukan kegiatan secara barter trade dengan rokok dari Filipina. Mendedahkan perkara itu, Pengarah Maritim Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Sindiket penyeludupan minyak masak bersubsidi dikesan aktif melakukan kegiatan secara barter trade dengan rokok dari Filipina.

Mendedahkan perkara itu, Pengarah Maritim Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, sindiket penyeludupan itu dikesan menggunakan bot jongkong serta bot kecil dan aktif pada waktu malam hingga awal pagi mengikut air pasang surut.

Menurutnya, minyak masak bersubsidi itu ditukar secara barter trade dengan rokok dari negara berkenaan, sementara minyak masak Malaysia pula akan dijual dengan harga yang lebih tinggi di Filipina.

"Penyeludup didapati membeli minyak dengan kuantiti kecil dan akan menyimpannya di satu lokasi terlebih dahulu sebelum diserahkan kepada penyeludup dari negara berkenaan.

"Bot-bot yang terlibat dengan kegiatan penyeludupan ini kemudian membawa barang-barang kawalan ini keluar dari jeti yang tidak didaftarkan oleh Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS).

"Sindiket juga mengupah tonto atau warga tempatan yang menggunakan bot-bot kecil bagi menyampaikan maklumat pergerakan bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia),” katanya eksklusif kepada Sinar Ahad.

Mohd Rosli berkata, pihaknya tidak menafikan terdapat jaringan luar dan tempatan membabitkan sindiket penyeludupan rokok dari negara jiran serta jaringan penyeludup minyak bersubsidi tempatan.

Mohd Rosli

Hasil siasatan mendapati, pekerja yang digajikan oleh penyeludup adalah mereka yang boleh berbahasa dan bertutur dalam bahasa Filipina bagi memudahkan urus niaga.

Dedah beliau lagi, kegiatan penyeludupan turut melibatkan beberapa individu daripada pemborong minyak masak bersubsidi di gudang, kilang, pemilik lori dan bot jongkong.

"Masing-masing mempunyai keuntungan hasil daripada penjualan minyak masak bersubsidi yang diseludup ke luar negara.

"Kita juga dapati, ada penyeludupan yang dibuat secara individu yang menggunakan alasan menghantar stok untuk kegunaan penduduk Malaysia di pulau. Sijil atau lesen yang digunakan tidak menyatakan had kekerapan barangan kawalan bergerak masuk ke pulau.

"Ada juga kes yang dilakukan oleh individu warganegara yang mempunyai hubungan keluarga dengan penduduk di negara jiran,” ujarnya.

Tambah beliau, penyeludupan minyak masak bersubsidi ini adalah satu rangkaian jenayah terancang dan Maritim Malaysia akan melaksanakan operasi terancang dari segi risikan dan penglibatan dari pasukan bot di laut serta pasukan serbuan di darat bagi memastikan tangkapan dapat dilakukan.

Pihaknya percaya faktor penawaran dan permintaan tinggi selain pergerakan rentas sempadan menyumbang kegiatan penyeludupan ini.

"Selain kurangnya saluran maklumat awam, ada juga kawasan yang mempunyai terlalu banyak jeti-jeti persendirian dan jeti tidak diwartakan hingga menyukarkan kawalan dan pemantauan dilakukan.

Mengulas mengenai tindakan tangkapan dan rampasan, Mohd Rosli berkata, dalam tempoh tahun ini sehingga Julai, 11 kes direkodkan dengan rampasan minyak masak bersubsidi seberat 13,321 kilogram bernilai RM38,807.50.

Jelasnya, seramai 12 individu berusia 20 hingga 55 tahun telah diberkas terdiri daripada enam warga tempatan serta enam warga Filipina.

Katanya lagi, dalam usaha mengekang kegiatan itu, Maritim Malaysia akan terus melakukan risikan serta bekerjasama dengan agensi lain seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

"Maritim juga akan mengkoordinasi dengan pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) selain pertingkat rondaan dan pemeriksaan ke atas bot-bot yang berada di lokasi hotspot,” katanya.

Tegas Mohd Rosli, aktiviti penyeludupan minyak masak bersubsidi ini adalah satu jenayah yang telah mengambil hasil negara dan juga hak rakyat Malaysia serta memberi keuntungan kepada individu semata-mata.

"Ini kerana subsidi yang dibayar oleh kerajaan adalah untuk membantu rakyat Malaysia dalam menjalani kehidupan seharian dan bantuan kos sara hidup kepada rakyat. Justeru, mereka yang terlibat dengan jenayah ini boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Kastam 1967,” ujarnya.


- Statistik Tahun 2022 (Januari - Julai)


Jumlah kes : 11 Kes

- Pecahan kes ikut Zon Maritim:

Zon Maritim Lahad Datu - 1 kes

Zon Maritim Semporna - 5 kes

Zon Maritim Tawau - 3 kes

Zon Maritim Kudat - 1 kes

Zon Maritim Sandakan - 1 kes


- Nilai rampasan/berat: RM38,807.50 / 13,321kg


- Pecahan nilai rampasan ikut Zon Maritim:

Zon Maritim Lahad Datu - RM10,200/4,080kg

Zon Maritim Semporna - RM8,997.50/3,599kg

Zon Maritim Tawau - RM18,040 / 5,014kg

Zon Maritim Kudat - RM807.50/323kg

Zon Maritim Sandakan - RM762.50 /305kg


- Jumlah tangkapan mengikut Zon Maritim:


- Zon Maritim Lahad Datu

Jumlah Tangkapan: 5 orang

(1 Malaysia, 4 Filipina)

- Zon Maritim Tawau

Jumlah Tangkapan: 5 orang (Malaysia)

- Zon Maritim Kudat

Jumlah Tangkapan: 2 orang (Filipina)

Klik di sini untuk terus membaca