TIADA ribut tiada hujan, tiba-tiba negara dikejutkan pendedahan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dengan skandal projek perolehan kapal tempur pesisir (LCS) dianggarkan bernilai RM9 bilion. Sebelum ini, Pengerusi PAC, Wong Kah Woh... Klik di sini untuk terus membaca

TIADA ribut tiada hujan, tiba-tiba negara dikejutkan pendedahan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dengan skandal projek perolehan kapal tempur pesisir (LCS) dianggarkan bernilai RM9 bilion.

Sebelum ini, Pengerusi PAC, Wong Kah Woh menjelaskan kajian daya maju (due diligence) oleh kerajaan terhadap syarikat Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS) untuk pembinaan LCS Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) gagal mengesan masalah kewangan syarikat tersebut.

Konflik semakin rumit apabila Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Datuk Ahmad Nazim Abdul Rahman mendedahkan BNS menggunakan sebahagian daripada dana projek LCS untuk membayar hutang lapuk projek lain.

Oleh itu, Pengerusi Boustead Holdings Berhad, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof menjelaskan ia bukanlah projek kapal halimunan seperti didakwa pemimpin pembangkang, bahkan penting disiapkan sebagai projek strategik pertahanan negara.

Bersetuju dengan pandangan perlu ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat skandal LCS , Mohd Redzuan yang baru tujuh bulan mengambil alih jawatan syarikat itu daripada Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memberi cadangan penyelesaian konflik tersebut.

Kru Sinar Premium bersama Mohd Redzuan (tengah) sewaktu sesi wawancara eksklusif di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada Ahad.

Ikuti temu bual eksklusif wartawan Sinar Premium, KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN dan NURUL NABILA AHMAD HALIMY bersama Mohd Redzuan atau Pak Wan bagi menyelami penglibatan sebenar Boustead dan BNS dalam projek LCS.

SINAR PREMIUM: Apa pandangan Pak Wan tentang perkembangan isu skandal pembelian LCS? Ada pendedahan baharu yang boleh dikemukakan mengenainya?

MOHD REDZUAN: Saya bukan buat pendedahan tetapi seboleh mungkin tidak mahu mengikut apa yang telah disebutkan oleh kebanyakan orang yang kononnya pintar dalam perkara ini.Jadi, kita serahkan kepada mereka yang berkecimpung dalam industri ini dan pihak yang terlibat dalam pembangunan LCS.Setahu saya, kalau nak dedahkan, biarlah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang laksanakan.Pengurusan itu sendiri kena secara telus dan terus terang apa yang pernah dibuat.Kita tak tahu. Itu sebab banyak andaian berlaku hari ini, banyak yang orang tak tahu pasal LCS pun dah tahu pasal LCS. Sebenarnya kalau disebut mengenai LCS, ia adalah satu sistem pertahanan dan keselamatan negara.

Kebanyakan negara tidak mendedahkan rahsia tersebut sebab ia akan menjejaskan kedudukan dan rahsia kita terutama dari sudut pertahanan dan keselamatan negara. Jadi saya tak boleh nak ulas tentang apa yang berlaku secara lebih mendalam. Saya boleh mengiakan apa diulas dan saya boleh juga beri penjelasan lain. Contohnya banyak netizen hari ini menyatakan kapal halimunan.

Duit dah belanja RM6 bilion, tetapi satu kapal pun tak ada. Kalau kita tengok pembinaan sebegitu besar selalunya apabila hull (rangka badan) telah siap, maka akan ada upacara penamaan. Maka itu yang dikatakan majlis pelancaran kapal-kapal berkenaan telah berlaku.Kalau kita lihat laporan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), lima buah telah pun dalam tahap siap lebih kurang 50 peratus dan itu menunjukkan kapal itu rangka badannya sudah siap.

Cuma yang belum siap, dalam pendapat saya adalah kelengkapan-kelengkapan yang berada di atas kapal (topside) seperti sistem kelengkapan pertahanan, sistem keselamatan, sistem radar dan sebagainya.

Selalunya, apa saja dalam pembangunan sesuatu alat yang canggih, ada penukaran dan sebagainya dari sudut reka bentuk atau reka bentuk terperinci untuk kegunaan semasa. Jadi kita tak boleh menidakkan pertukaran itu kerana mungkin ada sebab tertentu reka bentuk itu ditukar daripada Sigma kepada Gowind. Kita tak tahu dan Pak Wan tak terlibat. Boustead Holdings Berhad sebenarnya sebelum ini mengambil alih projek berkenaan daripada syarikat lama. Saya (dilantik) dalam Boustead baharu kira-kira tujuh bulan dan sedang melihat apa yang berlaku serta kenyataan dikeluarkan oleh mereka yang bertanggungjawab. Jadi, tak boleh hendak melangkaui apa disebutkan dalam akhbar dan laporan PAC.

Cuma saya nak sebutkan biarlah proses itu difahami oleh semua. Tak boleh kita menuding jari setakat ini siapa yang bersalah. Kalau ada wujud ketirisan atau penglibatan pemimpin tertentu, biarlah SPRM melakukan kerja mereka dengan lebih telus dan terpulang kepada kerajaan untuk menentukan apa tindakan selanjutnya yang perlu dilakukan. Kita kena ke hadapan. Kalau ini dilihat sebagai satu projek dianggap amat strategik untuk keselamatan dan pertahanan negara, kita lihatlah berapa banyak lagi proses pemulihan yang diperlukan, sama-samalah kita laksanakan projek itu sampai habis secepat mungkin.

Semasa saya menjadi menjadi menteri dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH), perkara itu dibincangkan dan apabila bertukar kepada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pun dibincang. Beberapa soalan telah dibangkitkan dan kepakaran yang ada boleh menamatkan atau menyiapkan LCS yang telah dipertanggungjawabkan di bawah Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Ada pihak mengaitkan Pak Wan dengan isu LCS ini, apa komen Pak Wan?Apa sebab nak kaitkan nama saya?

Saya menjadi Pengerusi Boustead Holdings Berhad bermula 3 Januari 2022. Sebelum ini, hanya tahu sedikit sebanyak isu berkenaan semasa duduk dalam kerajaan PH. Nak kaitkan sebab apa? Adakah saya terlibat dalam pengurusan kelulusan itu? Cumanya kita memberi nasihat untuk melaksanakan rancangan LTAT dalam mengambil alih pembinaan itu kerana Boustead Holdings Bhd tidak lagi mampu pada ketika itu untuk menanggung bebanan Boustead Heavy Industries Corporation (BHIC). Struktur itu adalah BHIC yang mempunyai kepentingan dalam BNS, jadi kita menanggung banyak perbelanjaan untuk memastikan gaji pekerja dibayar, pengurusan berjalan dan sedikit sebanyak melibatkan usaha melestarikan pengoperasian syarikat itu sendiri. Ia juga atas tanggungjawab Boustead Holdings Bhd yang memberi jaminan sebagai satu syarikat tersenarai Bursa Malaysia. Ia juga memberi jaminan supaya BHIC menjadi syarikat tersenarai dalam Bursa Malaysia yang terus terapung di situ. Kalau syarikat itu tidak lagi terapung, maka sampai satu tahap syarikat itu boleh dianggap bankrap. Maka, apa impaknya? Impak dia kepada kapal itu juga.

Adakah Pak Wan menyedari usaha BNS ambil alih projek LCS, secara tidak langsung bertujuan membayar hutang lapuk daripada syarikat lain yang diambil alih iaitu PSC Industries Bhd?

Ia berlaku sebelum saya menjadi pengerusi. Saya sebutkan sekali lagi, saya dulu menteri dalam kabinet PH dan menteri kabinet dalam PN (Perikatan Nasional). Kita tahu maklumat itu apabila dibentangkan kabinet untuk melihat apa yang boleh kerajaan bantu dalam memastikan projek strategik ini dapat disiapkan. Di situlah kita dapat maklumat sedikit sebanyak yang disebutkan tadi dan dispekulasikan sebagai kemungkinan berlaku ketirisan. Saya rasa SPRM telah pun menyiapkan laporan dan telah pun memasukkan laporan itu kepada Pejabat Peguam Negara (AG). Jadi, terpulanglah tindakan selanjutnya yang akan dibuat mereka. Jadi, penglibatan saya setakat ini adalah dengan cuma mengetahui maklumat itu semasa dalam kerajaan.

Satu lagi isu dibangkitkan oleh pemimpin pembangkang berhubung pembelian alat ganti LCS yang dikatakan usang dan mendatangkan kerugian kepada BNS. Apa komen Pak Wan?

Apabila kita tidak berjaya melengkapkan atau menepati perkembangan sesuatu projek, maka barangan dibeli mungkin telah terlebih tarikh luput atau tidak boleh diguna pakai lagi. Saya tidak tahu mengenai maklumat itu.

Mungkin juga ia perlu retrofit (selenggara semula) dalam terma tertentu dan dibaik pulih. Barang itu mungkin tidak menepati jangka masa pemasangan dan mungkin terpaksa disimpan untuk digunakan. Mungkin juga ada perubahan reka bentuk dan sebagainya menyebabkannya tidak boleh digunakan lagi. Saya jangka tidak banyak tetapi dalam 15 peratus sahaja. Saya tidak tahu maklumat terperinci reka bentuk itu. Saya pun tidak perlu tahu dan kita memahami kelengkapan itu tidak perlu dipamerkan dalam jenis barang yang digunakan. Sebab itu banyak suara termasuk PAC hanya sekadar melihat (kelompangan) dari sudut perbelanjaan sahaja.

PAC ini kena merangkumi semua orang yang berpengalaman dan bukan sekadar ahli politik. Sebab itu ada suara daripada bekas menteri daripada UMNO yang mengatakan (pendedahan skandal LCS) ada motif politik.

Memang betul PAC terdiri daripada semua ahli Parlimen, tetapi elok dimasukkan orang berkelayakan yang memahami LCS itu sendiri. Barulah penemuan itu menyeluruh. Sebab itu saya menyokong penuh apabila (Pengerusi PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan perlu membentuk Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI). Bahkan dari aspek politik, kami daripada Bersatu dan PN membawa memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membentuk RCI. Ia kerana melibatkan keselamatan dan kedaulatan negara.

Sewaktu kerajaan PN dipimpin Muhyiddin, sejauh mana kes LCS ditangani?

Saya lihat hari ini juga kita masih kelihatan seperti kerajaan PN kerana (majoriti) kita penuh dengan ahli Parlimen PN.

Penjenamaan itu sahaja telah ditukar tetapi hakikatnya kesinambungan kerajaan PN yang kebanyakan meliputi seramai 57 ahli Parlimen PN. Saya nampak kerajaan PN yang baharu bekerjasama dengan pemimpin yang lain untuk meneruskan kesinambungan demi kepentingan rakyat secara keseluruhan. Kalau disebut susulan skandal LCS ditangani kerajaan PN, memang itu telah dimulakan melalui usaha solusi kerajaan ketika itu untuk selamatkan LCS. Kita telah pun setuju ambil alih projek ini menerusi syarikat bertujuan khas (SPV) di bawah kawal selia Kementerian Kewangan dan dipersetujui kabinet kerajaan PN dan Keluarga Malaysia yang diterajui oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Adakah terdapat pemalsuan syarikat (dummy companies) yang mendorong penggelapan kontrak dengan nilai yang besar itu? Benarkah ada elemen penyelewengan berlaku?

Sebagai Pengerusi Boustead hari ini, saya tidak terlibat secara mikro, cuma menerima laporan daripada dalam mesyuarat lembaga pengarah dan di situ saya akan tanya beberapa soalan tertentu. Kalau disebutkan ada ketirisan, penyelewengan dan melibatkan syarikat-syarikat dummy, nampaknya ia mungkin ada rentetan kebenaran yang logik. Namun, kita tidak boleh mengenal pasti, selain punca kuasa diamanahkan, untuk memastikan (ada penyelewengan). Oleh itu, tidak boleh buat spekulasi. Memang benar dalam proses apa sekalipun ada cara tertentu, ini terpulang kepada integriti masing-masing. SPRM sudah buat siasatan, laporan telah dikemas kini dan diberi kepada pejabat Peguam Negara. Jadi, kita tidak boleh nafikan ada elemen ketirisan. Kalau lihat laporan daripada individu tertentu, nyatakan ada syarikat A,B,C di bawah syarikat D,E,F. Itu tidak sepatutnya berlaku. Pegangan itu sepatutnya diterajui BNS tetapi syarikat luar yang mempunyai power membuat segala keputusan melibatkan dokumen dan pemilihan. Ia tidak sepatutnya berlaku jika itulah keadaannya.

Pengamal media dibawa meninjau perkembangan pembinaan LCS 1 pada Sabtu.

Ada dakwaan daripada pemimpin pembangkang konon mengaitkan BNS berada di bawah kawalan syarikat asing dipercayai membabitkan sebuah syarikat daripada Jerman. Komen Pak Wan?

Syarikat-syarikat terlibat itu adalah syarikat terbitan yang diwujudkan di bawah BNS dan saya tiada maklumat terkini yang sebagaimana disebut kononnya sejumlah 51 peratus syer pegangan saham dipegang LTAT ke atas BNS, secara tak langsungnya lebihan 49 peratus dipegang sebuah syarikat daripada Jerman dan satu lagi syarikat daripada Perancis. Kononnya mereka yang mengawal syarikat tersebut dari segi perolehan dan perbelanjaan. Itu tak sepatutnya berlaku kalau betul ianya berlaku. Jadi selagi saya berada di Boustead dan BNS, saya tidak boleh benarkan ia berlaku. Itu lari daripada prinsip tadbir urus kita sendiri.

Apa sebenarnya tanggungjawab Boustead Holdings Berhad ditunaikan bagi menanggung liabiliti BHIC?

Sebenarnya sudah ada cadangan daripada pengurusan Boustead dan ketika itu saya jadi menteri dalam kerajaan untuk menyelesaikan masalah dengan kerajaan membuat keputusan apa yang patut kita lakukan. Ia sama ada suntikan dana baharu dengan struktur sama yang tidak memberi keyakinan untuk kapal itu siap. Atau ia sepatutnya diambil alih oleh syarikat-syarikat tertentu yang seawalnya semasa saya menjadi menteri, dicadangkan oleh Boustead itu sendiri untuk membawa sebuah syarikat dari China untuk menyiapkannya, namun kita tidak bersetuju. Selagi ia melibatkan kedaulatan negara, kita berpotensi untuk mendedahkan rahsia-rahsia keselamatan pertahanan kita. Apabila saya ambil alih dan sebagai Pengerusi Boustead, perkara itu telah berjalan dan dipersetujui kabinet untuk kerajaan mengambil alih projek ini terus kepada LTAT menerusi kerjasama dengan Kementerian Kewangan.

Jadi Pak Wan bukan individu yang meluluskan tetapi mengambil alih?

Tidak. Ketika saya menyertai Boustead, perkara itu sedang diproses kabinet untuk diambil alih kerajaan.

BNS telah menjemput media membuat lawatan di Lumut untuk melihat sendiri perkembangan pembinaan lima kapal LCS. Adakah ia sudah memadai?

Semua orang tahu kapal-kapal itu wujud di mana pelaksanaan projek mencapai 55 peratus dan kini, dalam fasa pemasangan terakhir peralatan serta kelengkapan sistem pertahanan di bahagian topside. Tidak dinafikan terdapat sebilangan barangan kelengkapan dan peralatan sistem pertahanan yang mungkin tidak menepati piawaian tertentu. Maka proses mendapatkan barangan atau peralatan baharu terpaksa dilewatkan sehingga menyebabkan 15 peratus daripadanya tidak boleh diguna pakai. Itu juga menjadi kelewatan.

Peralatan membina memang ada. Lima kapal hampir siap dan jemputan media untuk melawat projek pembinaan kapal LCS menunjukkan ketelusan pengurusan Boustead di bawah BNS. Ya, ada sebab-sebab tertentu mengapa lewat. Mungkin kerana tidak menepati piawaian dikehendaki, berlaku ketirisan atau campur tangan pihak sepatutnya.

Itu terpulang pada pihak yang mempunyai autoriti dan bertanggungjawab untuk memastikan perkara ini disemak dan memastikan pihak yang bertanggungjawab membuat kenyataan sama ada mereka terlibat atau tidak. Jika RCI ditubuhkan, carilah pakar berpengalaman membuat laporan siasatan yang difahami rakyat.

Adakah patut kerajaan membatalkan sahaja projek LCS itu?

Pada pengalaman saya sebagai jurutera yang pernah terlibat dalam pembinaan kapal, kapal yang dibina itu (berasaskan reka bentuk LCS) secara purata mempunyai piawaian harga lebih kurang sama iaitu RM2 bilion bagi sebuah kapal.

Maksudnya kalau 55 peratus projek LCS sudah hampir siap, dalam keadaan kita hadapi, mungkin ada kos overrun (terlebih guna). Kita kena terima hakikat. Jangan batalkan projek itu kerana ia melibatkan kepentingan negara.

Saya tidak bersetuju dibatalkan atau nak buat baru. Benda nak siap, barang dah ada. Saya berpendapat sesiapa pun yang menjadi kerajaan patut membantu. Apabila perkembangan projek LCS mencapai 55 peratus serta melibatkan sejumlah RM6 bilion, RM3 bilion masih lagi boleh dibelanjakan. Adakah ia cukup untuk menyiapkan kapal itu? Dalam segala konteks perolehan yang dipanggil sebagai Engineering Procurement Installation and Commissioning, kadang-kadang bila kita ukur lebih kepada belanja perolehan peralatan kapal, kos pembinaan meliputi sedikit sahaja. Saya pernah menguruskan projek-projek pembinaan di mana lebih kurang 40 peratus daripada peruntukan projek adalah untuk pembelian barangan peralatan, manakala kos pembinaan sekitar 30 hingga 35 peratus dan selebihnya untuk pembayaran kos pentauliahan projek. Justeru, merujuk projek LCS, jika reka bentuk hull atau rangkanya sudah siap, maka selebihnya sebanyak 45 peratus adalah membabitkan kos pembinaan bahagian topside dan pentauliahan projek.

Klik di sini untuk terus membaca