SHAH ALAM - Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marsuki menegaskan keperluan ruang persefahaman Muafakat Nasional (MN) harus diwujudkan secara tidak rasmi bagi mengingatkan pemimpin politik Melayu bahawa Pakatan Harapan (PH) berupaya... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marsuki menegaskan keperluan ruang persefahaman Muafakat Nasional (MN) harus diwujudkan secara tidak rasmi bagi mengingatkan pemimpin politik Melayu bahawa Pakatan Harapan (PH) berupaya memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekiranya parti-parti Melayu terus berpecah.

Ini kerana kata Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan Pas itu, 27 kerusi Parlimen sangat berisiko untuk jatuh ke tangan (PH) sekiranya UMNO dan Pas bertembung pada PRU15.

Bagaimanapun, Setiausaha Politik Menteri Alam Sekitar dan Air itu enggan mendedahkan senarai keseluruhan 27 kerusi Parlimen itu atas alasan ia merupakan strategi parti.

"Kita tidak boleh hendak dedahkan senarai 27 kerusi perlu dirunding Pas-UMNO menerusi persefahaman MN. Ia merupakan strategi pilihan raya parti yang hanya boleh dikongsi secara dalaman sahaja.

"Namun kalau diadakan kajian secara ilmiah, perkara didedahkan saya itu sebenarnya sudah menjadi pengetahuan umum. Pendek kata, jika pecah undi kaum Melayu, terutama membabitkan undi Pas dan UMNO, sudah jadi rahsia umum yang akan menang PRU15 adalah PH kerana undi masyarakat bukan Melayu kepada mereka adalah kukuh," tegas beliau sewaktu dihubungi Sinar Premium pada Sabtu.

Mohd Zuhdi berkata demikian sewaktu diminta mengulas cadangan beliau sendiri pada Jumaat yang mengunjurkan sejumlah 27 kerusi Parlimen di kawasan semenanjung yang sangat berisiko untuk jatuh ke tangan PH sekiranya UMNO dan Pas bertembung pada PRU15.

Jelas beliau, pada PRU14, 20 daripada 27 kerusi ini terlepas ke tangan PH sehingga PH menguasai kerajaan selepas pilihan raya manakala tujuh daripada 27 kerusi itu sangat berisiko untuk jatuh ke tangan PH kali ini disebabkan PH kalah tersangat tipis di dalam PRU lalu.

Berikutan itu, Mohd Zuhdi mencadangkan di 27 kerusi Parlimen berkenaan yang dipanggil 'kerusi MN', UMNO dan Pas perlu kembali ke meja perundingan untuk memastikan kedua-dua parti tidak bertembung satu sama lain.

Cadangan beliau dibuat di tengah-tengah keributan hubungan Pas-UMNO melalui MN yang disifatkan ramai pihak pada saat ini sebagai nyawa-nyawa ikan, lantaran keputusan Pas untuk menyertai koalisi Perikatan Nasional (PN) bersama musuh ketat UMNO iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) secara rasmi.

Meskipun hayat MN kini ibarat nyawa-nyawa ikan, beberapa pemerhati politik bersetuju dengan pandangan Dr Zuhdi bahawa satu persefahaman MN perlu dibentuk bagi mengelakkan PH memenangi PRU15.

Sinar Premium pada Ahad mengenalpasti bukan 27 tetapi 31 kerusi Parlimen yang menjadi idaman parti-parti politik di negara ini menjelang PRU-15.

Berdasarkan data undi PRU14 yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebuah badan penyelidikan politik tempatan, O2 Research Malaysia melalui satu analisis pada tahun lalu mengunjurkan sekurang-kurangnya 27 kerusi Parlimen milik blok pembangkang berpotensi dimenangi UMNO-Pas pada PRU15 sekiranya koalisi MN berjaya direalisasikan secara tidak rasmi.

Analisis susulan Sinar Premium menerusi data SPR turut mendapati sejumlah empat kerusi Parlimen tambahan yang kini dimiliki Bersatu dan PN iaitu Tambun, Sungai Besar, Titiwangsa dan Indera Mahkota berisiko besar dirampas PH sekiranya tiada usaha perundingan dicapai di antara MN mahupun Perikatan Nasional (PN)-Barisan Nasional (BN).

Penyelidik Kanan O2 Research Malaysia, Anis Anwar Suhaimi berkata, jangkaan itu dibuat berdasarkan kaedah campuran undi asas UMNO dan Pas pada PRU14 di mana kesemua 27 kerusi ‘panas’ itu terdiri daripada kerusi bersifat marginal dan majoriti pengundi Melayu melebihi 51 hingga 65 peratus.

Antara kerusi Parlimen berkenaan ialah Jerlun, Kubang Pasu, Pokok Sena, Kuala Kedah, Merbok, Sungai Petani, Padang Serai dan Kulim Bandar Baharu, Alor Setar (Kedah); Parit Buntar, Lumut dan Tanjung Malim (Perak) dan Hulu Selangor, Kuala Selangor, Kapar dan Kuala Langat (Selangor).

Selain itu, kerusi berpotensi lain dimenangi gabungan MN ialah di Raub, Kuantan, Temerloh dan Bentong (Pahang); Sri Gading, Simpang Renggam (Johor); Wangsa Maju (Kuala Lumpur); Kangar (Perlis); Putatan (Sabah); Tangga Batu (Melaka) dan Tampin (Negeri Sembilan).

Mohd Zuhdi menambah, sejumlah 27 kerusi MN yang dikenal pasti beliau itu sebenarnya merupakan kerusi bersifat marginal (campuran) dan bukan terdiri daripada kerusi lingkaran majoriti pengundi Melayu melebihi 70 peratus.

Ujarnya, kerusi-kerusi MN itu juga kebanyakannya terletak di kawasan Pantai Barat Semenanjung Malaysia di mana amat berisiko untuk jatuh ke tangan PH, disebabkan undi kaum Melayu dijangka berpecah kepada empat blok selain undi kaum bukan Melayu diunjurkan kekal dikuasai koalisi pembangkang.

"Dengan jumlah keseluruhan 156 kerusi Parlimen di semenanjung Malaysia, 117 daripadanya adalah merangkumi kerusi majoriti mengundi Melayu melebihi 70 peratus.

Muafakat Nasional memasuki usia tiga tahun pada Sabtu.

"Untuk sejumlah kerusi Parlimen majoriti pengundi Melayu melebihi 70 peratus, saya menjangkakan ia sukar untuk terlepas ke tangan PH, sekali pun pertembungan antara UMNO-Pas memang tidak dapat dielakkan.

"Saya juga yakin sekiranya kita mengambil kira asas kedudukan kerusi Bersatu yang menang atas nama PH (berjumlah 13 kerusi) pada PRU14, maka jumlah kerusi kritikal dibimbangi jatuh ke tangan koalisi pembangkang itu pada PRU15 sebenarnya akan lebih besar," dedahnya lagi.

Ditanya sama ada cadangan terbuka beliau itu mendapat maklum balas pemimpin UMNO, Mohd Zuhdi mengesahkan ia mendapat reaksi 'positif', walaupun beliau tidak boleh mendedahkan identiti mereka menyokongnya.

"Saya juga percaya pintu rundingan untuk menjayakan persefahaman MN masih terbuka luas, sekurang-kurangnya sebelum PRU15 berlangsung," katanya lagi.

Klik di sini untuk terus membaca