SHAH ALAM - Mahkamah Persekutuan masih boleh membuat keputusan meskipun terdapat satu pihak tidak memberi hujahan ketika pendengaran kes. Peguambela & Peguamcara, Ahmad Shamil Azad Abdul Hamid berkata, Mahkamah Persekutuan akan mengambil... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Mahkamah Persekutuan masih boleh membuat keputusan meskipun terdapat satu pihak tidak memberi hujahan ketika pendengaran kes.

Peguambela & Peguamcara, Ahmad Shamil Azad Abdul Hamid berkata, Mahkamah Persekutuan akan mengambil kira kesemua hujahan daripada kedua pihak dan sekiranya satu pihak tidak memberi hujahan maka mahkamah masih boleh teruskan untuk membuat keputusan.

"Ini disebabkan Mahkamah Persekutuan sudah mengetahui inti pati rayuan sekiranya Petisyen Rayuan telah difailkan, dan dari situ mahkamah boleh membuat keputusan sama ada rayuan itu wajar dibenarkan atau pun tidak.

"Sekiranya Mahkamah Persekutuan dapati bahawa tiada alasan-alasan yang berpatutan untuk menolak keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini, justeru mahkamah itu boleh kekalkan keputusan berkenaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pasukan peguam baharu yang dilantik mewakili Datuk Seri Najib Tun Razak bagi rayuan terakhir dalam kes membabitkan dana SRC International Sdn Bhd, yang telah memberitahu Mahkamah Persekutuan bahawa mereka akan menarik diri sekiranya mahkamah tetap akan terus mendengar rayuan itu pada Isnin.

Peguam daripada Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST) dan Tetuan Hisyam Teh, tidak bersedia meneruskan rayuan itu kerana ia melibatkan isu penting dan memerlukan masa untuk persediaan kerana ia bukan rayuan biasa.

Bagaimanapun, ZIST telah menafikan laporan tersebut dan memberikan jaminan untuk meneruskan khidmat mereka.

Ahmad Shamil Azad

Dalam pada itu, Ahmad Shamil Azad berkata, strategi untuk menarik diri susulan tidak bersedia untuk meneruskan rayuan di Mahkamah dengan tujuan melengahkan pendengaran kes disifatkan bertentangan dengan etika pengamal undang-undang.

Ujarnya, jika seseorang peguam itu tidak bersedia untuk mengendalikan kes berkenaan maka seharusnya pihak tersebut tidak boleh mengambil kes atau mewakili anak guam terlibat.

"Jadi dengan seseorang itu bersedia mengendalikan dan berupaya mengendalikan kes berkenaan barulah dia patut mengambil sesuatu kes yang dibicarakan di mahkamah,” jelasnya.

Tambahnya, mahkamah akan cuba sebaik mungkin untuk berlaku adil kepada kedua pihak.

"Jadi, kedua pihak ini perlu diberi peluang untuk berhujah secara penuh.

"Bagaimanapun ada batasnya juga di mana mahkamah perlu mengambil kira sekiranya sesuatu pihak itu mengambil masa yang terlalu lama untuk melakukan hujahan di mahkamah ataupun kelihatan seperti melengah-lengahkan proses mahkamah.

"Ini dipanggil sebagai satu abuse of court process dengan tujuan untuk melengahkan sesuatu keputusan.

"Jadi, ia dikira sebagai suatu tindakan tidak wajar dan salah dari segi etika sebagai peguam,” jelasnya.

Klik di sini untuk terus membaca