KUALA LUMPUR - Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada tahun 2020 membuktikan bahawa projek pembangunan mobiliti udara atau lebih dikenali 'kereta terbang' yang dibangunkan oleh pihak swasta dan Kementerian... Klik di sini untuk terus membaca

KUALA LUMPUR - Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada tahun 2020 membuktikan bahawa projek pembangunan mobiliti udara atau lebih dikenali 'kereta terbang' yang dibangunkan oleh pihak swasta dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi sebenarnya tidak menggunakan satu sen pun duit rakyat.

Bekas menterinya sewaktu kerajaan PH, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, beliau sudah berdepan dengan pengurusan Jawatankuasa PAC sejak tahun 2019 lagi dengan laporan lengkap membuktikan tiada apa-apa penyelewengan berlaku berhubung projek semantik 'kereta terbang' berkenaan.

Berikutan itu, beliau hairan dengan niat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membangkitkan persoalan mengapa pelaksanaan projek 'kereta terbang' diusahakan pihaknya tidak disiasat Jawatankuasa PAC, melalui satu hantaran di Facebook pada Sabtu.

"Kenapa ia perlu disamakan dengan skandal projek kapal perang pesisir (LCS) kerana isu LCS ini melibatkan kedaulatan tanah air?

"Saya sudah berdepan dengan Jawatankuasa PAC sejak saya menjadi menteri kerajaan PH lagi.

Laporan PAC pun sudah lengkap dan terbukti tiada apa-apa penyelewengan berlaku berhubung projek semantik (kereta terbang) berkenaan, walaupun satu sen pun duit rakyat," katanya dalam satu wawancara eksklusif bersama Sinar Premium di sebuah hotel di sini pada Ahad.

Susulan terdedahnya skandal melibatkan pembelian enam kapal perang pesisir (LCS) bernilai RM9 bilion melalui laporan Jawatankuasa PAC baru-baru ini, Najib sekali lagi menjadi sasaran 'serangan' pihak pembangkang apabila beliau dianggap bersekongkol dalam meluluskan pembelian aset pertahanan negara berkenaan pada tahun 2011.

Selain Najib, nama Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein turut dikaitkan dengan projek berkenaan, bagaimanapun ia dinafikan mereka.

Sehubungan itu, Najib menerusi hantaran Facebook seolah-olah bertindak balas apabila membangkitkan isu pelaksanaan projek 'kereta terbang' diusahakan Mohd Redzuan sewaktu pentadbiran zaman kerajaan PH yang didakwa beliau seolah-olah tidak diberi perhatian oleh Jawatankuasa PAC.

Mengulas perkembangan projek mobiliti udara, Mohd Redzuan atau lebih dikenali Pak Wan mengajak rakyat negara ini melihat kepentingan industri berkenaan dari sudut potensi masa hadapan dan bukan sekadar menjadikannya bahan jenaka.

Hal ini kerana beliau mendedahkan kerajaan Singapura, Amerika Syarikat, Britain dan beberapa negara Timur Tengah sebenarnya sudah memulakan inisiatif berkenaan secara agresif, termasuk usaha menyediakan platform laluan udara untuk kegunaan mobiliti udara secara komersil kelak.

"Adakah kita hendak tunggu projek semantik 'kereta terbang' ini sudah menjadi popular di seluruh dunia baru kita hendak mencuba dan tempah dari luar negara, sedangkan kita sudah lama ada kepakaran tempatan bagi membangunkannya?

"Kita sudah ada syarikat tempatan yang berkecimpung dalam industri mobiliti udara dan mereka telah berkembang di serata dunia.

Kini mereka berada di kelompok teratas sebagai penyedia perkhidmatan Drone Global oleh Drone Industry Insights.

"Saya sebenarnya sedih isu ini masih lagi dipolitikkan segelintir pihak.

Bagaimana pembangunan teknologi negara hendak berkembang jika rakyat kita masih berpegang kepada mentaliti 'hesitant follower' (kelompok curiga dengan idea baharu)?

"Sebab itu, dalam konteks industri mobiliti udara atau 'man drone', jika kita mahu menjadi negara maju, kita kena hindari sikap 'hesitant followers'," katanya.

Pak Wan yang kini dilantik Pengerusi Boustead Holdings Berhad turut mempersoalkan iltizam kerajaan dalam memudahcarakan pembangunan industri mobiliti udara susulan beliau berpandangan ia perlu diketengahkan, selari dengan pembangunan dunia.

Tambahnya, beliau terkejut sehingga kini usaha ke arah itu termasuk penggubalan satu undang-undang khas bagi penggunaan mobiliti udara masih tidak dibincangkan secara serius sejak tahun 2018.

"Sejak tahun 2018 hingga 2019, kita (Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi) sudah memohon kepada Kementerian Pengangkutan supaya mewujudkan satu undang-undang bagi melancarkan penggunaan mobiliti udara secara komersil.

"Kita memang perlu ada undang-undang khas mengenainya. Siapa lagi yang perlu menjayakannya kalau bukan kerajaan sebagai pemudah cara kepada usahawan tempatan?" tegas Pak Wan lagi.

Klik di sini untuk terus membaca