KUALA KRAI - Jambatan Gantung Sultan Ismail di Jalan Machang-Kuala Krai berhampiran Bukit Sireh di sini merupakan antara mercu tanda gah yang terbiar sekali gus menghilangkan seri serta peranan yang pernah dimainkan sebagai nadi perhubungan pengangkutan darat sekitar tahun 1930-an.
Jambatan gantung merentangi Sungai Kuala Nal yang berkonsepkan seni bina Eropah itu mula dibina semasa British menduduki negeri ini pada tahun 1920-an. Ia dibina menggunakan besi keluli yang begitu kuat dan kukuh.
Kemudahan itu dibuka secara rasminya oleh Sultan Ismail Sultan Muhammad IV pada 19 April 1932 dan menjadi laluan utama menghubungkan Kota Bharu dengan Kuala Krai.
Mengikut sejarah, jambatan itu sudah beberapa kali diletupkan dan dibina semula sehinggakan ia menjadi salah satu warisan sejarah yang sangat dikagumi penduduk setempat.
Bagaimanapun, kemudahan itu tidak digunakan sejak tahun 1986 lagi selepas jambatan baharu yang terletak bersebelahan siap sepenuhnya bagi menggantikan Jambatan Gantung Sultan Ismail.
Seorang penduduk, Abdullah Yaakob, 73, berkata, jambatan gantung yang kaya dengan nilai sejarah itu perlu dipelihara dan diperbaiki supaya tidak terbiar dimamah zaman.
"Jika tanya saya dan orang dulu-dulu, kami tahu tentang sejarah jambatan tersebut tetapi anak-anak muda sekarang sekadar memandangnya sebagai jambatan buruk sahaja,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, sebagai orang lama dia merayu kepada kerajaan negeri supaya membaik pulih jambatan tersebut untuk dijadikan sebagai tarikan pelancongan.
Katanya, kedudukan jambatan itu di tepi laluan utama antara Gua Musang ke Kota Bharu mampu menjadi daya penarik kepada orang ramai untuk berhenti bergambar dan melihat warisan sejarah tersebut.
Dia berkata, dahulu ramai orang akan berhenti di kawasan tersebut untuk bergambar namun sejak terbiar lokasi tersebut tidak lagi menjadi tumpuan.
Mustaqim Kamarudin, 30, pula berkata, kerajaan Kelantan sepatutnya memelihara warisan sejarah itu sebagaimana yang dilakukan oleh negeri-negeri lain.
Katanya, kerja-kerja menaik taraf itu harus merangkumi kemudahan wakaf, tandas awam dan gerai jualan.
"Dengan cara tersebut ia sekurang-kurangnya dapat memperkenalkan sejarah tempatan selain membantu menjana pendapatan penduduk.
"Saya yang sering berulang alik dari Kuala Krai ke Kota Bharu hanya mampu melihat dari jauh jambatan ini yang semakin hari semakin dimamah usia.
"Rugi jika dibiarkan begitu tanpa sebarang tindakan kerana ia mempunyai nilai sentimental,” jelasnya
Klik di sini untuk terus membaca