SHAH ALAM - Suatu kerugian jika kawasan tarikan dan tempat pelancongan yang dahulunya popular kini terbiar tanpa diuruskan dengan baik.
Presiden Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Datuk Tan Kok Liang berkata, faktor kawasan pelancongan menjadi sepi dan tidak ‘hidup’ disebabkan kekurangan permintaan, selain peranan pemain industri itu sendiri yang tidak mempunyai usaha menaik taraf kemudahan serta mempromosikan kawasan tersebut.
"Sudah tentu jika mereka tidak melabur semula bagi membangunkan tempat berkenaan dan membiarkan ia mati begitu, akan menjejaskan kawasan tersebut sekali gus ekonomi di sekeliling tempat pelancongan itu mengalami kerugian.
"Masyarakat setempat yang dahulunya menerima tempias limpahan ekonomi antaranya restoran, kedai cenderahati dan rumah tumpangan mengalami nasib sama.
"Pendapatan mereka akan terjejas, malah ada yang terpaksa menutup perniagaan disebabkan kehadiran pelancong berkurangan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Kok Liang berkata lagi, peranan pengusaha dan pihak berkepentingan adalah penting untuk menghidupkan kembali kawasan pelancongan berkenaan dengan membuat suatu penilaian.
"Selepas penilaian, mereka perlu menaik taraf dan melabur semula untuk menjadikan kawasan tersebut terus menjadi tarikan pelancong.
"Sebenarnya ada lagi orang ramai yang berminat dengan tempat-tempat itu dan ia masih jadi tarikan.
"Justeru infrastruktur di kawasan tersebut perlu dinaik taraf bagi membolehkan pengunjung menikmati kemudahan yang ada,” ujarnya.
Kok Liang menjelaskan, semasa fasa pemulihan ini semua pihak termasuk kerajaan, syarikat penerbangan, Jabatan Imigresen dan pengusaha hotel harus bekerjasama dan bergabung dalam memberikan memberikan mutu perkhidmatan baik kepada pelancong.
"Ketika negara beralih ke fasa endemik ini, semua pihak berkepentingan perlu mempunyai strategi untuk menarik pelancong atau pasaran dan sektor pelancongan yang sudah dibuka.
"Semua pihak terlibat perlu menunjukkan imej yang baik dan kesungguhan berbanding sebelum ini selain bersedia untuk menerima kedatangan pelancong luar,” jelasnya lagi.
Klik di sini untuk terus membaca