SHAH ALAM - Nisbah pakar perubatan forensik berbanding populasi negara ketika ini adalah tidak mencukupi dan perlu ditingkatkan sebanyak tiga kali ganda. Pengerusi Jawatankuasa Komuniti Subkepakaran Patologi Forensik, Daftar Pakar... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Nisbah pakar perubatan forensik berbanding populasi negara ketika ini adalah tidak mencukupi dan perlu ditingkatkan sebanyak tiga kali ganda.

Pengerusi Jawatankuasa Komuniti Subkepakaran Patologi Forensik, Daftar Pakar Kebangsaan, Datuk Dr Zahari Noor berkata, penambahan jumlah tenaga pakar itu penting bagi memenuhi keperluan negara ketika ini.

"Mengambil contoh di Amerika Syarikat (AS), negara itu mempunyai nisbah sebanyak 3.7 pakar patologi forensik bagi setiap satu juta populasi yang menjalankan purata 222 kes bedah siasat setahun.

"Di Malaysia pula ketika ini nisbah lebih kurang 1.2 pakar bagi sejuta rakyat Malaysia maka negara ini mungkin memerlukan tiga kali ganda iaitu seramai 135 orang berbanding hanya 45 pakar forensik sekarang yang berkhidmat di Kementerian Kesihatan dan universiti tempatan.

"Buat masa ini tidak semua bedah siasat dan siasatan kematian dilakukan oleh pakar perubatan forensik tetapi turut melibatkan pegawai perubatan kerajaan yang berkhidmat di hospital kerana kekurangan pakar,” katanya.

Ujar beliau yang juga Pengerusi Persatuan Perubatan dan Sains Forensik Malaysia, berdasarkan kajian, seorang pakar perubatan forensik perlu menjalankan bedah siasat antara 200 hingga 250 kes setahun.

Namun di Malaysia terdapat keperluan berbeza dalam bilangan kes mengikut negeri dan dianggarkan secara purata lebih kurang 400 kes bedah siasat dijalankan setahun seperti Kelantan dan Terengganu.

"Ada negeri melakukan lebih daripada 1,500 bedah siasat setahun seperti di Selangor dan Kuala Lumpur.

"Selangor mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi dan tiga Jabatan Perubatan Forensik iaitu Hospital Serdang, Klang dan Sungai Buloh masing masing menjalankan lebih kurang 1,600 ke 2000 kes bedah siasat setahun.

"Sudah tentu kekurangan tenaga pakar dalam perubatan forensik akan memberi kesan terhadap kualiti siasatan kematian dan bedah siasat yang dilakukan di dalam negara,” jelasnya.

Tambah beliau, bagi mengatasi masalah tersebut, lebih banyak peluang latihan dibuka dengan tawaran kursus sarjana pakar dalam patologi forensik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM) dan terbaharu, Fakulti Perubatan Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Malah katanya, terdapat Parallel Pathway Program yang melatih pegawai perubatan dalam bidang forensik negara ini dan dari United Kingdom untuk kelayakan Diploma in Medical Jurisprudence (Forensic Pathology) yang diiktiraf Daftar Pakar Kebangsaan.

Buka lebih banyak perjawatan pakar sains forensik

Sementara itu, kerajaan disaran mewujudkan lebih banyak jawatan untuk pakar sains forensik bagi membolehkan graduan universiti tempatan dalam bidang itu mengisi keperluan yang ada.

Sehingga kini dianggarkan terdapat seramai 1,900 graduan sains forensik daripada tiga universiti awam iaitu Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Meskipun daripada jumlah tersebut dianggarkan secara purata 60 ke 80 peratus graduan berjaya menempatkan diri dalam kerjaya berkenaan, namun negara memerlukan lebih ramai pakar sains forensik.

Pengerusi Program Sains Forensik Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Dzulkiflee Ismail berkata, beberapa bidang profesional di negara ini juga didapati memerlukan lebih ramai pakar forensik ekoran peningkatan kes mahkamah yang kompleks dan berprofil tinggi.

"Ketika ini kita ada pakar forensik dalam pelbagai bidang profesional tetapi kita perlukan lebih ramai terutama bagi menampung keperluan pada masa hadapan yang lebih mencabar,” katanya.

Nisbah pakar perubatan forensik berbanding populasi negara ketika ini adalah tidak mencukupi dan perlu ditingkatkan sebanyak tiga kali ganda. - Gambar hiasan

Sementara itu, Ketua Program Sains Forensik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Seri Mirianti Ishar berkata, graduan menghadapi kesukaran untuk membina kepakaran mereka disebabkan proses ketat dalam pengambilan jawatan ke perkhidmatan awam.

Menurutnya, untuk diiktiraf sebagai pakar dalam bidang tersebut, graduan perlu bekerja dalam sektor kerajaan untuk mendapatkan latihan dan pengalaman menguruskan kes sebagai pegawai forensik.

"Bagi menangani isu tersebut, kerajaan perlu tambah baik polisi ambilan graduan. Disebabkan kekangan ini, ramai daripada graduan forensik terpaksa bekerja di sektor swasta antaranya dalam bidang perbankan di samping berkhidmat sebagai penyiasat tuntutan insurans,” ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca