MENYEDARI hakikat bahawa komuniti atau penduduk di kawasan ‘jajahannya’ sebagai pemegang taruh terbesar, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Mohamad Azhan Md Amir mengambil pendekatan dengan mengamalkan dasar pintu terbuka.
Menjelaskan rasionalnya mengambil langkah membuka pintu pejabatnya setiap masa, Mohamad Azhan berkata, ini bagi membuktikan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang dipimpinnya sentiasa terbuka untuk mendengar keluhan penduduk di bandar raya itu.
Selain amalan mengalu-alukan kedatangan penduduk yang ingin mengadu dan memberikan pandangan, beliau dalam masa sama turut berkongsi pelbagai aspirasi dan usaha yang ingin dilakukan MBPJ dalam menyejahterakan komuniti di bandar raya yang pesat membangun itu.
Ikuti wawancara eksklusif bersama Mohamad Azhan yang dikendalikan wartawan, NURUL HUDA HUSAIN dan NORAFIZA JAAFAR di Ibu Pejabat MBPJ baru-baru ini.
SINAR HARIAN: Bagaimana Datuk melihat kejayaan pelaksanaan 34 program yang berlangsung pada sambutan tersebut?
MOHAMAD AZHAN: Semasa sambutan ulang tahun ke-16 MBP Jun lalu, 34 program yang diadakan berkisar kepada bagaimana kita membawa bersama ‘pemain-pemain’ yang ada ada di Petaling Jaya (PJ) ini terutama komuniti, masyarakat sendiri yang merupakan pemegang taruh utama MBPJ.
Dalam masa sama kita bawa pemaju-pemaju di PJ yang setia bersama-sama membangunkan bandar raya ini. Selain itu, kita bawa juga pelbagai agensi kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri yang membantu kami dalam membentuk pembangunan kepada PJ.
Alhamdulillah, kita berjaya melaksanakan program dengan baik hasil maklum balas yang diterima. Komuniti juga ada bersama kita semasa majlis perasmian sambutan ini di mana ada satu perarakan besar yang kita tunjukkan segala pencapaian di PJ dan juga apa yang kita hendak capai dalam masa lima ke 10 tahun akan datang. Berdasarkan petunjuk-petunjuk yang ada inilah kita berasakan bahawa program sambutan ulang tahun ke-16 berjaya mencapai objektifnya.
Kejayaan sambutan ulang tahun ke-16 adalah pada upacara perasmian hari bandar raya tersebut. MBPJ diiktiraf sebagai calon Child Friendly City atau Bandaraya Mesra Kanak-Kanak yang diiktiraf oleh Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) di mana wakil pertubuhan itu datang dan menyerahkan surat bahawa MBPJ adalah bandar raya pertama di Malaysia yang mendapat pengiktirafan sebagai calon tersebut. Jadi, ini adalah satu kejayaan penduduk PJ.
Mengenai tema sambutan kali ini iaitu Merangsang Ekonomi Mensejahterakan Komuniti, boleh Datuk jelaskan hasrat sebenar MBPJ di sebalik tema ini?
Tema yang telah kita persetujui adalah Merangsang Ekonomi Mensejahterakan Komuniti. Kita faham ketika ini, kita melepasi zaman Covid-19 selama dua tahun kita diasak pandemik ini sehingga menjejaskan kehidupan, melumpuhkan segala aktiviti ekonomi, sosial dan sebagainya kepada penduduk. Bukan sahaja di PJ, Selangor atau Malaysia tetapi seluruh dunia terjejas. Jadi bila mana kita telah memasuki zaman endemik, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah ditarik balik, jadi rakyat boleh bekerja balik tetapi akibat terkesan daripada pandemik ini, maka kita berasakan perlu ada bantuan.
Macam mana kita hendak bantu rakyat terutama di PJ untuk membina semula ekonomi mereka. Sebab itu kita ambil tema tersebut melalui aktiviti yang kita jalankan melibatkan usahawan, komuniti, pemaju dan sebagainya.
Kita cuba rangsang balik ekonomi mereka dengan menyediakan pelbagai platform dan ruang. Kalau peniaga dan sebagainya, kita beri ruang dan tapak untuk mereka berniaga. Kepada penjaja kecil, kita beri mereka lesen sementara untuk memulakan semula perniagaan dan pemaju pula kita memudahkan proses untuk mereka melaksanakan pelbagai projek.
Tugas PBT adalah untuk menyediakan pelbagai infrastruktur. Jadi, sebab itu kita berhasrat membantu menyejahterakan kehidupan komuniti melalui segala kemudahan dan infrastruktur, kita akan tambah baik.
Kalau mungkin sebelum ini hujan, banjir dan sebagainya menyebabkan tanah runtuh, jalan berlubang dan sebagainya. Jadi, PBT harus ke depan, cepat memberikan maklum balas kepada masalah yang berbangkit dan betulkan balik supaya rakyat tidak akan terkesan dengan pelbagai masalah dan sebagainya.
Banyak lagi aktiviti yang dilakukan untuk membantu rakyat antaranya pemberian geran. Kita bantu mereka yang hendak buat kebun komuniti. Bagi program lain, kita sediakan peruntukan untuk mereka memulakan pelbagai aktiviti. Jadi sebab itu kita merangsang ekonomi, kukuhkan balik untuk menyejahterakan komuniti.
MBPJ telah membawa kelainan dalam sambutan tersebut melalui perarakan yang mempamerkan perancangan lima hingga 10 tahun akan datang. Apakah antara perancangan-perancangan utama itu?
Sebenarnya satu yang menarik dalam sambutan ulang tahun ke-16 kali ini adalah perarakan sebab kita tidak pernah lagi buat sambutan ulang tahun dalam bentuk perarakan di mana dalam perarakan ini kita tunjukkan kepada komuniti PJ dan orang lain apa yang ada di sini dan apa yang telah kita lakukan kepada mereka serta perancangan masa akan datang.
Sebenarnya di PJ kita ada PJSSR-2030 ‘Petaling Jaya Pintar, Mampan dan Berdaya Tahan’ iaitu satu pelan bagaimana kita hendak capai dalam PJ pada tahun 2030 nanti. Kita ada 10 tema. Kita hendak wujudkan PJ sebagai sebuah bandar yang selamat dan berdaya tahan. Kita juga hendak jadikan PJ sebuah cergas ekonomi, bandar rendah karbon, bandar ekonomi bulat, bandar e-tadbir urus, bandar pembelajaran, bandar inklusif, bandar mesra kanak-kanak, bandar masyarakat 5.0 dan bandar pintar.
Jadi, 10 tema yang saya sebut ini terkandung dalam PJSSR-2030 dan ini yang kita tunjuk kepada penduduk PJ. Biar mereka faham dan tahu bahawa ini hasrat, cita-cita dan aspirasi kita di sini. Jadi, bila kita sudah faham dan tahu, ia akan memudahkan kita untuk bersama-sama komuniti, pemaju, agensi kerajaan negeri dan persekutuan untuk mencapai apa yang kita hasratkan.
Kelainan yang saya maksudkan tadi adalah dari segi persembahan, bagaimana kita tunjuk kepada komuniti dan lain-lain seperti pameran. Saya ingat tempat lain pun ada. Sambutan yang diterima pada waktu itu pun juga sangat baik. Itulah antara kelainan yang ada di PJ semasa kita menyambut ulang tahun ke-16.
Menyentuh mengenai banjir, adakah MBPJ juga berada dalam kawasan berisiko untuk berhadapan dengan bencana alam ini?
Di PJ kita mempunyai keluasan sekitar 92 hingga 93 kilometer persegi. Kawasan tidaklah terlalu besar, tetapi dari segi kepadatan penduduk ya, PJ mempunyai kepadatan penduduk yang sangat tinggi dan dari segi risiko PJ untuk mengalami banjir itu memang ada, cuma kalau hendak dibandingkan dengan banjir baru-baru ini yang berlaku di Shah Alam atau PBT lain contohnya Subang Jaya atau berhampiran, kesan itu adalah kurang berbanding dengan Shah Alam tetapi saya tidak nafikan ada di kawasan PJ seperti kawasan Petaling Jaya Selatan (PJS), Taman Medan dan sebagainya di situ berlaku banjir dan sebenarnya punca banjir tersebut kita tidak boleh nafikan. Sebenarnya jumlah air yang turun kalau kita lihat waktu itu banjir pada 18 Disember tahun lalu membawa jumlah kuantiti air hujan yang cukup banyak.
Kawasan-kawasan yang kita sebutkan tadi sebenarnya juga berhampiran dengan Sungai Klang, jadi kita tahu air sungainya dari arah Kuala Lumpur dan dikatakan bahawa paras air sungai waktu itu adalah lebih tinggi daripada kawasan kita.
Kita di pihak MBSJ memberi respons kepada penduduk dengan membantu memindahkan mangsa yang terjejas, kemudian kita membantu dari segi membersihkan kawasan rumah mereka yang dilanda banjir dan kita adakan perbincangan dengan penduduk. Kita tengok selain daripada punca yang dikatakan jumlah taburan hujan yang luar biasa atau aras air yang terlalu tinggi, kita tengok juga sama ada masalah itu berpunca daripada kita.
Kita tengok sama ada longkang tersumbat dan sebagainya dan kita bersihkan. Insya-ALLAH bagi menghadapi musim hujan yang dijangka pada November dan Disember ini, kita telah pun membuat kerja-kerja pembersihan dan sentiasa melakukan libat urus dengan penduduk di kawasan yang berisiko banjir. Tapi kita kena faham, apa pun kita sebagai manusia perlu berusaha sebaik mungkin, selebihnya kita minta ALLAH SWT bantu kita. Tapi dari segi persediaan, Insya-ALLAH kita hampir bersedia untuk menghadapinya.
Bagaimana perancangan-perancangan tersebut akan memberi impak kepada prestasi semasa MBPJ dan apa manfaat bakal diterima oleh komuniti?
Setiap satu daripada tema itu memang ada kebaikannya. Contoh mengenai Child Friendly City di mana kita menuju sebuah bandar raya sihat, prihatin kepada kanak-kanak. Kita mahu kanak-kanak di sini dilibatkan bersama-sama untuk menguruskan PJ. Kita ambil suara mereka, sebenarnya penglibatan atau peranan kanak-kanak di PJ telah pun dibuat. Sebab itu pada tahun ini seperti yang saya maklumkan tadi, UNICEF telah pun mengiktiraf PJ sebagai calon Bandar Mesra Kanak-Kanak. Jadi manfaatnya kepada kanak-kanak, tempat lain saya rasa tidak buat. Ini kerana kita menghargai kanak-kanak kerana mereka merupakan pewaris kepada negara pada masa akan datang.
Menyentuh mengenai usaha untuk merangsang ekonomi pula, apa yang kita lakukan untuk menarik orang luar supaya datang ke sini, kita ambil pendekatan memudahkan proses supaya mereka berasa senang atau mudah untuk melabur di sini. Dalam masa sama usahawan tempatan, kita akan buat pelbagai projek, kita beri galakan kepada mereka, beri ruang dan platform untuk mereka berniaga dalam keadaan terbaik.
Jadi, itu semua akan memberikan pulangan baik kepada penduduk PJ sendiri. Begitu juga dengan hasrat kita menjadikan PJ sebagai bandar raya berdaya tahan, yang boleh mendepani apa sahaja permasalahan pada masa akan datang. Kita faham dunia kita akan berdepan dengan banyak lagi cabaran pada masa akan datang, pemanasan global dan sebagainya. Jadi, kita sudah bersedia, kita hendak pastikan masyarakat sedia mendepani segala ancaman pada masa akan datang.
Datuk dilantik sebagai Datuk Bandar PJ sejak 21 Oktober tahun lepas. Selain petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan jabatan, adakah Datuk meletakkan sebarang sasaran atau pencapaian diri dalam melaksanakan tugas ini?
Sebagai Datuk Bandar, saya faham tugas berat menanti saya, apatah lagi PJ merupakan sebuah bandar raya yang matang dan telah wujud sejak 50-an lagi. Bila mana Kuala Lumpur mengalami perkembangan pesat dan tidak dapat menampung jumlah penduduk yang begitu tinggi, jadi diwujudkan satu penempatan baharu yang dinamakan sebagai PJ daripada sebuah kebun getah ditukarkan menjadi kawasan penempatan, perindustrian dan akhirnya menjadi bandar raya.
Jadi, tugas sebagai Datuk Bandar ini diakui berat untuk menghadapi pelbagai isu berkaitan komuniti, pemaju dan sebagainya. Tetapi apa pun berbalik kepada konsep asas sebuah PBT itu yang berusaha untuk mentadbir satu kawasan untuk menyediakan pelbagai infrastruktur untuk kemudahan rakyat menjalani kehidupan dan dalam konteks saya sendiri, saya lebih hendak berusaha bagaimana hendak menyejahterakan rakyat PJ.
Jadi, perkataan sejahtera itu sendiri satu perkataan besar sebenarnya. Itu yang saya cuba usahakan bagaimana saya boleh menyumbang kepada PJ sebagai orang baharu untuk bersama-sama dengan warga kerja MBPJ di mana kita sama-sama bekerja untuk memenuhi kehendak komuniti agar mereka dapat hidup dengan perasaan tenang, tenteram, selamat dan sebagainya. Sekiranya ada aduan kita segerakan bertindak. Benda sebeginilah yang saya mahukan, maksudnya kita kena respons segera kepada penduduk. Bila kita respons, kita dapat selesaikan segera masalah yang dihadapi penduduk.
Sebenarnya penduduk PJ beruntung sebab sebagai bandar raya yang sudah matang, cuma saya sebagai Datuk Bandar keenam perlu meneruskan aktiviti dan program serta menampilkan aktiviti baharu. Kita turun ke bawah, kita dengar suara rakyat.
Setiap petang Rabu saya akan turun (bertemu rakyat), saya hendak dengar, saya hendak jalan dan tengok sendiri apa yang berlaku di PJ supaya saya dapat maklumat yang jelas apa yang berlaku di sesebuah tempat. Itu cara saya dan penduduk pun rasa gembira apabila Datuk Bandar sendiri datang berjumpa dengan mereka. Saya juga katakan kepada komuniti PJ bahawa kita akan sentiasa mendengar. Pelbagai aduan kita akan cuba selesaikan secepat mungkin dan saya juga dari segi pendekatan yang saya gunakan adalah pintu pejabat saya sentiasa dibuka.
Ada yang bertanya kenapa saya buka pintu pejabat? Saya katakan bahawa saya alu-alukan orang datang, bukan setakat alu-alukan kedatangan mereka tetapi saya juga bersedia mendengar pandangan dan pendapat orang ramai. Sebab itu saya amalkan dasar pintu terbuka. Kalau saya tutup orang akan berpandangan saya tidak mahu berjumpa dengan orang. Jadi saya buka pintu seluas-luasnya.
Sebagai pemimpin yang baik, salah satu cirinya kita kena dengar keluhan rakyat. Satu perkara lagi saya hendak tengok dari segi kekuatan kakitangan MBPJ itu sendiri. Saya hendak tingkatkan integriti. Integriti perlu ada dalam diri setiap warga PJ. Orang akan percaya kepada kita apabila kita ada integriti. Bila orang percaya, kita akan mudah buat kerja tetapi kalau kita tidak ada integriti sehingga menghakis kepercayaan orang terhadap kita, kita akan berada dalam keadaan yang amat sukar untuk melaksanakan apa sahaja jua perkara. Jadi, aspek integriti antara perkara yang saya cuba perkukuhkan dalam kalangan warga MBPJ.
Datuk mempunyai pengalaman berkhidmat selama 27 tahun dalam pentadbiran di pelbagai kementerian termasuk bertugas sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan Bencana) Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma). Bagaimana pengalaman itu dapat bantu dalam pentadbiran MBPJ?
Tiada sesiapa yang paksa kita jadi penjawat awam, sebaliknya keinginan itu datang daripada diri kita sendiri yang mahu memberikan perkhidmatan kepada kerajaan dan orang awam. Bermakna, apabila kita masuk sebagai penjawat awam, jiwa dan raga diserahkan jadi kena fikir bagaimana membantu menyejahterakan rakyat.
Berdasarkan apa yang telah saya lalui sepanjang 27 tahun bermula di Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kemudian berkhidmat di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan akhir sekali di Nadma, setiap penempatan ada pengalaman yang boleh membantu saya untuk melaksanakan tugas di MBPJ.
Saya sebenarnya pertama kali bertugas di PBT, namun ada pengalaman di kementerian yang boleh digunakan antaranya bagaimana cara untuk kita berhubung dengan manusia. Pada saya, bertugas di mana-mana pun perlu kembali kepada asas iaitu bagaimana untuk menguruskan manusia, itu yang penting. Semua berkaitan dengan manusia. Begitu juga di peringkat PBT, berhubung dengan manusia, bagaimana uruskan kehendak penduduk.
Kita perlu ada sikap mendengar untuk beri kepercayaan kepada orang, kemudian kena bertindak mengikut keperluan, kena tunjuk prihatin kita supaya mereka rasa ada pihak prihatin dengan keperluan mereka. Itu sebab kita kena sebarkan kasih sayang, dengan cara itu mudahkan kita memikat hati penduduk Petaling Jaya.
Bajet 2022 MBPJ turut memberikan penekanan terhadap program berimpak tinggi kepada penduduk. Boleh kongsi perkembangan pelaksanaan program yang telah dijalankan serta sedang dalam perancangan?
Negara telah melepasi pasca pandemik Covid-19 di mana rakyat mula bangkit semula. Perkara pertama yang mahu MBPJ tumpukan adalah dari segi ekonomi. Tema sambutan ulang tahun ke-16 MBPJ iaitu Merangsang Ekonomi Mensejahtera Komuniti akan digunakan juga untuk Bajet 2023 nanti.
Ini bermakna kita mahu fokus persekitaran ekonomi yang baik kepada warga PJ. Antaranya membangunkan usahawan dengan menyediakan ruang dan platform selain memudahkan mereka mendapatkan lesen. Jika ada pihak luar sama ada pelabur atau pemaju yang ingin datang memajukan Petaling Jaya, kita bantu mudahkan urusan mereka.
Difahamkan MBPJ akan bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) bagi program Bandar Sahabat. Boleh Datuk kongsikan berkenaan perkara itu?
Biasanya PBT akan mengadakan satu ikatan persahabatan atau bandar raya kembar di luar negara. PJ juga ada bandar raya kembar di Jepun, Korea, China dan Indonesia, Alhamdulillah semuanya berjalan dengan baik. Namun, MBPJ merasakan manfaat program itu seharusnya turut dinikmati oleh PBT-PBT dalam negara. Sebab itu, kita merasakan perlu digerakkan program bandar raya kembar sesama komuniti tempatan.
Dalam konteks ini, MBPJ memulakan langkah sebagai perintis kepada program ini. MBKT telah menyatakan persetujuan untuk bersama-sama dengan MBPJ untuk mewujudkan program dipanggil friendship city ini. Orang yang baik adalah orang yang dapat memberi manfaat kepada orang lain. Jadi kita ambil semangat yang Rasulullah SAW sebut ini, kita praktikkan dalam amalan pengurusan kita.
Apakah harapan Datuk buat kakitangan dan penduduk dalam memastikan MBPJ menyediakan perkhidmatan terbaik kepada komuniti?
Kejayaan sesebuah bandar raya untuk diuruskan dengan baik tidak hanya bergantung kepada satu pihak sahaja tetapi memerlukan kerjasama erat daripada semua terutama daripada komuniti itu sendiri. Kita mahu rakyat faham bahawa tugas mentadbir MBPJ adalah tugas bersama.
Contohnya melalui aspek kebersihan jangan buang sampah merata-rata dan jangan biarkan barang yang tak digunakan diletakkan di belakang rumah sehingga mendatangkan kekotoran dan tempat pembiakan nyamuk, serangga, tikus yang membawa kepada pelbagai jenis penyakit.
Permintaan MBPJ supaya masyarakat cuba faham dan amalkan kebersihan serta ikut peraturan. Jika mahu tambah binaan kita tak halang tapi kena mohon supaya ikut spesifikasi bagi mengelak berlaku kemalangan.
Saya merayu kepada semua, MBPJ akan laksanakan tanggungjawab sebagai PBT, pada masa sama kita harap komuniti laksanakan tugas menjadi komuniti yang baik, sihat dan cemerlang untuk kesejahteraan mereka. Pemaju juga perlu ambil peranan, rancang projek dengan baik, semasa pelaksanaan patuhi prosedur ditetapkan. Jika dapat gembleng semua, kita dapat jamin kehidupan lebih sejahtera dan lebih berkualiti.
Klik di sini untuk terus membaca