NEW YORK - Nama Salman Rushdie kembali mendapat perhatian komuniti antarabangsa terutamanya golongan penulis seangkatan dengannya setelah insiden beliau cedera parah ditikam beberapa kali ketika menghadiri sebuah acara di New York pada Jumaat lalu.
Kejadian menggemparkan itu seakan-akan menunjukkan ‘dendam’ selama 33 tahun akhirnya terbalas setelah beberapa cubaan bunuh ke atasnya gagal sebelum ini.
Novelis itu telah berkecimpung dalam dunia penulisan selama kira-kira lima dekad termasuk menghasilkan buku kontroversi yang menghina agama Islam.
Ancaman bunuh sudah menjadi ‘perkara biasa’ kepadanya, malah ugutan itu menyebabkan Salman, 75, memilih untuk hidup secara low profile dan terpaksa ‘bersembunyi’ dan turut diletakkan di bawah perlindungan polis London selama sembilan tahun.
Walaupun dihimpit pelbagai kontroversi, beliau diangkat sebagai salah seorang novelis Britain paling terkenal dan berjaya sepanjang zaman selain mendapat gelaran Kesatria yang diberikan Ratu Elizabeth II atas sumbangannya dalam bidang kesusasteraan.
Novel keempat dihasilkannya berjudul The Satanic Verses yang diterbitkan pada tahun 1988 dan memenangi Hadiah Whitbread bagaimanapun telah menyinggung perasaan Muslim sehingga mencetuskan protes antarabangsa pada tahap tidak pernah berlaku sebelum ini.
Muslim di Britain yang berang mengadakan siri protes di seluruh negara dan membakar novel kontroversi itu, malah tunjuk perasaan tersebut dilaporkan merebak di negara kelahirannya di India.
Di dunia Islam, kebanyakan Muslim menzahirkan kemarahan terhadap penerbitan novel itu yang didakwa secara terang-terangan menghina Nabi Muhammad SAW.
Ketika itu, Iran bertindak balas dengan memutuskan hubungan diplomatik dengan Britain dan Pemimpin Agung pada masa tersebut, Ayatollah Ruhollah Khomeini turut mengeluarkan fatwa pada tahun 1989 supaya novelis itu dibunuh.
Ganjaran berjumlah lebih AS$3 juta (RM13.3 juta) juga ditawarkan untuk membunuhnya, namun ugutan bunuh itu dikatakan tidak lagi mengancam nyawanya kerana ‘tiada bukti’ menunjukkan ada pihak yang berani untuk melakukannya.
Terdapat beberapa cubaan bunuh pernah dilakukan ke atas Salman, malah penterjemah kandungan novel itu juga tidak terkecuali menjadi sasaran.
Pada tahun 1991, Hitoshi Igarashi yang menterjemah The Satanic Verses ke dalam bahasa Jepun maut ditikam di pejabatnya di University of Tsukuba oleh penyerang tidak dikenali.
Pada Julai tahun sama, penterjemah warga Itali, Ettore Capriolo juga ditikam di kediamannya di Milan, manakala penterjemah William Nygaard dari Norway cedera ditembak di luar rumahnya ketika insiden pada tahun 1993, namun kedua-dua mangsa dilaporkan terselamat.
Susulan protes yang meluas pada masa itu, novel tersebut telah diharamkan di beberapa negara termasuk India, Pakistan, Afrika Selatan, Sri Lanka, Thailand, Indonesia dan Singapura.
PENULIS PROLIFIK
Ahmed Salman Rushdie dilahirkan pada 19 Jun 1947 di Mumbai dalam keluarga Muslim Kashmir, kira-kira dua bulan sebelum India memperoleh kemerdekaan dari Britain.
Pada usia 14 tahun, beliau dihantar ke England dan melanjutkan pengajian di bandar Rugby serta memperoleh Ijazah Kepujian dalam Pengajian Sejarah di Kings College di Cambridge.
Beliau kemudiannya mendapat kerakyatan Britain dan pernah menjadi seorang aktor dan penulis iklan di samping meneruskan minatnya dalam penulisan novel.
Novel pertama bergenre sains fiksyen dan fantasi dihasilkannya berjudul Grimus pada tahun 1975 gagal meraih sambutan, namun beberapa pengkritik melihat beliau sebagai penulis yang berpotensi besar.
Salman mengambil masa selama lima tahun untuk mengarang novel keduanya, Midnight’s Children yang yang berkisarkan tentang negara kelahirannya memenangi Hadiah Booker pada 1981 dan berjaya terjual setengah juta salinan.
Kejayaan itu menjadi titik tolak kepadanya untuk menghasilkan novel yang mendapat sambutan seperti Shame dan The Jaguar Smile yang menceritakan pengembaraannya di Nicaragua.
Penulis profilik itu juga mengarang novel untuk kanak-kanak seperti Haroun and the Sea of Stories (1990) The Ground Beneath Her Feet (1999) dan Fury (2001).
Beliau turut terlibat dengan adaptasi drama pentas novel hasil tulisannya, Midnight’s Children yang dipersembahkan di London pada tahun 2003.
Sepanjang tempoh dua dekad lalu, Salman telah menerbitkan Shalimar the Clown, The Enchantress of Florence, Two Years Eight Months and Twenty-Eight Nights, The Golden House dan Quichotte.
Pada tahun 2012, beliau pernah menghasilkan memoir tentang kehidupan peribadinya yang terpalit kontroversi dek novel The Satanic Verses.
Di sisi kehidupan peribadinya, Salman yang menetap di Amerika Syarikat (AS) sejak tahun 2000 pernah berkahwin sebanyak empat kali dan dikurniakan dua cahaya mata. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca