DESTINASI pelancongan yang suatu ketika gah tetapi sekarang terbiar didapati berlaku di kebanyakan negeri di Malaysia lebih-lebih lagi pasca pandemik Covid-19.Kompleks Sejarah Pasir Salak, Perak; Monorel Melaka; Jambatan Gantung Sultan... Klik di sini untuk terus membaca

DESTINASI pelancongan yang suatu ketika gah tetapi sekarang terbiar didapati berlaku di kebanyakan negeri di Malaysia lebih-lebih lagi pasca pandemik Covid-19.

Kompleks Sejarah Pasir Salak, Perak; Monorel Melaka; Jambatan Gantung Sultan Ismail, Kuala Krai, Kelantan; dan ‘Jalan Sempit’ Alor Setar, Kedah adalah contoh lokasi tumpuan terbiar atau hidup segan mati tak mahu.

Walaupun ada sebab sesuatu tempat itu tidak lagi popular, namun adalah menjadi satu kerugian besar jika tiada usaha dilakukan untuk mengembalikan kegemilangannya.

Apatah lagi tempias ekonominya akan turut dirasai oleh penduduk tempatan daripada pengusaha restoran, kedai cenderahati dan rumah inap desa.

Wartawan Sinar Harian, SAIFULLAH AHMAD, NOR FARHANA YA’ACOB, HAZELEN LIANA KAMARUDIN, SYAJARATULHUDA MOHAMAD ROSLI, NURUL HIDAYAH HAMID, dan NURFARDLINA IZZATI MOKTAR ada butirannya.

Beberapa destinasi pelancongan yang suatu ketika gah tetapi sekarang terbiar.

PASIR SALAK MAKIN HILANG SERI

Suatu ketika dahulu, Kompleks Sejarah Pasir Salak, di sini, menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negara namun kini semakin sepi dengan sebahagian bangunannya terbiar serta tidak lagi boleh dilawati pengunjung.

Tinjauan Sinar Harian mendapati kesemua Rumah Kutai yang terdapat di kompleks sejarah itu tidak boleh dimasuki pengunjung, begitu juga Galeri Sejarah Negeri Perak.

Hanya beberapa tugu dan terowong masa yang masih dapat dikunjungi pelawat.

Bagi seorang peniaga, Hamizah Mohamad, 49, suasana yang ada pada hari ini amat berbeza dengan 10 tahun lalu kerana penduduk setempat tidak lagi merasai kemeriahan kompleks sejarah tersebut.

HAMIZAH

"Saya meniaga sejak tahun 1994 lagi. Saya merasai zaman kegemilangan kompleks ini. Bukan sahaja orang tempatan, orang luar negara dari Singapura pun datang ke sini. Setiap minggu ada sahaja bas-bas pelancong yang masuk melawat tetapi sekarang sunyi sepi.

"Kehadiran orang ramai ke sini umpama pesta. Limpahan kehadiran pelancong memberi manfaat kepada penduduk kampung terutama golongan peniaga macam saya,” katanya kepada Sinar Harian.

Seorang penduduk, Kamaruddin Ahmad, 36, menyifatkan keadaan kompleks sejarah tersebut amat menyedihkan kerana tidak dipulihara dan dijaga dengan baik menyebabkan beberapa bangunan dibiarkan mereput.

"Sedih sangat tengok keadaan bangunan-bangunan ini yang dah tak boleh diselamatkan lagi. Bukan sahaja tidak boleh dimanfaatkan pengunjung dan penduduk setempat malah boleh mendatangkan bahaya,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Mohd Isa Ariffin, 50, berpendapat, sesuatu harus dilakukan agar semua kemudahan yang ada di situ dapat digunakan dan dikunjungi pelancong sekali gus menaikkan semula ekonomi penduduk kampung menerusi pelancongan warisan.

KOMPLEKS RESTORAN MAKANAN LAUT PULAU AMAN 'TERKUBUR'

Lokasinya cantik dan menarik, namun sebuah bangunan seliaan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) berdekatan Pulau Aman di Batu Kawan, masih tidak mampu menarik mana-mana syarikat untuk menyewanya.

Difahamkan terbiar sejak 10 tahun lalu, Kompleks Restoran Makanan Laut itu masih kosong dan belum dibaik pulih susulan tiada pihak yang berminat.

Sewa bulanan yang tinggi dipercayai menjadi salah satu faktor kompleks berkenaan tiada pihak mahu menjalankan perniagaan di situ.

Ditambah pula keadaan ekonomi yang tidak begitu stabil, usaha menghidupkan semula kompleks tersebut terbantut.

Keadaan kompleks tersebut pada ketika ini agak teruk dan tidak dibuka kepada orang ramai berikutan bimbang berlaku kejadian yang tidak diingini.

Ketua Pegawai Eksekutif PDC, Datuk Aziz Bakar berkata, pihaknya telah membuka ‘permohonan mengemukakan cadangan’ (RFP) pada Mei lalu, namun tiada sambutan sehingga tarikh tutup pada 1 Ogos lalu.

"Usaha kita membuka RFP juga tiada sambutan selepas tiada syarikat yang berminat untuk masuk tender.

"Keadaan di kompleks ini agak teruk dan memerlukan kos yang tinggi untuk membangunkannya semula,” katanya.

LORONG SEMPIT DIKHUATIRI GAGAL BERTAHAN

Nama Bazar Lorong Timur di Jalan Tunku Ibrahim di sini, mungkin kurang dikenali, namun apabila disebut Lorong Sempit, pasti melekat dalam ingatan penduduk di Bandar Alor Setar.

Seperti mana Kompleks Pekan Rabu, kewujudan aktiviti jualan dalam Lorong Sempit di tengah-tengah Alor Setar sememangnya sinonim kepada penduduk setempat.

Bagaimanapun, populariti Lorong Sempit sebagai antara ikon bandar raya ini dibimbangi suram sejak beberapa tahun kebelakangan ini berbanding era 1980-an.

Lorong Sempit dikhuatiri tidak mampu bertahan lalu terkubur sekiranya tiada inisiatif diambil untuk menarik semula pengunjung ke kawasan itu.

Peniaga, Abdul Hamid Daud, 66, berkata, dia menjual pelbagai jenis produk termasuk perhiasan wanita di Lorong Sempit sejak tahun 1970 lagi.

ABDUL HAMID

"Dahulunya, kawasan ini rancak dengan kunjungan pelanggan dari merata-rata tempat untuk mendapatkan pelbagai barang diinginkan mereka.

"Kini kehadiran pelanggan semakin berkurangan hingga Lorong Sempit sepi terutamanya selepas operasi stesen bas lama Alor Setar ditutup,” ujar peniaga itu.

Menurutnya, bilangan kedai di Lorong Sempit kini tinggal lapan sahaja berbanding 48 kedai suatu ketika dahulu.

Bagi Wendy Wong, 40, dia berharap beberapa premis yang ditutup dapat dibuka semula bagi merancakkan ekonomi.

"Kami amat terkesan apabila bilangan pengunjung ke Alor Setar berkurangan, sekali gus berharap ada usaha dilaksanakan bagi memeriahkan semula kawasan ini,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca