KUALA LUMPUR - Pengerusi Boustead Holdings Berhad, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof mendedahkan terdapat wira penyelamat yang digelar 'white knight' cuba membantu kerajaan menyelesaikan kepincangan projek perolehan enam kapal... Klik di sini untuk terus membaca

KUALA LUMPUR - Pengerusi Boustead Holdings Berhad, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof mendedahkan terdapat wira penyelamat yang digelar 'white knight' cuba membantu kerajaan menyelesaikan kepincangan projek perolehan enam kapal tempur pesisir (LCS) bernilai RM9 bilion.

Bekas Menteri Kabinet Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional itu berkata, White Knight berkenaan merupakan sebuah syarikat persendirian bumiputera yang mempunyai kekuatan kewangan kukuh dan tampil untuk menyelesaikan krisis projek pembinaan LCS melalui dana persendirian.

Mohd Redzuan

Enggan mendedahkan identiti pihak tersebut, Mohd Redzuan atau lebih dikenali Pak Wan menjelaskan syarikat persendirian itu bersedia membeli sebahagian besar syer pegangan saham dimiliki Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dalam BNS bagi membolehkan mereka memiliki kawalan terhadap projek itu.

"Semasa saya berada dalam kabinet bersama kerajaan PH, ada cadangan daripada individu tertentu yang mempunyai kekuatan dari segi kewangan berasakan dia perlu tampilkan kepada kerajaan melalui saya untuk membantu dan memastikan BNS diselamatkan dari segi menyiapkan kerja-kerja pembuatan.

"Namun, perkara itu tidak mendapat persetujuan konsensus dan timbul persoalan sekiranya BNS perlu disuntik oleh dana persendirian.

"Saya tidak boleh mendedahkan syarikat itu tetapi cukup saya katakan ia bersedia membeli sebahagian besar syer pegangan saham BNS yang dipegang LTAT demi mendapatkan kawalan bagi menyelamatkan projek LCS,” katanya dalam satu wawancara eksklusif bersama Sinar Premium di sebuah hotel pada Ahad.

Tegasnya, kerajaan kurang bersetuju sekiranya ada mana-mana individu yang ingin melibatkan diri dalam projek runding terus itu kerana ia melibatkan keselamatan dan sistem pertahanan negara.

"Kita sudah tahu masalah dihadapi projek ini ketika zaman PH kerana BNS (Boustead Naval Shipyard) meminta bantuan kerajaan.

"Namun, kita tidak mahu 'kronikan' lagi rahsia pertahanan negara jika ada pihak atau individu lain yang terlibat,” katanya.

Pada awal Ogos lalu, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengumumkan sembilan rumusannya sebagai punca ketirisan projek enam kapal LCS apabila kerajaan sudah membayar RM6.083 bilion kepada BNS bagi projek runding terus itu, namun tiada kapal diterima setakat ini.

Laporan PAC turut mendedahkan BNS tidak menggunakan sepenuhnya bayaran diterima daripada kerajaan untuk projek tersebut, menyebabkan syarikat itu menghadapi cost overrun sebanyak RM1.4005 bilion.

Rentetan itu, ramai pemimpin daripada UMNO dan Barisan Nasional yang menuding jari kepada kerajaan PH konon projek itu ditangguhkan mereka seterusnya dibekukan pada tahun 2019 iaitu setahun selepas PH memerintah.

Pada Oktober 2019, Mohamad Sabu yang merupakan Menteri Pertahanan ketika itu memberitahu Dewan Rakyat bahawa projek LCS siap pada 55.7 peratus setakat suku ketiga 2019, berbanding sasaran 78 peratus sekali gus BNS gagal mencapai tarikh sasaran.

Maka ia mendorong tarikh penyerahan lewat selama tiga tahun sehingga 2022.

Mohd Redzuan yang juga merupakan bekas Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, tidak timbul isu menghentikan projek tersebut tetapi ada perkara yang tidak menepati piawaian yang dikehendaki.

"Zaman PH tidak timbul isu menghentikan projek itu, tetapi sebelum kita mengeluarkan bantuan perbelanjaan seterusnya, pihak pengurusan projek harus membentangkan keperluan dan kita lihat ada perkara yang tidak menepati apa yang telah diamanahkan kepada syarikat itu.

"Saya tidak menyelia Kementerian Pertahanan. Jadi maklumat terperinci adalah di bawah Mat Sabu dan Liew Chin Tong yang lebih mengetahui sama ada keputusan itu dibawa atau tidak dibawa oleh kabinet.

"Yang kita tahu dalam kabinet bahawa projek LCS ini ada masalah iaitu unjuran kewangan,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca